March 12, 2018

PENGUMUMAN DERMA LUAR DUGAAN, SYUKUR DAN MELEGAKAN



BBB,  23 Jamadil-Akhir 1439H. = 11 Mac 2018M. (Ahad):
Salah satu syarat bagi pembinaan Masjid, termasuk Masjid Al-Umm ialah adanya dana bagi membiayai pembinaan masjid berkenaan. Ini telah disedari oleh Jawatankuasa Pembinaan sejak dari permulaan tertubuhnya jawatankuasa awal bagi membina masjid iaitu pada 4 Februari 2010. Jawatankuasa ini dapatlah dipanggil sebagai `Jawatankuasa Persediaan`  bagi membina masjid. Bermaksud jawatankuasa ini berusaha dari membuat permohonan bagi gezet tanah bagi tapak masjid, membuat permohonan bagi mendirikan masjid, memohon keizinan memungut derma dan sebagainya.
Usaha mendapat kewangan terawal ialah dengan mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Masjid Al-Umm yang dilancarkan oleh ADUN Bangi di Medan Parkir berdepan tapak masjid pada 19 Mei 2012 mulai jam, 10.00 pagi. Pelancaran permulaan ini menghasil jumlah dana RM150,000 yang RM100,000 daripadanya adalah derma disampaikan oleh seorang wanita bagi mengenang jasa ibunya.
Sejak dari itu derma terus dipungut dan turut bertambah dengan sederhana. Harapan kedua bagi AJK Pembinaan ialah dari pengumuman YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada hari perasmian Tapak Masjid Al-Umm yang dinamakan Majlis Mesra Kenduri Kampung Bersama YAB Dato` Menteri Besar Selangor di tapak parkir berdepan Masjid Al-Umm pada 6 Januari 2013, iaitu lebih dari setengah tahun dari tarikh Pelancaran Derma Masjid Al-Umm. Pada acara itu YAB Dato` Menteri Besar Selangor  menyatakan yang Kerajaan Negeri akan  menderma berdasarkan `dolar to dolar` sehingga jumlah RM6 juta ringgit. Pengumuman itu amat menggembirakan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm dan semua yang hadir.
Atas janji sedemikian pihak Jawatankuasa Pembinaan bersemangat  untuk mencari dana sehingga sejumlah RM6 juta yang melayakkan dana Masjid Al-Umm mendapat RM6  juta lagi. Dengan jumlah ini kiranya didapati sudah mencukupi bagi kos pembinaan Masjid Al-Umm yang pada masa itu kosnya ialah RM12 juta ringgit. Dengan janji itu dan dengan rasa yakin (insya Allah) pihak AJK  telah membuat keputusan untuk mulai membina bangunan Masjid Al-Umm tidak lewat dari awal tahun 2014. Selain  dari usaha meningkatkan kerja bagi mendapatkan  derma, maka persediaan teknikal turut diperkasakan. Misalnya menubuhkan Jawatankuasa Teknikal pada bulan Ogos 2012, memilih arkitek, kontrektor dan consultant-consultant.
Walau bagaimana hingga akhir tahun 2013, iaitu dana terkumpul pada 31 Disember 2013 hanya berjumlah: RM2,641,102.35 sen sahaja lebih sedikit dari satu pertiga dari jumlah yang ditargetkan, iaitu RM6 juta. Walau bagaimana keputusan telah diambil bagi membina fizikal masjid pada akhir tahun 2013, iaitu berlaku mula `Masuk Tapak` pada 10.12.2013. Syarat untuk membangun masjid ialah perlu kepada Penentuan Arah Qiblat. Penentuan ini telah berlaku sebagaimana disebutkan dengan menjemput Dato` Dr. Haron Din merasmikan arah Qiblat iaitu pada 2 Januari 2014.
Sesugguhnya kita tidak  tahu apa yang akan berlaku dan Allah Amat Mengetahui dan Memberi rahmat kepada yang dikehendakinya, tanpa disangka-sangka.  Sesungguhnya selepas merasmikan upacara Menentukan Arah Kiblat, semasa rehat dan minum antara Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, Penulis selaku Pengerusi bagi Pembinaan Masjid Al-Umm dan beberapa yang lain, Dato` Dr. Haron Din bertanya tentang jumalah yang telah berjaya dikutip, Penulis memberi tahu jumlah yang dapat dikutip hanya  RM2.5 juta sahaja. Pada masa itu, iaitu 2 Januari 2014 bersamaan 2 Safar 1435 sempena dengan Perasmian Arah Qiblat beliau memaklumkan bahawa beliau akan menderma sebanyak RM1.5 juta bagi menambahkan jumlah dana Masjid Al-Umm. Pengumuman oleh Dato` Dr. Haron Din ini adalah di luar dugaan kami dan amat menggembirakan kami. Ini kerana dengan derma dari Dato` Dr. Haron Din itu menjadikan Dana Bagi Pembinaan Masjid Al-Umm adalah berjumlah  RM4 juta, iaitu satu jumlah yang boleh pihak kami `bernafas` di dalam menguruskan pembinaan, khususnya bagi pembinaan tapak terlebih dahulu pada peringkat awal.  Dato` Dr. Haron Din memberi tempoh dua hari untuk beliau berurusan bagi mengeluarkan cek bagi menyerahkan dana yang dijanjikan.
Sesungguhnya pada  4 Januari 2014, kami AJK yang diketuai oleh Penulis selaku Pengerusi AJK Pembinaan dan beberapa AJK telah dijemput oleh Dato` Dr. Haron Din ke rumahnya. Kami telah pergi dengan keadaan gembira dan bersyukur. Di luar dari jangkaan kami,  Dato` Dr. Haron Din menambahkan lagi jumlah pemberian dana dari RM1.5 juta dengan tambahan lagi RM200,000, menjadikan jumlah RM1.7 juta. Dalam majlis penyerahan cek yang diurus sama oleh anak Dato` Dr. Haron Din, iaitu saudara Hamdi, cek berkenaan diserahkan kepada Pengerusi yang kemudian menyerahkannya  kepada Bendahari untuk di Bank inkan.
Sesungguhnya  terserlah sifat dermawan Dato` Dr. Haron Din terhadap Masjid Al-Umm, sifat dermawan beliau bukan sahaja terhadap Masjid Al-Umm, tetapi juga trerhadap beberapa masjid yang lain.
Semoga Allah menggandakan pahala atas sadaqah jariahnya dan dicucuri Allah rahmat  ke atas rohnya. Amin.
Sekian.

No comments:

Post a Comment