March 19, 2018

PENDEKATAN MENDAPAT DANA OLEH DATO` DR. HARON DIN


BBB,  30. Jamadil- Akhir 1439H. = 18 Mac 2018M. (Ahad):
Ada lima  pendekatan yang dilakukan oleh Dato` Dr. Haron Din bagi mendapat Dana bagi Masjid Al-Umm
1)       Keikhlasan dari dirinya sendiri:
Sebagaimana telah disebut Dato` Dr. Haron Din secara ikhlas menderma dari kewangannya sendiri sebanyak RM1.7 juta  sebagaimana dilakukannya di rumahnya pada 4 Januari 2014.
Sebagaimana juga telah disebutkan  Dato` Dr. Haron Din sudi memberi pinjam wang dari Tabung Birr al-Walidayn (Kebajikan Dua Ibu Bapa)  kepada Masjid Al-Umm pada pertengahan September 2015 tanpa sebarang cagaran. Untuk menjaga aturan pinjam meminjam di dalam Islam, Penulis selaku Pengerusi menasihatkan  setelah mendapat duit pinjaman berkenaan supaya pihak Masjid membuat surat perjanjian bagi pinjaman tersebut, bagi mengelak timbul permasalahan, tanpa surat perjanjian. Perjanjian telah dibuat atas gesaan Pengerusi. Hal ini timbul kerana urusan untuk meminjam ini dilakukan oleh beberapa orang AJK tanpa memberi maklumat terlebih dahulu kepada AJK dan tak dibawa kepada mesyuarat, bahkan semasa mengambil pinjamanPengerusi tidak diajakserta, sehingga Dato` Dr. Haron Din bertanya, mengapa Pengerusi tidak hadir. Beliau tidak senang dengan cara muamalah sedemikian.
2)      Derma orang ramai kerana keyakinan terhadap dirinya
Bermaksud orang ramai menderma untuk Masjid Al-Umm adalah melalui dirinya, sebagaimana Dato` Dr. Haron Din pada 19.11.2015 menerima cek sebanyak RM50,000 dari individu tertentu dan cek ini diserahkan kepada seorang AJK untuk diserahkan kepada Bendahari Masjid Al-Umm.
Begitu juga pada 25.11.2015 beliau menerima derma dari seorang Muslimah derma sebanyak RM1 juta  untuk Masjid Al-Umm.
3)      Usaha Menerusi Kepimpinan Jabatan
Ini sebagaimana dilakukan oleh Dato` Dr. Haron Din yang pergi bersama beberapa orang AJK Pembinaan Masjid Al-Umm, termasuk Pengerusi pada 13 Januari 2014 mengadakan pertemuan dengan Exco, YB Tuan Salehen bin Muhyi Pengerusi Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodanan Pertanian dan Pembangunan Desa di Pejabat beliau di Bangunan Sultan Salahuddin bin Abdul Aziz Shah, pertemuan adalah membincangkan kemungkinan mendapat dana bagi Masjid Al-Umm, tetapi tidak menghasilkan sebarang keputusan.
Juga pada tarikh yang sama (13 Januari 2014) perjumpaan dilakukan antara Pengerusi dan beberapa AJK dengan Dato` Bakhtiar bin Hussin Setiausaha MAIS juga membincangkan persoalan dana bagi Masjid Al-Umm. Dato` Dr. Haron Din tidak menghadiri pertemuan ini dan mewakilkan Pengerusi dan bersama AJK berbincang dan tiada sebarang keputusan yang terhasil.
4)       Pertemuan formaliti
Sebagaimana telah disebut pertemuan telah dilakukan terhadap Tan Sri Dato` Seri Syed Anwar bin Syed Putra Jamalullail sebanyak dua kali dirumahnya yang menghasilkan dana sebanyak RM1.8 juta itu. Sebelum daripada itu pada 23.1.2014 pertemuan secara formaliti diadakan antara AJK Pembangunan Masjid Al-Umm diketuai Pengerusinya dengan Tuan Haji Mohamad Izam bin Muhammad Yusof Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor jam 3.00 petang pada tarikh di atas. Dato` Dr. Haron Din tidak hadir pada pertemuan ini kerana uzur. Perbincangan ialah bagi mendapat dana bagi Masjid Al-Umm. Sebagaimana dimaklum melalui konteks peribadi antara Dato` Dr. Haron Din dengan Tan Sri Dato` Seri Syed Anwar dan pertemuan dirumahnya menghasilkan dana sebanyak RM1.8 juta itu.
5)      Pertemuan Dengan Dato` Menteri Besar Selangor
Sebagaimana disebut usaha menuntut  dana RM6 juta  terencat dengan  dipecat Tan Sri Dato` Khalid bin Ibrahim dari parti PKR dan dari jawatan Menteri Besar Selangor (10 Ogos 2014).  Beliaulah yang membuat janji akan memberi dana bagi mebiayai Masjid Al-Umm atas dasar dolar to dolar terhadap derma yang dapat dicari. Sebagaimana disebut dalam masa setahun dari pemecatan Tan Sri Dato` Seri Khalid Ibrahim usaha mendapatkan jumlah RM6 juta ringgit dari kerajaan Negeri semacam terhenti.
Semasa Tan Sri Dato` Seri Khalid menjadi Menteri Besar Selangor, Dato` Dr. Haron Din tidak terlibat di dalam rundingan mengenai dana Masjid Al-Umm dengan Menteri Besar tersebut. Tetapi hampir setahun dari tempoh pengunduran Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dari Jawatan Menteri Besar Selangor, usaha bagi mendapat jumlah wang RM6 juta ringgit itu dihidupkam kembali.
Sekian.

No comments:

Post a Comment