BBB, 14
Jamadil Akhir 1439H. = 02 Mac 2018M. (Juma`at):
Sungai Ramal Dalam adalah bersempadan dengan
Bandar Baru Bangi (BBB) yang dibangunkan
sebagai Bandar pemangkin bagi
perkembangan Universiti Kebangsaan Malaysia. Walaupun pada permulaan bandar ini
kurang mendapat sambutan untuk dihuni, kerana dianggap jauh di tengah hutan
kelapa sawit dan tiada kemudahan, tetapi selepas dua puluh tahun dibuka
(1977-1997) BBB menjadi rebutan lantaran wujudnya lebuhraya Utara-Selatan
(disambung ke selatan dari Bangi selepas
1980an), Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dibuka (1997) dan
Putrajaya juga dibuka (2001), BBB dilihat bandar yang berada ditiga segi emas antara
KL-Seremban, dan Putrajaya dan gerbang bagi seluruh dunia melalui KLIA.
Perumahan menjadi rebutan, kelilingnya lahir berbagai institusi pengajian
tinggi dan BBB diprojekkan sebagai Bandar Ilmu. Seluruh kawasan di BBB dihuni,
bahkan perumahan berkembang ke Seri Putra dan Bukit Mahkota, manakala
kawasan-kawasan berhampiran dengan BBB seperti Pekan Bangi, Kajang, Sungai
Ramal Luar dan Dalam menjadi buruan bagi mereka yang mencari tapak-tapak
perumahan dan berspekulasi mengenai hartanah. Bandar Baru Bangi ketika Penulis
menjadi ADUN Kajang meningkat dari segi populasi dari 50,000 sekitar 1990an
menjadi 150,000 awal 2000. Kini penduduk berjumlah 250,000. Dalam masa yang
sama kependudukan melempah termasuklah
ke Sungai Ramal Dalam. Perumahan bertambah hingga menyebabkan sekolah Rendah
Kebangsaan kekurangan tempat dan Masjid al-Falah yang lama juga kekurangan
tempat.
Menurut Ustaz Dr. Ideris Endut dengan situasi
yang digambarkan di atas Masjid Sungai Ramal Dalam berdepan:
a) Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam yang telah uzur
yang hanya dapat menampung kira-kira 2,500 jamaah secara padat, tiba-tiba tidak
lagi dapat menampung pertambahan jamaah. Masjid ini bukan saja menampung ahli
kariah Sungai Ramal Dalam, tetapi juga ahli jamaah BBB, terutama dar Seksyen
Lapan BBB yang bersempadan dengan BBB. Masjid ini juga menampung jamaah dari
Taman Surada dan perumahan sekitar yang juga berhampiran dengan Sungai Ramal
Dalam. Bagi mengatasi kesesakan sebahagian dari penduduk Sungai Ramal Dalam dan
penduduk Seksyen Lapan BBB mulai berpindah berjamaah dan berjumaat di Masjid
Al-Hasanah yang dibuka pada tahun 2001.
b) Cabaran perancangan yang dihadapi oleh Sungai
Ramal Dalam menurut Dr. Ideris ialah masalah kesempitan ruang, khususnya
berdekatan dengan masjid (lama) adanya dua sekolah - Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Agama,
kesempitan bagi laluan anak-anak ke sekolah, lebih-lebih lagi bagi jamaah,
khususnya bagi yang membawa kenderaan, terutama pada hari Jumaat amat sukar
bagi jamaah untuk parkir kenderaan. Ruang pada tempat tapak masjid yang baru
didirikan pada satu masa dulu adalah tanah kosong yang tidak bertar, tetapi
selepas 2010, kawasan ini diberi tar dan dapat menampung sebahagian dari
kenderaan, tetapi masalah parkir tetap
berterusan.
c) Dr. Ideris
juga menyebut masalah pembangunan di Sungai Ramal Dalam yang kini dipenuhi
dengan rumah asal dan taman-taman perumahan. Bagi taman perumahan yang baru ada
disediakan jalan masuk keluar yang sesuai, tetapi bagi kawasan perumahan yang
lama, ialah masalah jalan terlalu sempit. Contoh jalan dari seksyen 8 ke Jalan
Masjid terlalu sempit, beberapa kali diusahakan bagi mengambil tanah
bersebelahan jalan, tetapi mendapat halangan, hanya ditingkatkan secara bertar
dan masih sempit. Jalan-jalan kampung yang lama juga sempit, walau bagaimana
keseluruhan jalan ditarkan pada masa Penulis menjadi ADUN, hingga ke tangga
rumah.
d) Bagi melastarikan Sungai Ramal Dalam perlu
melibatkan pembangunan secara menyeluruh. Misalnya pada masa Penulis menjadi
ADUN jalan utama dari jalanraya Kajang Ke Serdang masuk ke Sungai Ramal dapat
diperbesarkan dan ditarkan secara elok oleh kerana tiada halangan dari segi
pemilikan tanah. Perparitan yang sempit yang menyebabkan sering berlaku banjir
dilebar dan diperdalamkan hingga dapat mengurangkan banjir dan jalan-jalan di
keseluruhan Sungai Ramal Dalam diperbaiki dan ditarkan. Sungai Ramal Dalam
dapat dikatakan maju dan sama membangun seperti di tempat-tempat lain.
e) Ustaz Dr. Ideris juga memaklumkan bahawa terdapat
harta-harta waqaf di Sungai Ramal Dalam
yang mungkin antaranya merupakan hak masjid yang perlu diuruskan dengan
baik, manakala harta waqaf yang lain terletak di bawah urusan-JAIS dan MAIS.
f) Dalam keadaan Sungai Ramal Dalam sebagaimana yang
digambarkan membangun, khususnya dengan pertambahan penduduk, maka dilihat
perlunya kepada pembinaan masjid yang baharu. Apalagi tapak bagi masjid ini
sudah wujud, iaitu tanah wakaf bagi masjid berkenaan. Inilah menggerakkan
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dato` Maulud dan Penolongnya Tuan Haji
Ismail serta ahli jawatankuasa menggerakkan usaha mendirikan masjid yang
bangunannya sudah dapat disaksikan kini,
walaupun masih belum siap dan memerlukan dana.
Sekian.
No comments:
Post a Comment