January 27, 2017

MANSUR BIN `AMMAR: UNGKAPAN WADAH PENGISIAN


BBB,  27 Rabi`ul- Akhir 1438H. = 26 Januari 2017M. (Khamis):
Tokoh seterusnya menurut susunan Al-Qushairy ialah Mansur bin `Ammar yang nama lengkapnya ialah Abu al-Sari Mansur bin  `Ammar (Al-Sari adalah kunyah baginya). Berasal dari Marwi daripada perkampungan yang dipanggil Dandanikan. Demikian sebagaimana didengar oleh Abu al-`Abbas Ahmad bin Sa`id  al-Hamadani.
Menurut Al-Sulami, ada yang mengatakan dia berasal dari Abi Ward, sebagaimana disebut oleh Abu al-Fadhl al-Shafie  al-Akhbar.
 Ada yang mengatakan dia dari Bushanj sebagaimana disebut oleh  Muhammad bin al-`Abbas al-`Us*bi dan Mansur kemudiannya menetap di Basrah. Menurut Al-Qushairy dia adalah dari kalangan wa`iz*in  yang terkenal. Al-Sulami pula menyifatkan  Mansur bin `Ammar seorang yang mempunyai kemampuan berucap di dalam menyampaikan nasihat dan mau`iz`ah,  bahkan Al-Sulami mengkategorikannya sebagai seorang  daripada hukama` yang matang.
Masur mempunyai sanad Hadith kepada Rasulullah s.a.w.:
Mengkhabarkan kami Datuk kami Isma`il bin Nujaid al-Sulami berkata, bercakap kepada kami Abu `Abdullah, Muhammad bin Ibrahim bin Sa`id al-`Abdi, bercakap kepada kami Sulaim bin Mansur bin `Ammar di Baghdad pada rahbah bapanya, bercakap kepada kami bapaku daripada al-munkadir bin Muhammad bin al-Munkadir, daripada bapanya, daripada Jabir r. a. Bahawa seorang pemuda daripada Ansar: (bersifat cerita, diringkaskan) Iaitu Tha`labah bin `Abdul Rahman. Dia rapat dan berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w. Satu hari dia melalui pintu rumah seorang lelaki daripada Ansar. Dia mengintai dan didapati seorang wanita sedang mandi, dia sengaja mengulangi pandangan. Dia menyedari perbuatan salahnya. Lantas timbul takut di dalam hatinya. Dia lebih takut sekiranya dengan sebab perbuatannya akan turun wahyu melalui Rasulullah s.a.w. berhubung  dengan perbuatannya. Maka dia bertindak keluar dari Madinah kerana malu kepada Rasulullah s.a.w. Dia bersembunyi di bukit antara Makkah dan Madinah. Rasulullah pada satu hari bertanyakan tentangnya selepas empat puluh hari tidak kelihatan, Jibril memaklumkan kepada Rasulullah tentang perkara yang berlaku pada  lelaki yang lari ini. Rasulullah s.a.w. menghantar Sayyiduna Umar bin al-Khattab dan Salman mencarinya. Dia dikenal pasti penduduk setempat dan diberitahu kepada Sayyiduna `Umar dan Salman. Dia bersumbunyi di waktu siang dan hanya keluar tengah malam. Dia begitu  kesal dengan perbuatannya. Dia dibawa balik ke Madinah dan tiba Rasulullah sedang solat dan mendengar ayat yang dibaca Rasulullah dia jatuh pengsan. Dia kemudian pulang ke rumah. Selepas tiga hari dia jatuh sakit. Rasulullah menziarahinya dan membelainya. Jibril  turun meyatakan keampunan Allah terhadapnya. Apabila diberitahu berita gembira itu, dia begitu terkejut dan melompat berteriak dan jatuh lalu mati. Rasulullah s.a.w. menyembahyangkannya bersama-sama sahabat dan sama mengiringi jenazah  ke kuburnya.``
Kata-kata yang lain dirakamkan dari Mansur bin `Ammar, ``Gembira engkau dengan maksiat apabila engkau berdepan, dia adalah kejahatan sebagaimana engkau lakukan.
Berkata Mansur lagi, `Siapa yang takut dari  musibah dunia, dia bertukar menjadi penjagaan terhadap   agamanya.
Berkata Mansur, ``Siapa yang sebok dan leka dengan kerja-kerja manusia, terputus ia dari mengingati Allah.``
Berkata Mansur kepada seorang lelaki yang berdosa selepas taubatnya, katanya, ``Aku melihat engkau kembali ke jalan akhirat ialah dari jalan  sukar (liar) yang jarang orang melaluinya,``
Bertkata Mansur kepada seorang lelaki, ``Aku melihat engkau  tinggalkan mihnah dunia, maka engkau istirihat daripada tekanan, peliharalah lidah engkau, nescaya  engkau rihat dari kesusahan.``
Berkata Mansur, ``Hati manusia semuanya rohani, apabila masuk ke dalamnya syak dan kekotoran tertegah daripada kerohanian.``
Berkata Mansur, ``Bahawa hikmat bercakap di dalam hati orang-orang `arifin dengan lisan benar, dan di dalam hati orang-orang zahid dengan lisan kelebihan dan di hati para `abid dengan lisan taufik. Dan di dalam hati para murid dengan lisan tafakkur dan di hati para `ulama` dengan lisan tazakkur.``
Berkata Mansur, ``Ada dua jenis orang. Yang iftiqar kepada Allah, maka dia di atas darjat lisan shari`ah, Yang satu lagi tidak melihat iftiqar secara langsung, tetapi melihat kebergantungan  makhluk kepada Allah daripada rezeki, ajal dan kebahagiaan. Dilihat iftiqar dari  aspek-aspek berkenaan dan dia memohon pertolongan.``
Berkata Mansur,  ``Maha Suci Allah yang menjadikan hati orang-orang `arifin wadah (bekas) bagi pengisian dzikir, dan hati ahli al-dunia bekas bagi ketamakan, dan hati orang-orang zahid bekas bagi bertawakkal, dan hati para fuqara` bekas bagi qanaah (bersifat memada) dan hati orang-orang bertawakkal bekas bagi redha.``
Berkata Mansur seterusnya, ``Manusia ada dua jenis,  yang `arif dengan dirinya, maka dia bersungguh dengan mujahadah dan riyadhah dan yang `arif dengan Tuhannya, maka dia bersungguh pada berkhidmat padaNya, beribadat dan mencari keredhaan dariNya.
Dan berkata Mansur bin `Ammar, ``Sebaik-baik manusia sebagai hamba ialah tawadhu` dan merendah diri, dan seelok-elok pakaian `arifin ialah pakaian taqwa. Beliau memetik firman Allah bermaksud:
``Dan pakaian taqwa itulah terbaik.` (Al-Aa`raf: 26).
Dan berkata Mansur bin ~Ammar, ``Selamatnya nafsu ialah dengan menyalahinya dan balanya ialah dengan mengikutinya.``
Sesungguhnya ungkapan-ungkapan yang bernilai dan bermanfaat adalah merupakan makanan hati, akal dan rohani yang dapat menyuburkan sekaliannya sebagai tubuh  badan memerlukan makanan yang menyuburkannya.Sebagaimaa untuk mendapat makanan dan keperluan bagi kehidupan perlu kepada usaha, maka demikian keperluan kepada makanan hati, akal dan rohani perlu kepada  (usaha) -  pengajian, penghayatan dan amalan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment