BBB, 04 Rajab 1439H. = 22 Mac 2018M. (Khamis):
Sebagai seorang yang terlibat dengan Masjid
Al-Umm dan hingga kehujung pelayaran
hidupnya (sengaja tangguh pemergian ke Amerika untuk rawatan) sesungguhnya TG
Dato` Dr. Haron Din melakukan khidmat murninya terhadap Masjid Al-Umm, maka dia
adalah shakhsiyah mithaliyyah yang terdekat bagi Masjid Al-Umm yang patut
dicontohi, khususnya oleh jamaah yang
membina dan sama mengimarahkan Masjid Al-Umm. Contoh yang patut
diteladani baik dari segi shakhsiyah lahiriyyah dan lebih-lebih lagi rohaniyyah.
Seorang yang berjuang demi Islam tidak
semestinya menempah kesusahan hidup hingga berada di dalam kesempitan, tetapi
sepatutnya dia seorang yang senang dan kukuh dalam bidang ekonomi,
sebagaimana TG Dato` Dr. Haron Din adalah seorang yang kukuh dari segi ekonomi,
sehingga dengan kekukuhan ekonomi dia dapat melakukan banyak kebajikan.
Sebagaimana telah disebutkan dia membina beberapa masjid dan mengusahakan dana
bagi Masjid Al-Umm sehingga yang diusahanya berjumlah RM9.6 milion daripada kos
semua 21 milion. Apakah kita mampu, dan jika mampu sanggup menderma sebagaimana
beliau menderma dari duitnya, dan memberi pinjam kepada Masjid Al-Umm ?
Satu yang patut menjadi teladan bagi semua
ialah sifat ikhlas beliau, tanpa mengharapkan pulangan peribadi dari kebajikan
dan keikhlasan yang dilakukan. Ini adalah merupakan piawayan rohani yang tinggi
yang juga mencirikan Takmilah kerohanian yang tinggi.
Tentang ikhlas, kata Abu al-Qasim al-Qushayri,
``Ikhlas ialah menunggalkan amalan kepada Haqq Subhanahu wa Ta`ala dari segi qasad
dan taat.`` atau diistilah ringkas semata-mata kerana Allah.
Berkata Al-Junayd, ``Ikhlas ialah rahsia di
antara Allah dan hamba.``
Dan berkata Shaykh Islam Zakariyya al-Ansari,
``Hak orang yang ikhlas hingga tidak kelihatan keikhlasannya.``
Rumusan yang yang dibuat oleh Shaykh `Abdul
Qadir yang mengarang kitab Haqiqat Tasawuf, bahawa, ``Ikhlas kembali kepada
tujuan yang satu, iaitu, ``Tidak ada kepentingan bagi diri dari amalan yang
dilakukan.``
Firman Allah bermaksud,
``Dan tidaklah mereka disuruh (beribadat),
melainkan secara ikhlas sebagai disuruh oleh agama (Islam). (Al-Bayyinah: 5).
Membina masjid adalah kerja kebajikan yang
memberi ruang kepada orang ramai melakukan kebajikan bagi membina masjid secara
ikhlas, dan itulah yang dilakukan mereka.
Keikhlasan ini seharusnya lebih-lebih lagi
berlaku di kalangan mereka yang mengambil amanah bagi mendirikan masjid. Bagi
menjaga keikhlasan yang seharusnya ada di kalangan mereka yang diamanah
keputusan telah dibuat, bahawa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan Masjid
Al-Umm Bil. 7/2012 bertarikh 23 April 2012:
``Mesyuarat bersetuju bahawa (10) ahli
pemungut derma Tabung Masjid Al-Umm TIDAK DIBENARKAN mengambil komisyen
daripada hasil kutipan derma Tabung Masjid Al-Umm.``
Peruntukan ini memberi ruang bagi ahli mengikhlaskan
diri dengan tugas dan insya Allah melipatkan
pahala di sisi Allah. Ini adalah sebagaimana ditunjuk teladan oleh Penanung dan
Penasihat AJK Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Tuan Guru Dato` Dr.
Haron Din.
Sesungguhnya kita jauh dari mencontohi
kemurnian dan keikhlasan jiwa Dato` Dr. Haron Din. Ini kerana selepas itu
persetujuan itu dilanggari. Pengambilan percent oleh yang menghendakinya
seharusnya melihat kategori pungutan yang didapati. Jika ianya dari hasil
usahanya sendiri, mungkin boleh diterima sebagai insentif kepada yang berusaha
mencari.
Tetapi jika pemberian dari Kerajaan Negeri, pinjaman yang diberi kepada
masjid oleh pihak tertentu, pungutan yang diambil dari tabung-tabung yang
diletak di masjid dan surau juga diambil percent adalah dikira tidak wajar.
Soal ini sebenarnya telah menimbulkan pertikaian di kalangan AJK sendiri. Tanpa
mengambil percent, sesungguhnya kita dapat menyelamatkan RM setengah juta duit
derma masjid. Kita berdoa kepada Allah tidaklah digolong amal kita sebagai
sia-sia.
Sesungguhnya
Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dapat dijadikan shakhsiyyah mithaliyyah
kepada Masjid Al-Umm dan diharap sentiasa menjadi contoh tauladan bagi mereka
yang sama mengimarahkan Masjid Al-Umm.
Sekian.
No comments:
Post a Comment