March 11, 2018

QIBLAT DAN TAKMILAH - PENYATUAN ARAH/UMMAH



BBB, 22 Jamadil-Akhir 1439H. = 10 Mac  2018M. (Sabtu):
Qiblat bukan setakat bangunan batu bata yang berbentuk empat segi bujur yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail `alayhima al-salam (Al-Baqarah: 124-129), tetapi mempunyai significant dari segi maknawi. Ia disebut sebagai `Rumah Allah`, tetapi bukanlah Allah bertempat pada bangunan itu. Ia adalah lambang penyatuan ummah yang menyembah Allah dengan bersatu mengadap Qiblat. Konsep bersatu menyembah Allah yang ditanda arahnya kepada Qiblat adalah penting dari segi falsafah penyatuan ummah. Hakikat penyatuan ialah terhadap Allah, manakala Qiblat lambang lahir bagi penyatuan yang ianya (Ka`bah) mempunyai significant  dari segi sejarah. Sebagaimana Ka`bah sebagai `Rumah Allah`, demikianlah juga dengan masjid-masjid sebagai rumah Allah dalam mana umat Islam melakukan ibadat mereka bersatu menyembah Allah dengan mengarah dari segi fizikal terhadap Ka`bah yang maknawinya terhadap Allah. Hakikat penyatuan bukan sahaja dari segi solat, tetapi juga dari berbagai-bagai ibadat, keilmuan dan kegiatan.
Masjid dengan berbagai kegiatan tidak lain daripada kegiatan mentakmilah ummah dari segi amalan lahir dan meningkatkan kualiti maknawi dan rohaninya.
Dari aspek lahirinya dapat dilihat sejak dari usaha mendirikan masjid secara fizikal dengan usaha murni dan orang ramai dengan ikhlas menderma agar masjid yang diidamkan sempurna dibangunkan sehingga membolehkan mereka beribadat di Rumah Allah. Kegiatan seperti solat, membaca Al-Qur`an di dalam bangunan masjid, melakukan berbagai-bagai pengajaran dan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan yang berkebajikan adalah merupakan kegiatan lahiri. Namun dari kegiatan-kegiatan sedemikian adalah lebih mengarah kepada peningkatan kualiti rohani dan Takmilah di dalam mendekati diri kepada Allah.
Aspek-aspek yang  melibatkan peningkatan kerohanian dan menyatukan amalan, antaranya dapat dilihat di dalam berbagai-bagai aspek.
·         Masjid tempat paling utama digalak beribadat, terutama solat secara berjamaah, lantaran dengan solat pahala berganda. Solat adalah mendekat diri kepada Allah, bahkan ianya adalah mi`raj rohani kepada Allah. Ia juga institusi kemasyarakatan yang menghubungkan seorang Islam dengan yang lain.
·         Di masjid digalakkan beriktikaf dan antara amalan yang baik membaca Al-Qur`an di rumah Allah.
Membaca Al-Qur`an meningkatkan kerohanian.
·         Melalui Masjid dapat dipelajari berbagai keilmuan yang meningkatkan maklumat dan meningkatkan dari segi kerohanian.
·         Melalui pengajian akidah misalnya menyatukan fahaman dan pegangan tentang Ketuhanan, Kerasulan dan pegangan yang lain di dalam rukun iman.
·         Melalui pengajian di masjid, misalnya melalui ilmu fiqh dan kaedah-kaedah fiqhiyyah dapat memahani aspek-aspek ibadat di dalam Islam. Misalnya tentang solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Dengan belajar seseorang itu dapat memperbaiki dan meningkatkan kualiti ibadat.
·         Melalui masjid dapat mendalami bidang-bidang keilmuan yang lain seperti tafsir, hadith, manhaj al-fiqh, tajwid, dakwah dan berbagai-bagai keilmuan yang lain.
·         Melalui masjid dapat mengiratkan hubungan ummah dan kemasyarakatan.
Pendek kata melalui ibadat-ibadat dan pengajian di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan Islam dapat dipelajari berbagai-bagai ilmu keislaman. Dengan demikian memperbetulkan amalan dan menyatukan  kaedah dan amalan. Bukan setakat amalan, tetapi juga penyatuan dari segi akidah, ibadat dan matlamat kehidupan menurut perspektif Islam. Dengan demikian mentakmilahkan keislaman seseorang dan keberadaannya di tengah masyarakat.
Masjid adalah merupakan madrasah bagi orang-orang Islam yang  mereka mendapat pendidikan berterusan. Lebih dari itu masjid adalah pencetus peradaban dan tamadun umat. Antara masjid meningkat dari segi pengajian sehingga menjadi sebagai `Jami`ah` pengajian tinggi sebagai universiti kini. Ini adalah sebagaimana terjadi kepada Masjid al-Qayrawani di Maghribi dan Universiti A-Azhar di Mesir. Begitu juga sebagaimana berlaku di masjid-masjid di Kufah dan Basrah yang pernah menjadi pusat-pusat pengajian terkenal pada zaman Kerajaan Abbasiyyah.
Masjid sebenarnya pusat penyatuan ummah. Ianya adalah lambang ta`abbudiyyah, rohaniyyah, budaya, intelektual yang wujud di mana wujud ummah. Masjid sebenarnya  institusi yang menyatukan ummah sebagaimana Qiblat menyatukan arah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment