January 13, 2017

DARI DHU AL-NUN AL-MISRI, AL-FUDHAIL BIN `IYADH DAN MA`RUF AL-KARKHI PENGAJARAN DIDAPATI


BBB, 13  Rabi`uyl Akhir 1438H. = 12 Januari,  2017 (Khamis):
Penceritaan di dalam cerita ringkas (anekdot) tidak semestinya ada cerita lain berhubung dengan watak seperti cerita `berburu` berkait dengan watak Ibrahim bin Adham, tetapi  cerita juga boleh berlegar  pada watak langsung dengan orang lain menceritakannya sebagai objek cerita. Sebagai contoh cerita kedua dalam penyusunan dalam kitab yang Penulis gunakan, iaitu Dzu al-Nun al-Misri yang nama penuhnya ialah Thauban bin Ibrahim atau Al-Faydh bin Ibrahim (m. 245H.). ( Tidak disertakan rawi dan sanad bagi memendekkan tulisan).  Significantnya ialah kepakarannya sebagai seorang wa`iz* dan pernah dijemput dari Mesir ke istana Al-Mutawakkil  di Baghdad mewa`az*kan khalifah berkenaan. Nasihatnya memberi kesan mendalam sehingga apabi;la Al-Mutawakkil melihat kalangan orang wara` membuatnya menangis. Antara nasihat yang diriwayatkan daripadanya bahawa percakapan seharusnya berlegar tentang empat perkara, iaitu mencintai Ilahi, membenci yang tidak bermanfaat, menurut apa yang diwahyukan dan takut melakukan kesalahan. Daripada nasihatnya, alamat cinta terhadap Allah ialah menurut  Habibillah Muhammad s.a.w. pada akhlaknya, perbuatannya, suruhan dan sunnahnya. Bila ditanya tentang sunnah, maka katanya, ``Barangsiapa tidak mengenali jalan kepadaNya tidaklah ia mengenali Sunnah. Dan disoal Dzu al-Nun al-Misri tentang taubah,maka katanya, taubat awam ialah dari dosa dilakukan dan taubat al-khawass ialah daripada kelalaian. Di dalam cerita di atas watak Dzu al-Nun al-Misri adalah menjadi watak yang menjadi fokus penceritaan yang  mengelilinginya adalah anak-anak cerita yang menarik dan kerohanian sifatnya dan dapat dihayati dari segi estetikanya.
Cerita  seterusnya ialah mengenai sufi  Al-Fudhail bin `Iyadh. Dia berasal dari Marwi di Khurasan, dikatakan dia  dilahirkan di Samarqand dan terdidik di Ahward dan meninggal di Makkah pada bulan Muharram (187H.). Menurut riwayat bahawa Al-Fudhail pada satu masa sesat dan kehilangan arah antara Abi Ward dan Sharkhas. Dikatakan sebelumnya dia pernah jatuh hati dengan seorang wanita. Dia berhasrat untuk menemuinya dan dalam usaha menemuinya ia memanjat sebuah dinding dan dia terhempap  jatuh. Dalam kesakitan dia mendengar tempelakan dan  ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Apakah belum datang waktunya bagi orang-orang beriman khusyuk hati mereka itu dengan berzikir kepada Allah ? (Al-Hadid: 16)
Al-Fudhail merasa tersindir dan tergerak hatinya menjawab, bahawa kini juga Ya Allah aku insaf !
Dalam kegelapan malam itu dia cuba mencari jalan keselamatan. Dia terbawa kepada satu kumpulan orang ramai yang dalam persediaan untuk bergerak. Di antara mereka mencadangkan untuk bergerak segera, manakala yang lain mencadangkan untuk menunggu hingga terpancarnya cahaya pagi. Kata yang mencadang menunggu berkata, ``Kalau kita tidak tunggu, Fudhail yang bakal tiba tidak mengetahui jalan dan terputus dengan kita.
`Menfdengar cadangan itu Fudhail terkejut, kerana dia tidak menjangka antara mereka itu yang mengetahui tentang dirinya. Bersama kumpulan itu Fudhail  bergerak. Dari kumpulan itu banyak dapat dia pelajari keilmuan dan panduan kerohanian.  Cetusan kesedaran dan bimbingan yang diterima menggerak dirinya bukan saja keinsafan, tetapi mendalami keilmuan dan hidup dalam kesufian.
Antara kata-kata Fudhail yang dikutip:
``Apabila Allah mengasihi seseorang banyak mendapat ujian baginya bagi membuka jalan keinsafan, sebaliknya apabila seseorang dimurkai Alla, dunia melebarkan jalan kesesatan baginya,.
Antara tokoh sufi yang lain ialah  Ma`ruf al-Karkhi:
Nama  penuhnya ialah Abu Mahfuz*  Ma`ruf bin Firuz al-Karkhi. Dia dikatakan seorang Shaykh yang dimustajab Allah do`anya. Dia adalah orang suruhan `Ali bin Musa al-Ridha r.a. Ma`ruf meninggal (200H. atau 201H.). Dia adalah guru bagi Sari al-Saqati. Adalah dikatakan oleh Abu `Ali al-Daqqaq bahawa ibu bapa bagi Ma`ruf adalah penganut agama Nasrani. Pada masa kecil ia dididik dengan akidah Nasrani. Ibu bapa mengatakan kepadanya akidah Nasrani, bahawa Allah adalah satu daripada tiga(Thalitu thalathah), tetap Ma`ruf yang pada masa itu masih kecil menjawab, ``Allah Esa``. Jawapamini menyebabkan ibu bapanya marah. Dia dipukul.  Ibu bapanya berterusan menekankan doktrin Nasrani itu, menyebabkan Ma`rif bertindak melarikan diri dari rumah. Ini menyebabkan kegusaran bagi kedua ibu bapanya dan berdo`a semoga ia kembali kepada pangkuan keluarga. Sedang Ma`ruf selepas keluar daripada rumahnya pergi menemui `Ali bin Musa al-Ridha. Dia masuk Islam melalui `Ali dan belajar dengannya mengenai Islam dan berdo`a agar dapat mengislamkan kedua ibu bapanya. Dengan hasrat yang baik ini dia memberitahu gurunya. Gurunya -`Ali  bin Musa al-Ridha bersetuju dan sama mendoakan kejayaan baginya. Dia pun pulang ke rumahnya pada satu pagi sambil berdoa` dia  mengetuk pintu rumah ibu bapanya. Bila mendengar ketukan pintu dua ibu bapa yang sentiasa mendo`akan kepulangan anaknya, segera meluru , dengan jangkaan anaknya pulang dan bertanya sebelum membuka pintu,
``Siapa yang mengetuk pintu di luar ?
Dijawab, ``Yang sentiasa mendoakan kesejahteraan – adalah anakmu !
Dua ibu bapa itu bertanya, ``Atas apa agama  engkau pulang ?
Dijawab oleh Ma`ruf, ``Di atas agama Keselamatan – Hanifan``
Maka pintu dibuka, maka dilihat  oleh kedua ibu bapa, wajah Ma`ruf bercahaya-cahaya. Mereka berpeluk-pelukan.`   `
Berikut itu Ma`ruf menceritakan tentang pengajiannya dengan gurunya Ali bin Musa al-Ridha.
Ketukan pintu yang dilakukan oleh Ma`ruf, sebenarnya adalah merupakan ketukan terhadap dada, hati  dan minda kedua ibu bapa mereka. Dengan Do`anya terhadap Allah dimakbulkan dan kedua ibu bapanya menganut agama Islam.
Antara kata-kata Ma`ruf, ``Jangan engkau mengabaikan amal, kerana yang demikian membawa kepada keredhaan tuan engkau. Maka ditanya siapakah tuan dan  apakah amal itu >
Katanya , ``Berterusan taat kepada Tuhan engkau, khidmat kepada orang muslimin dan nasihat kepada mereka.``
Jelaslah dari  episod-episod penceritaan bersifat anekdot di atas banyak pengajaran, nasihat, hikmat dan kerohanian dapat dimanfaatkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment