March 21, 2018

TG DATO` DR. HARON DIN MODEL TAKMILAH INSANIAH



BBB, 02 Rajab 1439H. = 20 Mac 2018 (Selasa):
Ramai yang mempunyai hubungan dengan Masjid Al-Umm, mereka terdiri misalnya dari ahli Jawatankuasa  dari peringkat awal dari 2010 hingga kini, peringkat kontrektor, sub-sub kontrektor, perunding-perunding, pekerja-pekerja, guru-guru, imam-imam, pegawai-pegawai masjid dan ahli jama`ah. Banyak watak yang ada pada mereka, umpamanya  antaranya boleh dijadikan role-model dan sebahagian daripada mereka mungkin dapat dikategorikan sebagai biasa.
Dilihat  kepada mereka yang mempunyai hubungan dengan Masjid Al-Umm, tanpa ragu kita secara jelas dapat memetik watak atau tokoh yang dapat dijadikan tokoh dan personaliti mithali dari mereka yang berkait dengan masjid dan Takmilah Keinsanan, maka tokoh mithali berkenaan tidak lain dari Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Takmilah insaniah pada dirinya bukan saja menjadi contoh dari kalangan mereka yang ada hubungan dengan Masjid Al-Umm, tetapi juga bagi masyarakat umat dan manusia sejagat. Walaupun keterlibatan Dr. Haron Din dengan Masjid Al-Umm dalam tempoh yang singkat, iaitu dari tempoh perlantikannya sebagai Penaung Masjid Al-Umm:
Bermula dari:   5 Julai  2013
Hingga              16 September 2016  (tarikh meninggalnya),
Iaitu hanya 3 tahun 2 bulan, namun dalam tempoh yang singkat ini Tuan Guru memberi impak yang ketara dari segi watak, personaliti dan akhlak sebagai contoh terbaik  terhadap jamaah Masjid Al-Umm.
Dilihat dari segi keinsanan Takmilah pada dirinya dapat dilihat bahawa beliau  melengkapkan dirinya dengan keilmuan keagamaan dan keilmuan yang lain yang dari segi degree berkelulusan Sarjana dari Universiti Al-Azhar dan Dr. Falsafah dari Universiti Al-Gahirah di Mesir. Dia seorang yang beramal dengan ilmunya  dengan mengajar keilmannya (bidang Perundangan Islam) di Universiti dan beliau diberi  kedudukan seorang profesor di dalam bidang berkenaan  di UKM.
Beliau melakukan banyak kebajikan seperti menubuhkan Dar l-Shifa yang dengan  institusi `Perubatan Islam` ini beliau dan pelajar-pelajarnya  memberi khidmat rawatan secara percuma. Dar  al-Shifa` berkembang dengan mempunyai cawangan seluruh negeri di Malaysia dan jumlah pelajarnya dikatakan seratus ribu orang.
Dato` Dr. Haron Din, bukan saja dilihat sebagai orang yang berilmu, tetapi seorang yang mempunyai integriti diri yang tinggi dan dipercayai. Misalnya dia seorang yang diyakini dengan keilmuan dan bukan saja majlis-majlis ilmunya dihadiri ramai yang mengikutinya, tetapi diberi kepercayaan dilantik menjadi penasihat badan-badan kewangan terkemuka di tanahair dan juga dihormati  di luar negara seperti di Brunei, Arab Saudi dan sebagainya.
Dari satu segi orang ramai mengenali Dato` Dr. Haron Din berpegang pada politik Islam, namun walaupun jelas dia berpegang pada politik Islam, satu yang menarik beliau diyakini dan tidak menghalang pihak-pihak tertentu melantiknya sebagai penasihat dalam badan-badan kewangan Islam dan anggota Majlis Fatwa bagi beberapa negeri. Dalam kata lain beliau tidak dipulau kerana pegangan politik, tetapi beliau dihormati kawan dan lawan (dalam politik). Beliau dilihat sederhana dan tidak menjejaskan hubungannya dengan berbagai pihak.
Satu yang ketara Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din  terkenal sebagai seorang dermawan dan banyak membuat kebajikan dengan ikhlas dan tidak mempunyai kepentingan peribadi. Contoh yang baik, bahawa Tuan Guru berusaha mendapatkan dana bagi Masjid Al-Umm, selain dari menderma dari duitnya sendiri, beliau berusaha dan melaluinya Masjid Al-Umm mendapat dana hampir separuh ( RM9.6 juta) dari kos Masjid Al-Umm keseluruhan (RM21 juta). Sifat dermawan dan bersifat kebajikan ini bukan sahaja terhadap Masjid Al-Umm, tetapi sebagaimana diketahui beliau juga membina dua buah masjid di Perlis yang cukup besar dan setiap satu daripadanya berharga RM3 juta. Banyak lagi kerja-kerja kebajikan yang dilakukan Dato` Dr. Haron Din, misalnya dengan terlibatnya beliau pada peringkat akhir hayatnya sebagai Pengerusi Yayasan Dakwah Islam Serantau, beliau terlibat dengan membina surau-surau di Sarawak dan mendirikan Markas Yayasan Dakwah Islam Serantau di Labuhan Dagang di Kuala Langat yang masih dalam pembinaan.
Watak dan personaliti Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang murni, suka menderma, banyak membuat kebajikan dan bersifat ikhlan terpancar pada wajahnya yang bersih, tenang dan manis tersenyum, seolah-olah  kesakitan yang ditanggungnya pada akhir hayatnya bagai tidak terlihat.  Jiwanya meningkat kepada ketenangan jiwa yang disifatkan Al-Qur`an  sebagai mutmainnah radhiah dan mardhiah. Sesungguhnya dia dapat dijadikan sebagai watak, personaliti  dan tokoh mithali, khususnya bagi yang terlibat dengan pembinaan, pengimarahan dan  pengibadatan  di Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment