January 4, 2017

TANAH AL-T*USI AL-NAISABURY MELAHIRKAN RAMAI PEMUKA SUFI - AL-QUSHAIRY


BBB, 04 Rabi`ul-Akhir 1438H. =  03 Januari  2017M. (Selasa):
Jika  Baghdad sebagai pusat pemerintahan Kerajaan `Abbasiyyah banyak melahirkan `ulama` fiqh dan ilmu al-Kalam, ilmu yang membicarakan persoalan aturan dan undang-undang dan ilmu yang membicarakan persoalan Ketuhanan dan kedua-duanya di samping mensandarkan kepada hujah-hujah naqli, banyak pula bergantung pada logik akli, terutama dari segi ilmu al-kalam. Tetapi dari satu pihak yang lain kawasan yang berada di bahagian timur Baghdad dan berada di kawasan yang dikenali dengan Khurasan, iaitu  Al-T*usi al-Naisabury. Paling tidak ada tiga orang sufi Sunni terkenal dari kawasan ini, iaitu:
1)      Abu Nasr  `Abdullah bin `Ali  al-Sarraj al-T*usi (m. 378H.) dengan karangan tasawuf terbesarnya berjudul  `Al-Luma`` sebagaimana telah dibicarakan.
2)      Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy  (376H—465H.) dengan karangan terbesar dan terkenalnya iaiatu  `Al-Risalat al-Qushayriyyah` yang mulai dibicarakan.
3)      Al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Abu Hamid al-T*usi al-Ghazali  (m.505H/1111) dengan karangan terbesar dan terkenalnya, iaitu  Ihya` `Ulum al-Din, akan dibicarakan kelak.
Kelahiran tokoh-tokoh sufi dari tanah Tusi al-Naisaburi atau kawasan sekitar bukanlah secara kebetulan, tetapi adalah dari tradisi pengajian keilmuan Islam, khususnya kerohanian –ya`ni tasawuf.
Antara faktor suburnya keilmuan Islam, khususnya kerohanian di kawasan ini, ialah kemerosotan Baghdad, khususnya selepas dikalahkan oleh tentera Tartar, membawa kepada kenaikan pusat pemerintahan dan pusat-pusat pengajian yang baru yang menandingi Baghdad, bahkan mengatasi Baghdad, bukan saja di T*usi al-Naisabury, tetapi Kota Timur seperti Samarqand. Agak ketara pusat-pusat keilmuan di Timur ini selain dari kelahiran tokoh-tokoh keilmuan  seperti akidah  contoh Mataridi dan kelahiran ulama-ulama Hadith seperti Bukhari, Nasai dan Al-Tirmidhi, ketara lahir dan berkembang bidang-bidang yang berhubung dengan  aspek seni rohani, dan juga seni-seni bina, seni hias.
Seni yang bersifat rohani sebagaimana kita katakan ialah tasawuf. Asas yang diterokai oleh Abu Nasr al-Sarraj dengan kitabnya `Al-Luma` yang tinggi mutunya yang diterima sebagai pendekatan tasawuf Sunni, berkembang subur di kawasan timur berkenaan yang membawa kepada kelahiran tokoh besar tasawuf iaitu  Abu al-Qasim `Adul Karim bin Hawazin al-Qushairy  dengan kitab terkenalnya iaitu Al-Risalah al-Qushayriyyah yang bakal dibicarakan. Elemen ketasawufan yang dibina oleh antaranya sebelumnya seperti oleh  Al-Muhasibi dengan kitabnya yang berjudul `Al-Ri`ayah` sebagai tokoh yang memulakan pendekatan tasawuf berasaskan akhlak, diperluaskan lagi oleh Al-Qushayri, iaitu dengan kitab yang istimewa dari segi kandungan, termasuk pendekatan akhlak dan ketinggian dari seni berbahasa dan pengungkatan kata, seolah-olah menyediakan jalan kepada Al-Ghazali mendekatkan pendekatan tasawuf berasaskan akhlak disamping  mengintegrasikan dengan elemen-elemen akidah, fiqh dengan elemen hati-rohani.
Al-Qushairy   mendepat pendidikan di Naisaburi dan berguru antara guru terkenal yang juga seoarang sufi, iaitu Abu `Ali al-Hassan bin `Ali al-Naisabury yang lebih popular dengan panggilan `Al-Daqqaq` yang pendapat-pendapat ketasawufan guru ini banyak dirujuk oleh kalangan sufi dan kitab-kitab tasawuf.
Al-Qushary  berkahwin dengan anak gurunya yang bernama Fatimah seorang yang terkenal sebagai sasterawanita. Mereka medapat anak enam lelaki dan seorang perempuan.,
Antara gurunya (selain dari Abu `Ali al-Daqqaq)   ialah:
1.       Abu Abdul Rahman Muhammad bin al-Hassan  di Naisaburi, seorang sufi terkenal dan juga sebagai seorang sejarawan.
2.       Abu Bakar Muhammad bin Abu Bakar al-T*usi seorang guru yang mahir di dalam bidang fiqh
3.       Abu Bakar Muhammad bin al-Husain. Seorang ulama` usul. Dengannya Al-Qushairiy mempelajari ilmu al-kalam.
4.       Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad bin Mahran. Ulama` fiqh dam usuluddin
5.       Abul Abbas bin Shuraih, guru fiqh
6.       Abu Mansur, Andul Qahir bin Muhammad. Guru fiqh bermazhab Shafie.
Pengajiannya meningkatkan beliau di dalam berbagai ilmu pengetahuan, tetapi bidang tasawuf lebih menonjol, khususnya dengan  karya beliau yang berjudul Al-Risalah al-Qushayriyyah.
Namun kedudukan beliau sebagai ulama` Sunni di Naisabur y tidak sunyi daripada menghadapi gugatan terutama dari kalangan fuqaha` di Kota Naisaburi. Sebagai pendukung mazhab Sunni beliau berdepan dengan kalangan pendukung mazhab Mu`tazilah yang mendapat dokongan pemerintah Kerajaan Saljuq pada masa itu. Beliau difitnah dan murid-muridnya berpecah-pecah. Beliau bertahan di Naisaburi sejak tahun 440-455H., tetapi akhirnya terpaksa berpindah ke Baghdad. Dan mendapat tempat, bahkan dimuliakan oleh pemerintah pada masa itu. Walau bagaimana di dalam masa-masa tertentu beliau kembali ke T*usi al-Naisabury.
Bila berlaku pertukaran pemerintah  di Naisabury  (Arsalan al-Saljuq) diganti dengan pemerintah lain dari Nizamiyyah,  al-Qushayiry  kembali mengajar di Naisabury. Beliau amat dimuliakan oleh Perdana Menteri Nizam al-Mulk pada masa itu, iaitu Al-Hasan bin `Ali al-T*usi (m. 485H.). Majlis-majlis ilmu yang dikendalikannya dihadiri oleh ulama-`ulama` dan pembesar-pembesar pada masa itu.
Al-Qushayri sebagaimana disebut oleh Al-Subky:
`Al-Qushairy  adalah ahli bahasa dan sastera, seorang pengarang dan penyair, pada masa kecilnya Al-Qushairy  mempelajari bahasa `Arab dan sastera, sehingga terkenal sebagai seorang penyair yang hebat.``  Namun puisi-puisi adalah berhubung dengan ketasawufan. Namun begitu kepopularannya di dalam bidang sastera di atasi kehebatannya di dalam bidang tasawuf.

Sekian.

No comments:

Post a Comment