March 10, 2018

PENENTUAN ARAH QIBLAT, JEMPUT DATO` DR. HARON DIN RASMI: KETERLIBATAN AWALNYA DENGAN MASJID AL-UMM



BBB, 21 Jamadil Akhir 14329H. = 09 Mac 2018M. (Juma`at):
Penentuan  arah Qiblat bagi sesebuah masjid adalah penting dan merupakan syarat yang wajib bagi masjid. Ianya termasuk  satu daripada rukun solat, tanpa mengarah kepadanya, maka tidaklah  sah solat. Lantaran itu ia adalah keperluan Takmilah yang penting dan merupakan kemestian. Selepas `masuk tapak` dan `kerja tanah` dan sebelum menggali lobang bagi menanam cerocok hendaklah menentukan arah Qiblat.  Arah Qiblat ini, walaupun dapat ditentukan, misalnya oleh juru ukur yang mahir, maka tidak boleh dilakukan secara persendirian, sebaliknya hendaklah membuat permohonan seperti di Selangor dengan JAIS, selepas membuat permohonan mendirikan masjid diluluskan, maka hendaklah disusuli dengan permohonan menentukan arah Qiblat. Demikianlah permohonan telah dibuat oleh Pengerusi Pembinaan Masjid kepada  pihak JAIS untuk menentukan arah Qiblat bagi Masjid Al-Umm dan penentuan arah Qiblat ini diuruskan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor. Tarikh penentuan arah Qiblat bagi Masjid Al-Umm telah ditentukan pada tarikh hari Khamis 2 Januari 2014 bersamaan 30 Safar 1435 mulai jam 9.00 pagi hingga jam 10.30 pagi.
Pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor sebenarnya mempunyai unit mengukur arah Qiblat (diswastakan) dari juru ukur bertauliah. Sebelum tiba tarikh menentukan arah kiblat pihak unit berkenaan datang terlebih dahulu membuat ukuran bagi tarikh perasmian di atas.
Pihak Jawatankuasa Urusan Masjid Al-Umm dalam mesyuaratnya bagi upacara menentukan arah Qiblat Masjid Al-Umm telah membuat keputusan menjemput Dato` Dr. Haron Din sebagai Tuan Guru dan Penaung bagi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm (dilantik menjadi Penaung  pada 6.7.2013) bagi merasmikan penentuan ukuran arah Qiblat bagi Masjid Al-Umm dan beliau telah bersetuju.
Perlu disebut ini adalah pertama kali keterlibatan Dato` Dr. Haron Din dengan Masjid Al-Umm selepas beliau dilantik, iaitu  merasmikan upacara menentukan arah Qiblat Masjid Al-Umm pada  2 Januari 2014 di atas. Bagi upacara perasmian ini diadakan Majlis yang dihadiri oleh ahli jawatankuasa Masjid Al-Umm dan jemputan-jemputan dari masjid dan surau-surau di sekeliling tapak bagi masjid Al-Umm dengan diadakan jamuan kecil. Dato` Dr. Haron Din meneliti arah Qiblat melalui alat Thedolite dan diikuti oleh beberapa tamu.
Keputusan yang sebenarnya telah sedia diketahui segera mendapat jawapan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor berupa sijil adalah sebagaimana berikut:
                            JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR
``Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Ka`bah). (Maksud ayat 149 surah al-Baqarah).
                                    SIJIL   PERAKUAN
Adalah disahkan arah Qiblat bagi:
Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi
Latitud (O)    : 02 *     56`     40``         U
Longitud:       101 *    46`      15``         T
Arah Qiblat:   292 *   36`       58``
Tarikh Pengesahan:   2 Januari 2014
Diperakukan oleh:  Tandatangan dan Mohor
Dato`  Seri Utama Diraja Mufti Selangor.
Tarikh 3 Januari 2014.
SPAQ No. 1/1:1/2014.
Dalam surat Jabatan Mufti Ruj. Mufti Selangor  600-1. Jld. 40 (34) bertarikh 6 Rabi`ul-Awwal 1435H. = 8 Januari 2014:
·         Mengesahkan arah Qiblat Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sebagaimana di dalam sijil pada tarikh 2 Januari 2014.
·         Tanda arah Qiblat ini hendaklah dipatuhi. Dan menjadi tanggungjawab tuan untuk menjaga, Pihak Jabatan Mufti tidak akan membuat pengukuran kali kedua, sekiranya tanda arah Qiblat tersebut hilang.
·         Perlu mengikut arah Qiblat yang ditentukan dan disahkan secara sijil. Sijil pengakuan ini hendaklah dipamerkan di dalam dewan solat.
Terima kasih
Haji Hadri bin Idris PPT.
Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak,
b.p. Mufti Selangor.
Sekian.

No comments:

Post a Comment