BBB, 08 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 07 Januari
2017M. (Sabtu):
Dari segi pendekatan, walaupun berbeza dari segi penyusunan pada dasarnya kitab
Al-Risalat al-Qushairiyyah tiada kelainan, khususnya dari kandungan
berbanding dengan apa yang dibicarakan oleh kalangan sufi
sebelum Al-Qushairy.
Al-Qushairy membahagikan kandungan kitab
Al-Risalat al-Qushairiyyah kepada
bab-bab dan fasal-fasal (fasal-fasal adalah secara ringkas). Terdapat 54 bab
yang sederhana panjangnya dan 15 fasal yang ringkas-ringkas. Persoalan utama
ialah apa yang terkandung di dalam 54 bab berkenaan.Manakala penterjemah kitab
Al-Risalat al-Qushairiyyah kepada bahasa
Indonesia oleh Mohammad Luqman Hakiem membahagikan kandungan kepada lima bab
sahaja iaitu:
1) Prinsip-Prinsip Tauhid Dalam Pandangan kaum Sufi
2) Terminologi Tasawuf
3) Penjelasan Tentang Tahapan-Tahapan (Maqamat) Para
Penempuh Jalan Sufi
4) Kondisi Rohani dan Karamah
5) Para Tokoh Sufi
Dari segi pemberian judul bagi bab ini boleh
ditambah selepas bab satu kepada bab dua yang memang di dalam kitab adalah bab,
iaitu tentang: Sebutan Shaykh-shaykh Tariqat yang menandakan perjalanan mereka
dan perkataan mereka pada membesarkan
Shari`ah yang menjadikan enam bab.
Karya bentuk kitab yang Penulis gunakan pada
dasarnya mempunyai persamaan, tetapi sebagaimana disebutkan kepada lima bab
(buku), tetapi di dalam kitab adalah 54
bab dengan lapan belas fasal secara ringkas. Cuma agak berbeza ialah dari segi
penyenaraian tokoh-tokoh sufi pada akhir kedua-dua kitab yang dibicara dan
dibandingkan, bahawa kedua-dua kitab/buku sama menyenaraikan sebanyak 83 tokoh
sufi pada bahagain belakang, tetapi
tidak seturut sama dari penyusunan nama. Misalnya kitab memulakan dengan Ibrahim bin Adham, diikuti
dengan Dzu al-Nun al-Misri dan al-Fudhail bin `Iyadh, manakala bagi buku
terjemahan oleh Mohammad Luqman Hakiem
memulai dengan Abdullah Al-Abhury, diikuti dengan Ruym bin Ahmad dan Ahmad
al-Adamy. Apakah ini menunjukkan bahawa nama-nama tokoh yang disertakan pada
bahagian akhir kitab dan juga buku berkenaan adalah merupakan tambahan yang
baharu ?. Apa lagi dilihat bahawa bagi versi terjemaham bagi tiap-tiap tokoh diberi huraian tentang latar
belakang tiap seorang daripada mereka, manakala bagi nama-nama tokoh ini pada
bahagian akhir kitab itu disenaraikan nama sahaja dengan jumlah tokoh sama
sebanyak 83 orang menjadikan kandungan buku lebih banyak dan lebih tebal.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa pendekatan
atau keilmuan tasawuf itu tidak sunyi dari kontroversi dan tuduhan. Ada yang
mengatakannya sebagai sesuatu tambahan dan tidak perlu dan tidak kurang yang
menuduhnya sebagai menyeleweng. Tuduhan
yang seumpama ini berlaku terhadap Al-Qushairy sendiri, sehingga beliau terusir
dari Naisaburi tempat asal dan tempat kegiatan beliau mengembangkan
berbagai-bagai bidang keilmuan, khususnya tasawuf.
Dalam hal ini kita dapat memahami mengapa di dalam kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah ini Al-Qushairy memberi keutamaan pada memberi
penerangan tentang Usuluddin (Di dalam kitab dijadikan sebagai fasal bagi
permukaan, tetapi bagi teks terjemahan sebagai bab). Penerangan tentang
pegangan usuluddin bagi kaum sufi, ialah bagi menjelaskan, bahawa pegangan
usuluddin mereka tidak ada kelainan dari apa yang dipegang oleh kalangan Ahlu
al-Sunnah wa Al-Jama`ah, sepatutnya tidak ada keraguan dari segi pegangan akidah mereka. Pembicaraan
tentang akidah diawalkan juga adalah ada kewajaran, kerana ianya adalah induk
bagi keilmuan Islam, tanpa pegangan akidah yang betul, bererti segala yang lain
turut tidak betul dan tidak boleh diikuti. Keadaan yang sama dilakukan oleh
Al-Kalabadzi sebelum ini di dalam kitabnya Al-Ta`arruf li Madzhab Ahl
al-Tasawwuf, beliau juga mengambil pendekatan menerangkan pandangan dan
pegangan kaum sufi dari segi pegangan tauhid (Bab Lima), bagi mengelak dari
tuduhan menyeleweng dan membuktikan tidak ada kelainan dari segi pegangan
akidah mereka.
Kita juga dapat memahami mengapa di dalam kitab
Al-Risalat al-Qushairiyyah ini selepas membicarakan tentang tauhid,
diikuti bab seterusnya ialah pembicaraan
tentang sharti`at, iaitu bab:
Menyebut Shaykh-Shaykh Tariqat (Tasawuf) ini
menunjukkan bahawa perjalanan mereka dan perkataan mereka adalah menurut
lunas-lunas shari`at, bahkan menunjukkan pembesaran mereka terhadap shari`at,
bahawa mereka tidak bercanggah dengan shari`at, jika ada tuduhan berlaku.
Satu persoalan dari segi pendekatan dan
pengkategorian juga dapat diperkatakan, bahawa sebagaimana disebutkan bahawa Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi di dalam
kitabnya Al-Luma` adalah tokoh sufi atau pengarang yang mula-mula dengan jelas
membahagikan persoalan-persoalan yang dikategorikan kepada maqam dan hal. Tetap
ciri-ciri bagi maqam dan hal kadang-kadang kabur dan semacam ada bagi satu
kategori ada pada yang lain dan bertindih, maka kita dapati Al-Kalabadzi
merangkumi keseluruhannya kepada ahwal. Di dalam hal ini Al-Qushairy tidak membuat
pembahagian secara jelas, tetap penterjemahnya, iaitu Mohammad Luqman Hakiem, nampaknya
meletakkan semua aspek adalah di bawah
maqamat (maqam-maqam) keseluruhan. Barangkali sedikit sebanyak mengelirukan
bagi mereka yang mau melihat dan mengkategorikan sebagai ahwal dan maqamat. Di
dalam hal ini jalan selamat ialah sebagaimana diambil oleh `Abdul Qadir `Isa di dalam Haqa`iq `an al-Tasawwuf yang
mengkategorikan apa yang dinamakan sebagai ahwal dan maqamat itu sebagai `Jalan-Jalan
Menuju Kepada Allah`.
Wakau bagaimana di dalam membicarakan kandungan
kitab
Al-Risalat al-Qushairiyyah ini kita akan mengikut apa yang disusun oleh
pengarangnya sendiri, iaitu Al-Qushairy, bahkan di dalam pembicaraan ini teks
kitab yang di dalam bahasa `Arab sebagai teks asal akan lebih diutamakan,
lantaran buku teks terjemahan ada perubahan dan tambahan-tambahan yang dibuat,
walau bagaimana buku terjemahan ini turut digunakan sebagai teks tambahan,
kerana banyak maklumat dan keterangan yang dapat dijadiakn bahan tambahan, di
samping banyak lagi kitab-kitab yang dapat digunakan sebagai maklumat sokongan.
Kitab Al-Risalat al-Qushairiyyah adalah
kitab tasawuf penting kerana ianya
adalah jambatan penting yang menyambungkan dari Al-Ri`ayat oleh al-Muhasibi kepada Al-Luma` oleh Al-Sarraj membawalah kepada Al-Risalat al-Qushayriyyat
oleh Al-Qushairy membawalah kepada Ihya` `Ulum al-Din oleh Al-Ghazali. Iaitu
kesinambungan yang memantapkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment