January 10, 2017

KAUM SUFI MEMBESARKAN SHARI`AT


BBB, 10 Rabi`ul-Akhir 1438H. = 09 Januari 2017M. (Isnin):
Sebagaimana kaum sufi semestinya  berpegang dengan akidah yang betul, tanpa kekecualian, maka demikianlah juga kaum sufi hendaklah dan seharusnya berada pada barisan hadapan dari segi mengamalkan shari`at. Dia mesti mendalami terlebih dahulu tentang akidah beserta shari`at. Dari segi  shari`at dia hendaklah seorang yang kuat beribadat dari segi solat, zakat, berpuasa dan menunaikan haji dan membuat perkara-perkara kebajikan. Bagaimana dia hendak mendekati Tuhan tanpa mengamalkan ibadat yang wajib dan juga yang sunat ?.
Dapat dikatakan ketasawufan adalah penumpang bagi kenderaan ibadat. Tiada tasawuf tanpa ibadat, tiada kecintaan Ilahi sendiri tanpa melalui ibadat. Ibadat berada pada bahagian hadapan menyediakan laluan kerohanian. Apa yang diharapkan di dalam tasawuf, membersihkan diri dan hati rohani, sebenarnya sebelum  apa yang dihasratkan membersih rohani, ibadat terlebih dahulu menyediakan skema kebersihan seperti:
Solat membersihkan lahiri dan maknawi sebelum masuk kepada solat seharusnya dengan pakaian, diri dan hati yang bersih.
Zakat adalah pembersihan diri, harta, tujuan dan penerimaan  agar ia bertambah berkat dan digandakan Allah  berkali ganda lipat.
Demikian juga haji adalah ibadat yang membersihkan diri, jiwa dengan rukun-rukun, wajib dan sunatnya.
Usaha meningkatkan kualiti diri dan rohani dengan  peningkatan maqam-maqam dan hal-hal seharusnya melalui (kenderaan ibadat) yang telah kita perkatakan.  Seluruh turuq atau jalan-jalan menuju Allah adalah melalui ibadat kepada Allah. Bagaimana bertaqwa, jika tanpa ibadat ? Begitulah misalnya dengan  taubat,  zuhud, raja`, sabar, tawakkal, redha tanpa mekanisme ibadat  adalah satu yang angkuh, sombong, bahkan munafik, jika ada yang mendakwa dia  berada dan di dalam tahap perjalanan  tertentu di dalam menuju Allah. tanpa ibadat.
Tergambar di dalam mata real dan hakikat seorang sufi itu seorang yang  kuat beribadat dengan solat wajib dan sunat, berpuasa, bukan saja Ramadhan, bahkan dengan puasa-puasa sunat yang lain. Dia juga menunaikan zakat jika berkelayakan dan menunaikan haji jika berkemampuan. Tasawuf adalah datang menambahkan kualiti  ibadat-ibadat berkenaan dan berbagai-bagai ibadat yang lain. Sesungguhnya shari`at tidak terpisah dari akidah dan kerohanian. Kerohanian atau lebih khusus tasawuf datang meningkatrkan kualiti ibadat-ibadat tadi dengan berbagai nilai kerohanian sehingga dapat dilihat pada zahir, batin dan pembawaan mereka yang dapat disebut sebagai zuhud, wara`, ikhlas, amanah, khauf. raja`. tama`ninah, istiqamah, sabar, tawakkal, yakin, shukur dan mahabbah. Dapat disebut bahawa  tasawuf adalah mempadukan kekuatan akidah, kesungguhan  amalan ibadat  (shari`ah) dan kehalusan kerohanian sehingga menjadikan jiwa sufi jiwa yang tinggi kualiti.
Sebagai bukti sebagaimana telah disebutkan bahawa Al-Sarraj adalah antara yang menekankan kepentingan ibadat bagi tasawuf. Ia membicarakan di bawah adab-adab bertasawuf ialah seperti elok dari segi wudhu`dan bidang-bidang lain dari segi taharat, adab di dalam solat, adab pada zakat dan memberi  sadaqah, puasa dan adab-adab yang berhubung dengannya,  demikian adab di dalam haji dan segala ibadat-ibadat yang lain ada baginya adab. Mereka yang lain yang membicarakan hubungan shari`at atau fiqh dengan tasawuf,  selain dari Al-Sarraj, ialah Abu Talib Makki dengan kitabnya Qut al-Qulub hinggalah kepada Al-Ghazali dengan Ihya``Ulum al-Din.
Dalam hal menta`z*imkan  hukum shara` ini Al-Qushairy  menyebut contoh utama dari kalangan mereka ialah dari generasi terawal bersama dan sezaman dengan Rasulullah s.a.w.  ialah para sahabat.  Dapatlah difahami tentang keistimewaan mereka daripada Hadith Nabi s.a.w.
Daripada `Amran bin Hus*ain  r.anhuma berkata, bersabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Terbaik daripada kamu yang berada di dalam kurunku, kemudian yang mengikut mereka itu dan kemudian yang mengikut mereka itu.`` (Hadith Bukhari).
Dimaksudkan ialah para sahabat, para pengikut (tabi`in) dan pengikut dari pengikut (at*ba` al-tabi`in)
Daripada Mereka yang berada pada zaman Nabi dan tidak ada gelaran yang lebih istimewa kepada mereka ini selain dari `Sahabat`. Sahabat dari zaman nabi ini antaranya dikenali dengan kaum Muhajirin dan Ansar di samping kabilah-kabilah yang ada pada zaman mereka. Mereka sesungguhnya adalah kalangan yang memahami dan mengamalkan hukum shari`at  pada zaman Nabi, bahkan di kalangan mereka adalah golongan yang layak dipanggil sufi, tetapi lantaran gelaran `Sahabat` lebih utama, mereka tidak dipanggil `Sufi` . Contoh mereka seperti:
Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq ialah sahabat yang paling dekat dengan Nabi membenarkan apa saja yang dibawa Nabi, mengiringi Baginda berhijrah ke Madinah. Berkorban jiwa dan harta bagi mempertahankan Islam, bahkan merupakan Khalifh Pertama Islam. Abu Bakar dengan cara hidup dan perwatakan seorang sufi, tentulah mendalam di dalam bidang syara`. Wataknya  menjadi teladan di dalam berbagai bidang termasuk kesufian dan syari`ah.
Salman al-Farisi yang berkelana dari negeri Parsi kerana mencari kebenaran, sesudah mengalami pahit getir perjalanan  akhirnya Salman sampai ke Madinah dan berjumpa dengan Rasulullah dan memeluk Islam dan menjadi sahabat rapat dan Salman  yang mencadangkan kepada Nabi membina parit keliling Madinah bagi mempertahankan diri dari serangan kafir Quraisy pada peperangan Ahzab. Jiwa Salman lebih dari jiwa sufi dan tentulah dia mengamalkan segala hukum shara` yang dibawa oleh Nabi
Demikian juga misalnya Mu`adz bin Jabal adalah sahabat Rasulullah, dia terkenal sebagai sahabat yang paling pakar  tentang halal dan haram. Dia juga berjiwa sufi dan tentulah mendalam dalam bidang shara` sehingga menjadi seorang paling terkenal mengetahui soal halal dan haram.
Contoh sahabat seterusnya ialah Abu Hurairah bekas ahli Suffah paling dekat dengan Nabi dan banyak meriwayatkan Hadith-Hadith dari Nabi, seorang  seperti  ini paling banyak meriwayatkan Hadith, tentulah  alim dalam bidang shara` dan dia juga berjiwa sufi.
Contoh terakhir yang dapat dibawa mereka yang di kalangan sahabah ialah Bilal bin Rabah. Bekas hamba kepada Umayyah bin Khalaf.  Dia disiksa tuannya ini apabila dia menganut agama Islam beliau dijemur di tengah panas, diletak batu di atas dadanya dan berbagai siksaan dilakukan oleh tuannya, sehingga akhirnya ditebus dan dimerdekakan oleh Abu Bakar. Beliau kemudian menjadi muazzin Rasulullah, lambang persamaan di dalam Islam yang tidak membezakan antara yang kaya dan miskin,kulit hitam dan kulit putih dan sebagainya. Yang mengistimewakan ialah dengan taqwa.
Mereka dari generasi lepas sahabat ialah para tabi`in sebagai contohnya Imam Malik, Muhammad bin Ishaq dan para atba` al-tabi`in seperti Ibn Kathir dan para rawi Hadith selepas  rantaian kedua dan sebagainya. Mereka menurut Al-Qushairy adalah  pendukung shara`, tetapi mereka tidak dinisbahkan kepada sufi, lantaran gelaran sahabat tabi`in dan atba` al-Tabi`in lebih awla, lagi pula tasawuf berkembang hanya selepas pertengahan abad kedua Hijrah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment