BBB, 11 Rajab 1439H. = 29 Mac 2018 (Khamis):
Sedang kerja-kerja finishing dilakukan di dalam masjid,
perkara-perkara yang di luar dari bangunan masjid juga dibincangkan, agar
apabila siap bahagian dalam bahagian luar tidak tertinggal dari persiapan.
Antara yang dikenal pasti dari awal ialah
persempadanan antara masjid dengan rumah-rumah jiran – rumah semi D (lama) sebanyak
enam buah. Sebelum dari kerja tanah dan meratakan, tanah sempadan dengan jiran,
antara mereka menggunakan tanah berdekatan untuk menanam pokok-pokok
buah-buahan seperti pisang, mempelam, bahkan pokok durian. Ada yang membina
court badminton di belakang rumah, bahkan ada bahagian-bahagian rumah yang
ditambah di belakang dan termasuk ke
dalam tanah masjid. Pihak jawatankuasa pernah berbincang dengan jiran-jiran
berkenaan dan memaklumkan tentang pembinaan masjid yang sempadannya rapat
kepada bangunan rumah mereka – semi D lama. Lawatan pernah dibuat oleh beberapa
ahli jawatakuasa melihat bahagian-bahagian yang terlibat yang antaranya
terpaksa diruntuh dan pokok-pokok diminta dipindahkan. Mereka semua memahami
keadaan dan akur dengan sempadan masjid dan rumah mereka. Ada yang meruntuhkan
bahagian yang termasuk di dalam tanah masjid dan mengalihkan polok-pokok yang
boleh dialih.
Dalam mesyuarat teknikal yang berhubung dengan
persempadanan ini pihak kontrektor Tuan Haji Marzuki menyebut dan mengenal
pasti, bahawa tembok bagi rumah permulaan masuk apabila dibuat jalan kelak
adalah tidak mempunyai foundation. Ianya dibina di atas tanah begitu sahaja.
Adalah dibimbangkan bila digali untuk
membuat asas bagi jalan naik ke masjid maka tembok sempadan (melibatkan rumah Dr.
Abdul Fattah Harun dan Tuan Haji Ahmadf akan runtuh), jika berlaku maka akan
melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Pihak Consultant seperti Safari Consultant
mencadangkan beberapa kaedah alternatif, mengelak dari dinding tembok dari retak
dan runtuh. Pihak masjid mengambil tindakan atas nasihat consultant membina
asas foundation dengan membuat slab dan
konkrit yang memberi ketahanan jangka panjang, kerana ianya melibatkan jalan
yang kerap dilalui. Al-hamdulillah daripada tindakan memperkukuhkan asas bagi
tembok ini jalan yang dibina kemudiannya tidak menimbulkan masalah.
Dari segi persempadanan, pihak masjid tidaklah
membina sempadan betul-betul atas garis
sempadan pemisah, tetapi, walaupun masjid sebenarnya amat merasa kekurangan
tanah bagi kawasan masjid, tetapi pihak masjid memperuntukkan 5 kaki jarak
antara garis sempadan. Bermaksud 5 kaki tanah masjid diperuntukkan sebagai
jarak bagi membolehkan sempadan berkenaan dihias misalnya di tanam
bunga dan sebagainya agar kelihatan menarik.
Pada bahagian sempadan berkenaan dibina tembok
yang standard dan selari dari permulaan pagar masuk ke kawasan masjid dan terus
ke bahagian atas dengan membina tembok
secara bertingkat menurut peningkatan dari ketinggian dan kecerunan.
Oleh kerana rumah-rumah jiran berkenaan paling
dekat dengan masjid dan mereka seharusnya menjadi jamaah yang paling dekat dan
diharap paling kerap berada di masjid sepanjang waktu solat, lantaran itu
difikirkan akan kemudahan yang patut disediakan oleh masjid terhadap
jiran-jiran berkenaan. Antara keputusan yang diambil oleh jawatankuasa ialah
untuk membuka satu lorong yang diberi berpintu yang membolehkan jiran-jiran
berkenaan datang ke masjid. Masalahnya pintu yang hendak dibuka akan dibuat
pada kawasan rumah siapa. Jika pintu dibuat bagi satu kawasan rumah yang
dipilih, maka kemudahan hanya akan dinikmati oleh jiran bagi rumah berkenaan.
Pada akhirnya dibuat keputusan akan dibuat bagi setiap rumah satu pintu, bagi
membolehkan pemilik rumah-rumah berkenaan ke masjid melalui pintu sempadan bagi
rumah masing (enam pintu) . Setiap pemilik rumah bersetuju membayar kos bagi
pintu standard yang dibina oleh kontrektor yang mana pada setiap pintu berkenaan
ada lambang masjid Al-Umm. Pintu-pintu berkenaan adalah indah standard dan
cantik.
Satu lagi kelompok rumah berjiran dengan
masjid ialah 6 biji rumah semi-D yang baru berselari dengan Dewan Orang ramai
sebelah atas dan berdekatan dengan masjid. Pada asalnya kawasan berdepan dengan
dewan seluas lebih kurang seekar ini
adalah tanah lapang. Bila Masjid Al-Umm dicadang untuk dibina, maka pihak
Jawatakuasa Pembangunan bercadang untuk memohon dari PKNS (tanah PKNS) untuk
dijadikan sebahagian tempat parkir masjid. Bagi tujuan ini Penulis selaku
Pengerusi Pembangunan Masjid bersama dengan Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku
Yang Dipertua Penduduk Bandar Bangi dan beberapa yang lain telah membuat
kunjungan ke PKNS pada 6 Februari 2013 bertemu dengan Tuan Haji Lokman bin Haji
Abdul Kadir Controller PKNS Cawangan Bangi dan pegawai-pegawainya
membincangkan kemungkinan memohon kawasan lapang berdekatan dengan masjid itu
dijadikan kawasan parkir Masjid, Tuan
Haji Lokman meminta kami membuat surat permohonan, tetapi selepas beberapa hari
dari pertemuan itu naik papan tanda bagi projek perumahan Anak Syarikat PKNS bagi
rumah semi-D yang baru. Walau bagaimana pemilik-pemilik rumah semi-D yang baru
itu menjadi aset bagi masjid. Antara dari mereka menjadi kakitangan masjid yang
aktif, dan mereka menjadi ahli jamaah
masjid.
Apabila masjid mulai dibuka pada 16 .12.2017
jiran-jiran sama ada dari rumah semi D lama dan baru adalah menjadi ahli jamaah
bagi Masjid Al-Umm Antara mereka menjadi pegawai masjid yang berkhid mat secara
sukarela dan mereka juga menjadi ahli jamaah setia bagi masjid. Pendekatan yang
baik dengan jiran adalah tuntutan Islam
dan juga kaedah Takmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment