BBB, 14 Jamadil Akhir 1439H. = 02 Mac 2018M.
(Khamis):
Sekarang terdapat dua buah kampung yang
dikenali sebagai Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Dalam. Pada asalnya
kedua-dua kampung ini adalah sebuah kampung yang dikenali dengan Sungai Ramal
sahaja. Sungai Ramal sudah wujud sejak dari abad ke 18 lagi. Selangor pada masa
itu telah terkenal sebagai negeri yang makmur lantaran mempunyai bijih timah,
turut dihadiri berbagai pendatang terutama ke kawasan Kuala Lumpur. Kemakmuran
melempah keluar dari kawasan Kuala Lumpur. Turut datang ke luar dari Kuala Lumpur mereka yang datang
dari Sumatera dan Jawa. Antaranya ke Hulu Langat, khususnya ke kawasan Kajang. Antara kelompok
yang datang ialah ulama` yang mengajar agama Islam sambil berniaga. Mereka sampai
antaranya melalui sungai dan mendarat di
tepi sungai dan menjalankan perniagaan. Mereka memerlukan tempat ibadat.
Lantaran mereka mendirikan surau di tepi sungai. Di tepi sungai berkenaan
tempat mendarat dan dekat tempat berniaga adalah berpasir putih dan bersih dari
tepi sungai berpasir ini mereka mengambil wudhu` bagi menunaikan solat. Nama
kampung ini dinamakan `Kampung Sungai Ramal` diambil dari perkataan `Arab
`Ramlu bererti Pasir` bermaksud Kampung Pasir` yang disebut di dalam bahasa `Arabnya
`Kampung Sungai Ramal.` Ianya meliputi semua kawasan (Sungai Ramal Luar dan
Dalam). Selepas British menguasai Selangor, maka untuk tujuan pentadbiran, maka
pada tahun 1847, dipecahkan kampung
Sungai Ramal kepada Sungai Ramal Luar dan Dalam. Kini kedua kampung ini
dipisahkan oleh jalanraya utama – Kajang ke Serdang.
Apabila berlaku pertambahan penduduk maka,
surau ditingkatkan kepada taraf masjid yang digunakan oleh penduduk Sungai
Ramal. Pada tahun 1929 bangunan masjid baru didirikan pada tapak yang sama. Ia
adalah atas inisiatif seorang Ketua Kampung yang juga seorang guru agama bernama
Tuan Haji Mat Saman. Bangunan ini didirikan hasil dari derma orang ramai,
khususnya penduduk Kampung Sungai Ramal. Bangunannya dari batu dan kayu.
Mengenang jasa Tuan Haji Mat Saman, maka masjid ini dikenali sebagai Masjid
Haji Mat Saman (Masjid lama ini lari sedikit dari arah Kiblat). Pada peringkat
permulaan penduduk Sungai Ramal Luar dan Dalam hanya menggunakan Masjid Haji
Mat Saman untuk mereka menunaikan solat Juma`at. Selepas tahun 2010 nama masjid
ini dikehendaki ditukarkan kepada nama Masjid Sungai Ramal Luar.
Dengan pemisahan sempadan antara Sungai Ramal
Luar dan Sungai Ramal Dalam, maka selepas tahun 1930an timbul inisiatif
penduduk Sungai Ramal Dalam mendirikan surau ditempat masjid al-Falah sekarang
yang kemudiannya ditingkatkan kepada taraf masjid. Bangunan masjid yang agak
kecil ditambah sedikit demi sedikit sesuai dengan pertambahan penduduk. Pada
masa Penulis menjadi ADUN Kajang (1999-2004) yang kedua-dua Kampung Sungai
Ramal termasuk di bawah kawasan ADUN Kajang, masih belum timbul hasrat untuk
membangunkan sebuah masjid yang baru. Yang didirikan ialah sekolah agama
berdekatan masjid dengan menggunakan sebahagian dari tanah masjid.
Tetapi pada masa Penulis menjadi ADUN Bangi (2008-2013),
keadaan bangunan Masjid al-Falah Sungai
Ramal Dalam agak uzur dan bocor. Pihak Pengerusi Kemajuan Kampung Sungai Ramal
Dalam menulis surat kepada Jurutera Daerah memohon agar membaiki bangunan
Masjid Sungai Ramal Dalam yang telah uzur. Surat berkenaan turut dibuat
makluman kepada Pegawai Daerah, ADUN Bangi dan Penghulu Mukim Kajang. Pembaikan
dilakukan terhadap Masjid Sungai Ramal Dalam, walau bagaimana oleh kerana
bangunan agak uzur, ianya tidak dapat dibaiki dengan sempurna. Lantaran itu
pada masa ini mulai timbul hasrat pihak Masjid Sungai Ramal Dalam untuk membina
masjid yang baru yang tapaknya wujud dekat dengan masjid berkenaan. Apa lagi
pada masa itu 2010 atas inisiatif antaranya dari ADUN Bangi Sungai Ramal Luar
mendapat peruntukan sebanyak RM1.2 juta untuk mendirikan masjid yang baru.
Pertikaian timbul sama ada masjid lama mau dirubuhkan atau sebaliknya. Dengan
inisiatif ADUN Bangi mesyuarat diadakan dengan menjemput pihak JAIS sama hadir.
Keputusan Masjid lama (Masjid Haji Mat Saman) dikekalkan dan masjid baru dibina
berdekatan, sehingga keduanya dapat terus digunakan hingga kini. (Setengah
pihak yang tak setuju kerana berlainan faham politik ada yang tidak hadir
berjamaah di Masjid berkenaan).
Adapun Masjid Sungai Ramal Dalam, pada masa
Penulis menjadi ADUNB Bangi belum juga timbul keputusan mau mendirikan masjid baru. Tapi kerana berterima kasih kepada penduduk
Sungai Ramal Dalam yang memberi sokongan kepada Penulis (menang undi bagi
kawasan Sungai Ramal Dalam bagi pilihanraya 2008-2013) selepas ADUN memberi sokongan
kepada Ketua Kampung yang dipilih, iaitu En. Lateb bin Manan bagi Sungai Ramal
Dalam dan Hj. Mohd. Yusof bin Abd. Kadir bagi kampung Sungai Ramal Luar banyak
projek dan pembangunan yang kita salurkan khususnya ke Sungai Ramal Dalam
seperti:
a) Membina dan meluruskan Sungai Lemas, Kg. Sungai
Ramal Dalam, Kajang Selangor.
b) Melebar dan mendalamkan longkang sedia ada dari
lot 6058 hingga lot 6061 di Jalan Imam Sungai Ramal Dalam.
c) Melebar dan mendalamkan longkang sepanjang lot
6067 hingga lot 6071, Jalan Selamat Kg. Sungai Ramal Dalam.
d) Mengatasi kumbahan air yang menyebabkan berlaku
takungan yang membiakkan nyamuk.
e) Menurap semula Jalan Teratai, Jalan Kenanga Satu
dan Kenanga Dua Kg. Sungai Ramal Dalam
f) Menurap Jalan Angsana dan lorong Angsana Sungai
Ramal Dalam.
g) Menurapkan semula seluruh jalan Sungai Ramal Jalan
secara menyeluruh !
h) Membina semula rumah ibu tunggal yang runtuh.
Dan berbagai-bagai pembangunan yang lain.
Pembangunan yang begitu banyak yang ditumpkan
kepada Sungai Ramal Dalam ini kerana kampung ini membangun dengan pesat dan
berlaku penambahan perumahan dan penduduk begitu ramai. Akibatnya Masjid
al-Falah lama tidak lagi dapat menampung jamaah, khususnya pada hari Jumaat di
masjid tersebut, lantaran itu lahirlah inisiatif dari pihak penduduk yang
diketuai oleh Dato` Haji Maulud dan Timbalannya Tuan Haji Ismail membangunkan
Masjid Al-Falah Baru di Kampung Sungai
Ramal Dalam, Kajang, Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment