March 22, 2018

MUHASABAH - MENJEJAKI YANG MULIA PERIBADI



BBB, 03 Rajab 1439H. = 21 Mac 2018M. (Rabu):
Muhasabah adalah sifat murni di dalam Islam, khususnya dalam bidang kerohanian. Muhasabah adalah bermaksud membuat penilaian, khususnya diri dalam apa peringkat agar dengan muhasabah dapat dikenalpasti kekurangan, kelemahan, kesilapan, bahkan  sekiranya tidak ada aspek-aspek ini, andainya sudah berada pada jalan yang betul, maka dapat diperbaiki, khususnya diri supaya meningkat dari segi prestasi kepada tahap maksimum.
Di dalam bermuhasabah berdasarkan Islam perlu ada nilai yang menjadi dasar pertimbangan sama ada baik atau buruk, betul atau salah, maju atau mundur dan sebagainya. Penilaian di dalam Islam ialah berdasarkan pengajaran yang ada di dalam Al-Qur`an  dan Sunnah Nabi Muhammad  s.a.w. adalah sebagai piawaian tertinggi. Namun di sana ada darajat-darajat dan maqam-maqam selepas dari Rasulullah. Mereka dikenali sebagai sahabat, tabi`in, tabi` tabi`in dan berikutnya dikenali  dari segi darajat dan maqam ialah para auliya`, salihin dan  ulama` dan dikatakan bahawa `Para `ulama` ialah Pewaris Nabi-Nabi.` Para ulama` ialah orang yang mendalami ilmu, mencintai, mengamali, mengajar dan mewariskan keilmuan.
Dilihat dari segi pembinaan  fizikal, konsepsi dan nilai, maka pembinaan yang paling utama ialah pembinaan terhadap manusia yang melibatkan jasmani, akli dan rohani secara Takmilah. Dilihat kepada masyarakat di Bandar Baru Bangi yang hampir keseluruhannya muslim, sedari awal berlakunya perpindahan ke Bandar Baru Bangi sejak akhir November 1977, mereka pada umumnya adalah intelektual yang bekerja di universiti (UKM) dan pada dasarnya mempunyai persediaan rohani, lantaran itu selepas perpindahan mereka ke Bangi mereka rindu untuk mendengar laungan azan, mereka rindu untuk bersolat di dalam saf-saf yang teratur berjamaah bersama imam, mereka rindu untuk bersolawat ketika bertarawih pada bulan Ramadhan. Lantaran itu antara prioriti pertama, mereka maukan sebuah surau untuk berjamaah yang kemudian ditunaikan oleh PKNS dengan menyerahkan sebuah rumah semi-D No. 6 Jalan 1/3G, pada 5 Ogos 1978. Selepas gotong royong membersihkannya pada hari itu, terus digunakan pada keesokan harinya 6 Ogos 1978 bersamaan 1 Ramadhan 1398H. sempena menyambut puasa Ramadhan. Mulai dari hari ituBandar Baru Bangi yang sunyi mulai bergema dengan azan dan salawat terhadap Junjungan. Sesungguhnya dari masa itu surau ini mulai menjadi tempat ibadat kepada sebahagian penduduk Bandar Baru Bangi hinggalah ke tahun 2017. Surau ini berperanan bukan setakat tempat ibadat, tetapi juga mendidik masyarakat setempat dengan keilmuan-keilmuan keagamaan dan kegiatan kemasyarakatan. Dapatlah dikatakan penduduk setempat, demikian juga dengan surau-surau yang lain yang dibina selepas Surau Al-Umm berperanan mendidik dan mengorientasikan masyarakat setempat dengan nilai-nilai Islam. Ramai guru yang berjasa mendidik mereka. Antaranya telah kembali ke Rahmatullah seperti Dr. Mahmud Saedon dan Dr. Abdullah Ibrahim, setengahnya masih ada tetapi sudah uzur seperti Imam Supaat dan masih berkhidmat, tetapi mulai uzur seperti Dr. Abdul Wahab Salleh. Mereka adalah personaliti contoh yang disanjung dan dihormati masyarakat.
Sedang Bandar Baru Bangi berkembang dengan pertambahan kediaman (16 Seksyen) dan jumlah kependudukan mendekati kepada suku juta dan bertambahnya surau-surau hingga melebihi 40 surau di Bandar Baru Bangi, setengahnya begitu sempurna sebagai bertaraf masjid dan selayaknya, beberapa daripadanya menjadi masjid, maka penduduk sekitar Surau Al-Umm merasakan mereka jauh ketinggalan dari segi keselesaan beribadat di surau. Lantaran itu mulai 2010 kalangan penduduk mengusahakan bagi mendirikan masjid yang tapaknya ada berdekatan dengan Surau Al-Umm. Demikianlah membawa kepada terdirinya Masjid Al-Umm yang mengambil masa begitu lama dan hingga kini, sesudah 7 tahun usaha mewujudkannya, masih belum sempurna, walaupun sudah digunakan untuk solat berjamaah mulai 16.12.2017.
Begitu tinggi harapan ahli jamaah dan penduduk yang mengimarahkannya agar masjid ini menjadi bukan saja tempat ibadat, tetapi serentak berfungsi secara aktif mengimarahkan masjid dan membentuk masyarakat yang kehidupan mereka di dalam suasana Islam. Masa mereka terpenuh dengan ibadat dan pengajian serta mencari nafkah kehidupan. Dalam perjalanan mengimarahkan masjid insya Allah akan lahir  pimpinan-pimpinan yang menjadi uswah hasanah bagi mereka, sebagaimana sebelumnya telah lahir kepimpinan keilmuan semasa di Surau Al-Umm. Pada hakikatnya pada peringkat awal sejak Masjid Al-Umm dalam pembinaan sudah ada tokoh mithali yang memberi peluang bagi masyarakat mengambil manfaat dari ilmunya dan mencontohi peribadi – Tokoh yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din seorang ulama` yang berwibawa dan berperanan di dalam mengusahakan dana bagi Masjid Al-Umm. Meskipun Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din telah kembali ke rahmatullah (16.9.2016), tetapi peranan dan peribadinya cukup untuk  dicontohi dan diikuti.
Sekian.

No comments:

Post a Comment