November 26, 2018

APAKAH TINDAKAN SELANJUTNYA SELEPAS PENOLAKAN ICERD ?


APAKAH TINDAKAN SELANJUTNYA SELEPAS PENOLAKAN ICERD ?
(Fikrah Bangi: 68),
BBB,  18 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 26 November 2018M. (Isnin):
Kemarahan rakyat yang membuak-buak terhadap kemungkinan ICERD diritifikasikan menjadi reda apabila pihak Kerajaan mengeluarkan kenyataan;
``Kerajaan Tolak ICERD.``
``Kerajaan PH tidak akan meritifikasikan ICERD menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Kelmarin.`` (Sinar Harian, 24 Nov. 21018: 1).
Utusan Malaysia menyifatkan kenyataan sebagai kemenangan rakyat. Selanjutnya kata akhbar itu,
``Gelombang daripada rakyat mendesak kerajaan pertahankan perlembagaan dan tidak melayan tuntutan ICERD membuahkan kejayaan.`(UM, 24.11.2018: 1).
Walaupun diketahui ada pihak di dalam PH yang mau ICERD diratifikasikan, tetapi memikirkan jika ianya dilakukan, tanpa melihat dan mendengar gelombang tuntutan rakyat, maka populariti PH akan menurun. Kenyataan yang dikeluarkan meredakan kemarahan rakyat.
Pas misalnya mengalu-ngalukan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan, tetapi himpunan yang dijangka berlaku pada 8 Disember di Dataran Merdeka mungkin akan diubah ke Padang Merbok dan formatnya akan diubah kepada `Terima Kasih dan Kesyukuran.``  Demikian kata Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS.
Adakah cukup dengan terima kasih dan kesyukuran ? Apakah ianya kemenangan sebenarnya ? Komitmen Kerajaan semasa adalah diterima dan itulah kemampuan yang ada padanya, lebih dari itu ia boleh dibawa kepada perbahasan di Parlimen dan dijangka dibahas dengan hangat oleh kerajaan dan pembangkang dan keputusan dijangka akan ditolak.
Tetapi tiada siapa menjamin  kemurnian Perlembagaan Negara Malaysia tidak lagi ditimbul dan digugat oleh kerajaan yang akan datang. Gugatan akan terlaksana, jika kerajaan dikuasai oleh majoriti pemerintahan dua pertiga suara yang tidak berpihak kepada mempertahankan Perlembagaan. Apakah cara terbaik mempertahankan Perlembagaan ? Antaranya:
a)      Kuasa hendaklah dipastikan hanya diberi kepada pihak yang dikenalpasti berpihak kepada mempertahankan Perlembagaan Negara.
b)      Rakyat hendaklah bijak memilih dan pastikan jangan memberi kuasa kepada pemerintah berlebihan (melebihi dua pertiga), sehingga pihak berkuasa dapat melakukan  pemerintahan menurut sesuka hati.
c)       Sebaiknya ada dua komponan parti yang berwibawa dan seimbang yang boleh dipilih rakyat mana yang dianggap lebih berwibawa.
d)      Jangan diberi kekuasaan pemerintahan terlalu lama kepada satu-satu kerajaan, tetapi cukup kepada dua atau tiga penggal dan perlu diubah. Dengan demikian ada dinamika dalam pemerintahan.
e)      Adakan sekatan dan larangan yang dipersetujui, jangan dibangkitkan perkara yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman negara.
Cadangan Utama:
Perlu ada di dalam negara sebuah badan gabungan NGO  berwibawa berfungsi pertahan `Integriti Negara dan Keluhuran Perlembagaan`. NGO dan kepimpinan hendaklah terdiri dari mereka yang berwibawa dan dihormati masyarakat dan bebas dari gangguan politik. NGO ini adalah merupakan badan yang bebas dan terus-menerus  mengadakan kegiatan:
a)      Membincang dan mengolah perlembagaan sebaik dan semurni mungkin.
b)      Dari masa ke masa mengadakan forum dan perbincangan  ilmiah bagaimana mempertahan dan meningkatkan integriti negara.
c)       Membuatkan cadangan-cadangan  yang dapat diaplikasikan di dalam bidang pendidikan, pemerintahan dan budaya kehidupan rakyat.
d)      Mengeluarkan penerbitan  berwibawa seperti buku, dokumentari dan sebagainya sebagai dokumen yang dapat dijadikan panduan.
e)      Badan  mempunyai Ketua dan sekretariat yang diberi kuasa selayaknya agar dihormati dan dipatuhi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment