BBB, 24 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 23 Januari
2017 (Isnin):
`Umar al-Haddad agak kurang dikenali, tiada
catatan dalam senarai Tabaqat al-Sufiyyah oleh `Abdul Rahman al-Sulami dan
tiada juga di dalam senarai disusumn oleh Al-Sha`rani di dalam Al-Tabaqat
al-Kubra, tetapi menurut Al-Qushairi di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyahya,
bahawa `Umar al-Haddad yang nama lengkapnya ialah Abu Hafs* `Umar bin Maslamah al-Haddad adalah
berasal dari satu qariah dipanggil Kurdabadz di jalanan sebelum masuk ke Kota
Naisabur, jalan ini juga menghala ke Bukhara.
Menurut Al-Qushairy, `Umar al-Haddad salah
seorang imam dan pemimpin kaum sufi berkedudukan. Meninggal pada tahun (m.
260H.). Antara kata-kata kesufian yang dipetik Al-Qushairy dari yang
meriwayatkannya ialah:
``Maksiat boleh membawa kepada kekufuran sebagaimana hidup menuju ke kematian.``
Katanya lagi, ``Apabila engkau lihat
seorang murid kasihkan `al-sima` `,
ketahuilah ada pada dirinya sisa kebatilan.`` Katanya lagi,
``Keindahan adab zahir pertanda keindahan
adab batin.``
Dia
juga berkata, ``Mengeluarkan pendapat (fatwa) memberi keinsafan dan
meninggalkan tuntutan agar tidak disifatkan
(pujian). Seterusnya riwayat,
``Bahawa
aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar aba al-Hasan
Muhammad bin Musa berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Thaqafi berkata, adalah
Abu Hafs* berkata,
``Siapa yang tidak menimbang perbuatannya
dan ahwalnya pada setiap waktu dengan Kitab Allah dan Rasulnya dan tidak
sempurna lintasan (kekhuwatirannya), maka dia tidak tergolong atau tidak
termasuk di dalam Diwan Kelakian/ketokohan.``
Tokoh seterusnya menurut susunan
Al-Qushairy ialah Abu Turab al-Nakhshabi. Nama penuhnya menurut Al-Qushairy ialah, Abu Turab `Askar bin Hus*ayn
al-Nakhshabi (m. 245H.). Dikatakan `Askar bin Muhammad bin al-Hus*ayn. Dia
bersahabat dengan H*atim al-As*amm al-Balakhi dan Abu H*atim al-`At*t*ar
al-Mis*ri. Berkata Ibn al-Jala, ``Aku bersahabat dengan enam ratus shaykh,
tidak aku kekal dengan mereka, melainkan empat, pertamanya ialah Abu Turab
al-Nakhshabi. Kata Ibn al-Jala, ``Abu Turab adalah seorang faqir, makanannya
apa yang didapati semasa, pakaiannya apa yang meliputi tubuhnya sahaja dan kediamannya
di mana dia berada (singgah).
Abu Turab al-Nakhshabi adalah dari kalangan
`ulama` Khurasan yang terkenal dengan
keilmuan, futuwwah, dakwah, tawakkal, zuhud dan wara`.
Antara kata-kata Abu Turab al-Nakhshabi, ``
``Apabila benarlah hamba di dalam amal, dia
mendapati kemanisannya sebelum dia melakukannya, dan apabila dilakukannya
secara ikhlas, dia merasakan kemanisan dan kelazatannya sewaktu dia dalam
progres amalannya.``
Berkata Shaykh `Abdul Rahman al-Sulami
r.h.a., aku mendengar datukku Isma`il bin AL-Majid berkata, ``Adalah Abu Turab
al-Nakhshabi, apabila melihat di kalangan sahabatnya apa yang dilarang yang dia
membencinya, bertambahlah kesungguhannya
(bagi menghilangkan kemungkaran) dan dia
bersungguh mengulangi taubatnya. Dia berkata, menyukarkan daku menolak apa yang
ditolak, lantaran Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa
yang ada pada satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
itu.`` (Al-Ra`d: 11).
Antara ungkapan-ungkapan Abu Turab
al-Nakhshabi yang dapat direnungi:
``Semulia-mulia hati ialah hati yang hidup
dengan nur kefahaman tentang Allah Ta`ala.``
Kata Al-Nakhshabi lagi, ``Sebab
menyampaikan kepada Allah ada tujuh belas darjat, terdekatnya al-ijabah (dijawab permohonan), dan tertinggi ialah
tawakkal kepada Allah dengan Hakikatnya.``
Berkata lagi Abu Turab, ``Tidak ada yang
lebih manfa`at daripada ibadat daripada mengislahkan lintasan hati.``
Berkata `Ali bin Husain al-Tamimi, aku
mendengar Abu Turab berkata, ``Tawakkal ialah t*ama`ninah hati kepada Allah
Ta`ala.``
Berkata Abu Turab, ``Hakikat kaya bahawa
engkau tidak berharap kepada orang yang seumpama engkau, dan hakikat faqr
engkau berhajat kepada orang seperti engkau.``
Berkata Abu Turab, ``Yang menegah
orang-orang yang s*iddiqin daripada
mengadu lain daripada Allah, kerana takut kepada Allah `Azza wa Jalla.``
`Ali bin H*usain al-Tamimi berkata, aku
mendengar Abu Turab al-Nakhshabi berkata, `Yang bijaksana ialah yang bekerja
kerana Allah, yang menjaga hadnya bersama Allah Ta`ala dan tidak mempersoalkan
ilmu yang jelas membuktikan kebenarannya.``
Berkata Abu Turab, Allah Ta`ala menjadikan
`ulama` jurucakap (mengajar ilmu) pada tiap-tiap zaman, dia menghuraikan apa
yang dimusykilkan oleh anak-anak zaman.
Berkata Abu Turab, ``Peliharalah himmah
engkau, kerana dia muqaddimah bagi segala sesuatu. Apabila sahlah himmah
seseorang itu, sahlah baginya apa yang datang kemudiannya, baik dari segi
perbuatan dan ahwalnya.``
Berkata Abu Turab, ``Al-qana`ah ialah
mengambil makanan daripada Allah Ta`ala.``
Dan berkata Abu Turab, ``Siapa yang tidak
membuka pintu-pintu kehidupan dengan tidak menggunakan kunci-kunci taqdir, dia
mewakil kepada daya dan kekuatannya. Abu Turab ditanya, Apa dia kunci-kunci
taqdir ? Dia menjawab redha dengan apa yang datang kepadanya pada setiap waktu
dengan sebab-sebab yang ghaib.``
Demikianlah ungkapan-ungkapan oleh `Umar
al-Haddad dan Abu Turab al-Nakhshabi. Ada keindahan ungkapan, kedalaman fikiran
dan kehalusan kerohanian yang dapat dimanfaatkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment