BBB, 20 Jamadil- Akhir 1439H. = 08 Mac 2018M.
(Khamis):
Takmilah ialah puncak `Natijah`, menuju ke
arahnya adalah perjalanan kualiti dan pengisian. Perjalanan kualiti
berpelbagaian. Antara satu dengan lainnya kadang-kadang berkaitan dan sempurna
menyempurnakan. Natijah mungkin bersifat kualiti nilai bersifat keilmuan seperti
kebenaran, misalnya besar dan luas sebuah masjid hendaklah mengambil kira
luasnya tanah yang ada, seperti Masjid Al-Umm didirikan sesuai dengan mengambil
kira keluasan tanah yang ada hanya 2 ekar. Ia adalah rasional dan ilmu. Natijah mungkin bersifat kualiti nilai
keindahan misalnya seni bina masjid Al-Umm mempunyai nilai estetika, bersifat
kudus dan rohani. Ia adalah orientasi seni dan rohani yang dialami. Dan mungkin
bersifat kualiti nilai dan amalan, misalnya dari masjid melalui ibadat dan
pengajian meningkat ciri ta`abbudiyyah hamba terhadap Allah dan memupuk
ketinggian akhlak, khususnya di kalangan anak-anak remaja sekolah yang sering
datang bersolat dan mungkin bersifat kualiti nilai kasih sayang
seperti cinta dalam ertikata yang luas seperti kasih sayang sesama jama`ah dan mungkin bersifat kualiti nilai dalaman yang digarap oleh ilmu dan rohani dipelajari
hingga terpupul tulus amalan seperti `Ikhlas` dan sebagainya.
Bagi mencapai kualiti-kualiti nilai di
atas ada syarat- syarat yang antaranya
bersifat wajib, misalnya bagi mencapai `Kebenaran` arah Kiblat adalah merupakan
sesuatu yang wajib yang jika tidak disempurnakan menyebabkan tidak sah ibadat solat. Bagi
mencapai kebenaran, khususnya bagi masjid yang berada pada lokasi yang jauh
memerlukan kepakaran di dalam ilmu falaq dan astronomi, lantaran itu dalam
sejarah umat lahir keilmuan falaq bagi mengisi
keperluan ketepatan dari segi arah Kiblat.
Ada keperluan yang merupakan keberhasilan
secara bersamaan yang bukan berupa tuntutan dan kewajipan, tetapi datang `besertaan`. Misalnya membina masjid adalah
merupakan kepatuhan bagi menjadikannya tempat ibadat. Oleh kerana lahirnya rasa
patuh dan ta`abbudiyyah, maka dibina tempat ibadat yang sesuai, harmoni dan
indah. Maka terhasil dari kerja seni bina yang dilakukan sebagai `Seni bina
Masjid` yang mempunyai elemen
ta`abbudiyyah dan estetika rohani yang harmoni yang diambil dari unsur-unsur
alamiah sesuai sebagai masjid. Ianya bukan kemestian, tetapi adalah keharusan.
Ianya mungkin bersifat tabi`i dan banyak tabi`i
dan asli dilihat sebagai nilai yang baik dan dipertingkatkan nilainya. Ini
dapat dilihat dari tabi`i alam, misalnya tumbuh-tumbuhan yang menjalar dan yang
meninggi dalam hutan dilihat sebagai
keindahan tabi`i. Keindahan ditiru dan dipertingkatkan lagi dalam seni taman.
Keadaan tabi` i ada pada diri insan.
Misalnya sifat bertanggungjawab terhadap keluarga, menolong yang susah,
bekerjasama dan sebagainya nilai tabi`i yang baik ini dipertingkat bagi
kebaikan dan kesempurnaan manusia.
Lebih halus dari itu timbul dari tabi`
kemanusiaan yang murni rasa kasih sayang, misalnya antara ibu dan anak, antara
manusia, antara manusia dan alam dan antara manusia dan Tuhan. Sebenarnya
kehidupan insan secara sedar atau tidak dipupuk oleh tuntutan-tuntutan. Namun
sebahagian besar insan dihanyut oleh kebiasaan-kebiasaan dan mereka adalah
bersifat hadir dan pergi. Hanya bagi mereka yang sedar mendepani
tuntutan-tuntutan, namun sebahagian besar sekadar megulangi keperluan dan
mengatasi sebagai rutin yang harus dihadapi.
Hanya sebahagian kecil yang sedar dan mengambil
sikap berinovasi, berkreativiti dan
bertakmilah.
Lihatlah hanya sebahagian kecil daripada insan
yang muncul dan terkedepan di dalam kepimpinan dengan penuh wibawa dan memberi
manfaat keinsanan. Lihatlah juga hanya sebahagian kecil insan yang mengkagumi keilmuan dan terbakar dengan
kecintaan terhadapnya dan tersepuh darinya dapatan-dapatan yang menambahkan khazanah hikmat dan keilmuan yang
memberi manfaat kepada generasi insan itu sendiri. Hanya sebahagian kecil dari
insan yang cinta dengan keindahan yang dengan keindahan ini mereka menyulam dan
mengabadikan cinta yang dinikmati jagat insan. Amat kecil dari kalangan insan
di tengah kemabukan manusia berbunuh-bunuhan bangkit membela kemanusiaan tanpa
kepentingan.
Demikian proses ujian kemanusiaan yang
bersimpang siur yang sukar menuju kepada penghujungnya – cahaya Takmilah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment