January 18, 2017

PERMATA HIKMAT BERGEMERLAP DARI AL-TUSTARI


BBB, 18 Rabi`ul-Awwal 1438H. = 17 Januari 2017 (Selasa):
Al-Qushairy  banyak memberi maklumat Al-Tustari, yang nama lengkapnya dicatat oleh `Abdul Rahman al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah ialah Sahl bin `Abdullah bin Yunus bin `Isa bin `Abdullah bin Rafi` dan kunyahnya Abu Muhammad.  Al-Tustari meninggal (m. 283H.). Disifatkan oleh Al-Sulami salah seorang pemimpin kaum (Al-Sulami) dan `ulama mereka. Mendalami dalam bidang al-riyadhiyyat, al-mu`amalat dan ilmu akhlak. Dari kecill dididik oleh bapa saudara sebelah ibunya  Muhammad bin Sawwar. Sejak umur tiga tahun mengikuti bapa saudaranya beribadat.  bersolat,  qiyamullail dan berpuasa. Al- Tustari menghafal Al-Qur`an sejak berumur 6 tahun. Dia pernah ke Basrah di dalam mencari ilmu pengetahuan dan pernak ke Makkah dan menemui Dhu al-Nun al-Misri di sana.
Keistimewaan yang dapat dipelajari dari al-Tustari selain dari ilmuan yang disifatkan sebagai seorang yang wara`, beliau mempunyai sanad Hadith yang matannya sampai kepada Rasulullah s.a.w. Ungkapan-ungkapannya mendalam mencerminkan kematangan dan ketinggian ilmunya.
Sanad Hadith yang Al-Tustari merupakan salah seorang daripada rawinya ialah:
Mengkhabarkan kami oleh Yusuf bin `Umar bin Masrur al-Zahid di Baghdad, berkata, bercakap kepada kami oleh `Ubaidillah Abu al-Qasim al-S*un`a`i, bercakap kepada kami oleh `Umar bin Was*il, bercakap kepada kami oleh Sahl bin `Abdullah al-Tustari, bercakap kepada kami oleh bapa saudaraku sebelah ibu  Muhammad bin Sawwar, daripada Ja`afar bin Sulaiman daripada Thabit daripada Anas berkata:
``Adalah Rasulullah s.a.w. berperang dan bersamanya beberapa  orang daripada wanita Ansar yang memberi minum air (kepada tentera-tentera Islam) dan membalut luka).
Significant Hadith ini, bukan saja terdapat di dalamnya nama Tustari sebagai rantaian sanad melalui bapa saudaranya yang mendidiknya, juga istimewa,  dan bukti penting, bahawa kaum wanita muslimat – di sini dari kalangan Ansar, turut sama di dalam medan perang. Mereka berperanan sebagai  jururawat yang membantu pasukan  tentera Islam, khususnya di dalam  memberi bantuan sokongan dari segi perubatan. Namun ada jua episod-episod dari maklumat lain yang memperlihatkan muslimat terlibat sama di dalam  menggunakan senjata menentang musuh. Ini dapat dijadikan hujjah, bahawa kalangan wanita sama diberi peluang, bahkan digalakkan menyertai pasukan pertahanan dan juga keselamatan negara, berganding bahu mempertahankan negara dan agama.
Maklumat-maklumat yang lain  ialah  kutipan-kutipan yang dipetik dari kata-kata Tustari yang membayangkan ketinggian keilmuan dan kerohaniannya, bahkan,  antaranya bersifat hikmat. Contoh:
Aku mendengar Aba Bakr, Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata, Aku mendengat Aba  Salih al-Bas*ari berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah  al-Tustari berkata:
``Manusia hakiklatnya  berkeadaan tidur (lupa dan lalai), apabila mereka terjaga (mati), mereka kesal , dan apabila mereka kesal, tidak memberi manfaat lagi kepada mereka.``
Aku mendengar Aba Bakr Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata,, aku mendengar al-Maliki al-Bas*ari berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah al-Tustari berkata:
``Tidaklah naik matahari dan tidak terbenam  - ke atas seseorang di muka bumi ini, melainkan ada golongan jahil tentang Allah, melainkan orang diberi kesan oleh Allah ke atas dirinya, isterinya, akhiratnya dan dunianya.``
Seterusnya (tanpa disertai rawi-rawi):
Berkata Sahl, ``Sedekat adab engkau  berhenti pada garis jahil dan sejauh adab engkau berhenti pada garis shubhah.``
Berkata Sahl dengan ungkapan yang menarik dan indah, bahawa:
``Syukur dengan ilmu ialah beramal dan syukur amal ialah menambahkan ilmu.``
Berkata Sahl bin `Abdullah,  ``Yang melazimkan sufi tiga perkara: Menjaga rahsianya,, menunaikan fardhunya dan menyembunyikan kefaqirannya.``
Juga berkata Sahl secara menarik dan membuat kita berfikir:
``Allah ialah kiblat niat, niat ialah kiblat hati, hati kiblat badan, badan kiblat anggota dan anggota kiblat dunia.`` Katanya lagi,
``Tidak ada dalam dharurat tadbir, dan bila berlaku tadbir keluar dari dharurat.``
Berkata Sahl bin  `Abdullah al-Tustari lagi, ``Siapa yang berperasangka menegahnya dari yakin,siapa yang bercakap perkara yang tidak berkenaan membawa kepada ketidakbenaran dan siapa yang sebok dengan apa yang tidak disuruh Allah menyekat dirinya dari wara`.``
Berkatra Al-Tusatari, ``Fitnah ada tiga, Fitnah am ialah mencuaikan ilmu. Fitnah khas meringan-ringan dan membuat takwilan. Fitnah ahli ma`rifat, melazimkan yang hak pada satu waktu  dan mengakhirkannya kepada waktu yang lain.``
Katanya lagi, ``Usul kita tujuh perkara, iaitu berpegang dengan kitab Allah, mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w., Makan-minum  yang halal. Menyekat perkara yang memberi mudharat, jauhi perkara berdosa, taubat dan menunaikan perkara-perkara haq.``
Kata Al-Tustari, Mesra `ulama dan hukama`  tiga perkara, melazimkan diri dengan taubat, mengikut Sunnah dan tidak melakukan perkara yang menyakiti makhluk.``
Berkata Sahl lagi: ``Siapa yang hatinya kosong dari mengingati akhirat, maka terdedah kepada waswas syaitan.``
Berkata lagi Sahl, ``Tiada pertolongan kecuali dari Allah, tidak ada dalil melainkan Rasulullah, tidak ada bekalan melainkan taqwa dan tiada amal melainkan dengan sabar.``
Berkata Sahl lagi, ``Ayat-ayat bagi Allah, mu`jizat bagi para nabi,karamat bagi para auliya`, bantuan bagi  murid dan kekukuhan bagi kalangan khusus.``
Berkata Sahl, hidup atas empat perkara, hidup malaikat dalam ketaatan, hidup para anbiya` dengan ilmu dan menunggu wahyu,  hidup para siddiqin  mengikut teladan, dan hidup seluruh manusia, alim atau jahil, zahid atau `abid pada makan minum.``
Dan berkata Sahl lagi, Amalan adalah secara taufiq, dan taufiq daripada Allah. Adapun kunci-kuncinya ialah do`a dan tadharru` kepada Allah.
Demikian keindahan pendapat Sahl bin `Abdullah al-Tustari sebagai permata hikmat gemerlap yang mengkagumkan yang dapat dijadikan panduan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment