BBB,
07 Rabi`ul Akhir 1438H. = 06 Januari 2017 (Juma`at):
Pada dasarnya Abu al-Qasim bin `Abdul Karim bin Hawazin
(376-465H.) Imam yang alim yang menghimpunkan antara shari`at dan haqiqat menumpukan kegiatan
keilmuannya di Naisaburi.
Kealimannya di dalam berbagai bidang
keilmuan seperti akidah, tasawuf, fiqh, tafsir, hadith dan sastera dan
kemampuannya menyampaikan pengajaran dengan
berkesan dengan bahasa yang menawan, menarik ramai pengikut-pengikut dan
pelajar-pelajar. Pada zaman kegiatannya ini Al-Qushairy berada pada zaman
pemerintahan kerajaan Saljuk yang mendukung faham Mu`tazilah, sedangkan
Al-Qushairy adalah pendukung madzhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Popularitinya tidak disenangi oleh kalangan yang tidak sealiran dengannya.
Lantaran itu beliau menghadapi fitnah dari kalangan pendukung Mu`tazilah dan
kalangan yang digelar sebagai pendukung Neo Hanbalisme yang kuat pengaruhnya di
kalangan pemerintah Saljuk. Akibat dari fitnah dan gugatan dari kalangan pendukung
Mu`tazilah dan Neo-Hanbalisme ini pengkut-pengikut dan murid-muridnya berpecah.
Bahkan ada cadangan oleh pihak musuh-musuhnya terhadap pemerintah agar
menangkapnya. Akibatnya beliau terpaksa keluar dari Naisabur dan berpindah ke
Baghdad. Di Baghdad beliau tidak menghadapi sekatan, bahkan diterima baik oleh
pemerintah pada masa itu. Beliau menghadapi tentangan dan gugutan dan
perpindahab ini berlaku antara (440-455H.). Dalam masa tersebut beliau sekali
sekala ke Tus, walaupun tidak dapat
terus ke Naisaburi.
Pada akhir tempoh tersebut berlaku
perubahan politik pemerintah. Peristiwa yang terkenal dengan `Thurghulbeg` dan kuasa Sultan Arsalan
al-Saljuki (m. 1072H.) diambil alih oleh
Abu Shuja`, maka Al-Qushairy bersama
dengan rombongannya bertolak dari
Khurasan kembali ke tanah asalnya bergiat di Naisaburi. Sultan dan Perdana Menteri Nizam al-Muluk pada masa
itu, iaitu Al-Hasan bin `Ali al-T*usy
dan pemuka-pemuka semasa amat menghormati Al-Qushairy dan mereka turut
sama hadir di dalam majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh Al-Qushairy.
Menurut Al-Qushayry di dalam muqaddimah
kitab Al-Risalat al-Qushaiuriyyahnya bahawa menurutnya:
``Ini Risalah ditulis oleh yang faqir terhadap Allah Ta`ala `Abdul Karim bin
Hawazin al-Qushairy ditujukan kepada kumpulan sufi di negara-negara Islam,
iaitu pada tahun 437H.).``
Iaitu sebelum dari zaman gugatan yang
dihadapi oleh al-Qushairy (440-455H.).
Walaupun dikatakan Risalahnya ditujukan
kepada kumpulan sufi di negara-negara Islam, hakikatnya dituju kepada semua pihak baik kalangan sufi atau
bukan dari kalangan sufi, khususnya bagi yang mau mengkaji bidang tersebut dan
juga kepada pihak yang mencari tentang kesalahannya yang mau menggunakan bagi
melemahkan Al-Qushairy sebagaimana dilakukan oleh musuh-musuh Al-Qushairy.
Al-Qushairy meletakkan golongan sufi yang
sebenar pada tempat yang tinggi. Menurutnya:
``Allah menjadikan golongan ini adalah mereka
yang murni jiwa di kalangan auliya`Nya.
Dan melebihkan mereka di atas kalangan hambanya selepas rasul-rasul dan
anbiya`Nya salawat dan salam ke atas mereka`` . Menurut Al-Qushairi, ``Allah
menjadikan hati-hati mereka logam-logam rahsia-rahsiaNya dan mengkhususkan
mereka di tengah umat menjenguh
cahaya-cahaya, memahami hakikat secara mendalam. Mereka bersih dari kotoran
kekejian biasa insan. Mereka bermushahadah hakikat Ahadiyyah.
Mereka adalah ditaufik mendirikan
adat-adat kehambaan dan menyaksikan larian hukum al-Rububiyyah. Mereka
melakukan kewajipan taklif. Mereka bersifat iftiqar kepada Allah. Mereka tidak
memperkatakan apa yang dialami dari amalan-amalan dan ahwal yang dilalui untuk
mengelak dari fitnah terutama bagi yang tidak memahaminya. Al-Qushairy meletakkan kalangan yang
benar-benar sufi begitu tinggi. Menurutnya kalangan sedemikian pernah wujud,
tetapi kini kalangan sedemikian sukar dan hampir tidak dapat mencapai taraf
sedemikian ideal lalu beliau secara nostalgik menggambarkan kehilangan dan ketiadaan
mereka ini dalam puisi yang digubah
begitu indah:
Adapun khemeh-khemah seperti khemah mereka
didirikan
Aku melihat wanita mengurusnya telah sama menghilang
Puisi ini begitu indah yang menggunakan
konsep tasbih hissi dengan tasbih maknawi yang menimbulkan kesan mengharukan. Al-Qushairy membandingkan secara hissi (nampak
dilihat dan dapat disentuh secara nyata) akan khemah-khemah adalah sama dengan
khemah-khemah mereka, tetapi sebenarnya
tidak sama, lantaran di dalamnya tidak ada lagi penghuni yang hidup dengan
mesra dan cinta. Bermaksud yang dapat dilihat secara nyata ada golongan sufi
yang dilihat dari segi luaran sama dengan golongan sufi sebenarnya, tetapi
perbandingan dari segi maknawi yang lebih diutamakan maksudnya, hakikat
sebenarnya mereka yang dilihat serupa itu itu tidak serupa. Apa yang dilihat
serupa adalah luaran, akan tetapi hakikat dalaman adalah kekosongan. Tiada pada
mereka roh kesufian sebenar dan tiada mencapai hakikat mesra dan cinta
ketuhanan.
Apakah yang dihasratkan oleh Al-Qushairy ?
Beliau dengan penuh rindu dan berharap dapat mengembalikan alam kesufian sebenarnya, lantaran menurut
beliau taraf kesufian telah menurun, begitu kurang kalangan muda yang mampu
menjejaki jejak kesufian, hilang daripada mereka kewarakan, bahkan ternyata
mereka dikuasai ketamakan, mereka dikelirukan antara membezakan antara yang
halal dan haram – terjebak di dalam syubhah, bahkan tidak bersungguh dari segi
ibadat seperti solat dan puasa, mereka terseret ke medan kelalaian, bahkan
terikut-ikut dengan kemahuan nafsu dan syahwat. Dan berbagai lagi kelemahan
yang disebut oleh Al-Qushairiy. Sebab itu beliau merasa bertanggungjawab
mengarang kitab Al-Risalat al-qushairiyyat ini dengan tujuan untuk mengingatkan
masyarakatnya yang dianggap telah lari dari mengikuti jalan yang benar dan kembali
di atas jalan yang benar.
Menurut Al-Qushairi di samping menyebut
kaedah dan pendekatan ketasawufan di dalam kitab, beliau menyebut setengah shaykh-shaykh
kesufian (pada akhir kitabnya sememang disebut tentang sejumlah tokoh sufi dari
segi latar dan perjalanan, adab dan akhlak mereka) agar menjadi contoh dan
teladan kesufian bagi mereka.
Dalam kata lain Al-Qushairi menyebut tentang
kesufian sebenar dan sikap yang dihadapi
masyarakat semasa. Beliau berhasrat dan merupakan risalahnya membimbing mereka dan mereka yang mengikuti pendekatan dan
pengajarannya kembali ke jalan sebenarnya. Sebagaimana telah disebut tidak
mudah bagi Al-Qushairy mencapai hasrat, dalam mana beliau menghadapi tentangan
yang menyebabkan terkeluarnya beliau dari tanah kelahiran dan pusat
pengajarannya, namun akhirnya beliau dapat kembali meneruskan misi dalwah dan kesufiannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment