BBB, 01 Rejab 1439H. = 19 Mac 2018M. (Isnin):
Selepas setahun berundurnya Tan Sri Dato` Seri
Abdul Khalid Ibrahim dari memimpin Selangor dan selepas setahun ini juga
timbulnya hasrat menghidupkan kembali untuk mendapat peruntukan RM6 juta dari
Kerajaan Negeri Selangor berdasarkan janji yang dibuat oleh Tan Sri Khalid pada
6 Januari 2013 ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah dan Kenduri Kampung di
tapak Masjid Al-Umm.
Usaha yang efektif bagi menuntut janji ini
adalah diambil inisiatif utama oleh Dato` Dr. Haron Din. Temu janji telah
dibuat dengan YAB Dato` Menteri Besar Selangor
dan disetujui untuk menemuinya pada 8 Julai 2015 di Pejabat Menteri Besar
itu di Tingkat 21, Bangunan Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pada hari tersebut Dato` Dr. Haron Din bersama
Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm yang terdiri dari Dr. Shafie Abu Bakar (Pengerusi), Haji Suib Maulud (Setiausaha), Hj.
Mohd. Nor Yasin (Bendahari), Haji Abdul Rahman Daud (AJK), Muhammad Adham bin
Anuar (Setiausaha Kerja) dan Haji Azizi Adnan (Jurufoto).
Dato` Dr. Haron Din memulakan pertemuan dengan
salam dan Penulis mengucapkan tahniah di atas perlantikan Dato` Seri Azmin
menjadi Menteri Besar, walaupun tahniah tersebut sudah agak lewat, tetapi
itulah pertemuan pertama khususnya bagi Penulis selepas beliau dilantik menjadi
Menteri Besar Selangor. Dari segi perkenalan kami memang rapat dan biasa,
lantaran sepanjang menjadi ADUN Kajang
kami bersama-sama menjadi pembangkang dan semasa Kerajaan Pakatan Rakyat
(PKR,PAS dan DAP) memerintah semasa Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar, saudara Azmin menjadi Ketua whip bagi PKR,
Penulis whip bagi Pas dan Ng Swee Lim bagi DAP. Penulis duduk bersebelahan dengan saudara Azmin.
Penulis masih ingat dalam perbincngan Dato`
Dr. Haron, beliau selepas memohon pertimbangan agar jumlah RM6 juta dapat
ditunaikan oleh Dato` Seri Azmin, beliau
secara bergurau, ``Kalau tak dapat RM6 juta, paling kurang RM5 juta, katanya.`
Dato` Seri Azmin menjawab, bahawa beliau akan
pastikan mana-mana lebihan peruntukan, atau peruntukan yang tidak
digunakan oleh sebarang jabatan boleh
digunakan untuk membiayai dana Masjid Al-Umm.``
Pada pertemuan itu, masih belum dapat
dipastikan berapa jumlah yang akan diusahakan oleh Dato` Seri Azmin Ali. Tetapi
kita percaya kehadiran Dato` Dr. Haron Din sendiri diberi perhatian serius oleh Dato` Seri Azmin `Ali, memandangkan
kehadiran Dato` Dr. Haron Din, bukan sekadar atas nama peribadi.
Dato` Dr, Haron Din adalah Murshidul Am Pas
yang menggantikan Tuan Guru Dato` Nik Aziz Menteri Besar Kelantan dan Mershidul
Am Pas yang meninggal pada 12 Februari 2015. Dato` Seri Azmin menghormati Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din,
kerana antaranya,
Kerajaan yang dipimpin oleh Dato` Seri Azmin
Ali adalah Kerajaan Pakatan yang sama didukung oleh PKR, PAS dan DAP. Adalah
tidak manis jika pemimpin satu Pakatan kerajaan yang memerintah dan ketuanya
(Murshidul Am) membuat permohonan tidak diberi perhatian.
Sebagai ulama` dan tokoh yang dihormati dan
kedatangannya adalah serius seharusnya dihormati permintaannya. Adalah
dibimbangi Dato` Dr. Haron Din yang sering sakit (jantung) akan kampunan jika
permintaan dari seorang Tuan Guru dan pemimpin tidak diberi perhatian.
Dalam pertemuan itu Dato` Seri Azmin tidaklah memberi kata putus berapa jumlah dana yang
akan diberikan, tetapi berjanji akan mempertimbangkan sejumlah yang sesuai.
Agak lama juga keputusan yang diambil oleh
Dato` Seri Azmin Ali. Hasil dari pertanyaan berterusan dari AJK dan mendengar
Dato` Dr. Haron Din sakit, beliau membuat keputusan untuk mengunjungi Dato` Dr.
Haron Din dan menyerahkan dana yang dijanjikan, tetapi sejumlah RM4 juta,
kurang dua juta dari yang dijanjikan
oleh Tan Sri Khalid sebelumnya.
Tarikh yang ditentukan oleh Dato` Seri Azmin
untuk datang ke Bangi, ialah pada Jumaat 9 September 2016 di Masjid Al-Hasanah dan
menunaikan solat Jumaat di situ.
Pada hari Juma`at 9 September itu Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
datang bersolat Jumaat di dalam keadaan
uzur, beliau disorong ke dalam masjid dan mengambil tempat di atas kerusi
sorong di tepi tiang beberapa baris dari baris hadapan. Apabila Dato`
Seri Azmin tiba, beliau disambut oleh AJK Masjid Al-Umm dan jawatankuasa Masjid
Al-Hasanah dan turut disambut sama oleh Dato` Dr. Haron Din dari atas kerusi sorong. Dato` Seri Azmin dibawa ke
hadapan, tetapi kemudian beliau sengaja ke belakang dan berada di samping Dato`
Dr. Haron Din semasa khatib membaca khutbah dan bersama bersolat Juma`at.
Selepas solat Juma`at diadakan Majlis ringkas,
dimana Penulis selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan berucap ringkas berterima kasih di atas
kehadiran YAB Dato` Seri Azmin Ali dan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bagi
menerima cek yang akan disampaikan oleh Dato` Seri Azmin kepada Tuan Guru.
Tidak ada ucapan dari Dato` Seri Azmin , sebaliknya beliau mnyampaikan cek
seharga RM4 juta bagi Masjid Al-Umm yang diterima oleh Dato` Dr. Haron Din.
Kemudian tamu termasuk Dato` Seri Azmin Ali dan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din
beredar ke belakang bagi menyertai jamuan dengan melalui orang ramai yang ingin
bersalam.
Semasa jamuan makan Tuan Guru Dato` Dr. Haron
Din yang sama berada semeja dengan Dato` Seri Azmin, termasuk Penulis bercakap tentang masjid Al-Umm dan
kesihatannya yang dimaklumi bahawa keesokan hari beliau akan berlepas ke
Amerika untuk mendapat rawatan sakit jantungnya. Namun beliau tetap tersenyum
dan bergurau, bagai tiada apa sakit yang dialaminya. Itulah kali terakhir orang ramai menatap wajahnya. Selepas itu
Dato` Seri Azmin pulang dan singgah sekejap menyaksikan Masjid Al-Umm dan
bergambar dengan Ahli Jawatankuasa. Manakala Dato` Dr. Haron Din pulang ke
rumahnya dan besoknya bertolak ke California untuk mendapat rawatan. Pada 16
September Jumaat seminggu selepas beliau bertolak berita mengejutkan diterima
bahawa Dato` Dr. Haron Din meninggal di sana.
Inna li`l-Lahi wa inna ilayhi raji`un. Semoga
Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Al-Marhum Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din.
Amin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment