MASJID MEMARTABATKAN UMMAH
(Fikrah Bangi: 71):
BBB, 21 Jamadil-Awwal 1440H. = 29 November
2018M. (Khamis):
Institusi masjid yang diberi perhatian utama
oleh Rasulullah s.a.w. pembinaannya ketika berhijrah ke Madinah al-Munawwarah
dalam membina dan memartabatkan ummah, menjadi institusi yang tetap releven
hingga kini di dalam membina dan meningkatkan kualiti ummah. Pada zaman
Rasulullah masjid bersifat kepelbagaian fungsi dari sebagai tempat ibadat,
pengajian, pentadbiran, pusat strategi
pertahanan dan berbagai kegiatan kemasyarakatan.
Masjid pada masa kini tidak seharusnya terhad
kepada tempat ibadat sahaja, yang menyebabkan ianya didatangani majoritinya
dari kalangan mereka yang lanjut usia, tetapi seharusnya ianya menjadi
institusi yang gemar didatangi oleh berbagai lapisan masyarakat dari anak-anak,
kepada pelajar-pelajar, kalangan remaja, orang-urang yang bekerja dan
orang-orang tua.
Relevensi kepada semua pihak hendaklah
dijustifikasi dengan keperluan dan
kegiatan yang melibatkan semua pihak. Dalam masyarakat yang dapat dicontohi
dari Bandar Baru Bangi ada anak-anak yang mulai belajar pada peringkat pra dan
permulaan sekolah, ada anak-anak yang belajar di sekolah rendah, pelajar yang
belajar di sekolah menengah, ada pelajar yang belajar pada peringkat tinggi.
Manakala sebahagian besar dari masyarakat terdiri dari kalangan mereka yang
bekerja di berbagai-bagai institusi, jabatan, berbagai agensi, kerajaan dan
swasta, manakala sebahagian daripada mereka bekerja sendiri, mewujudkan
perusahaan, berniaga dan berbagai-bagai kegiatan yang menjadi sumber rezeki
mereka. Sebahagian dari mereka menjadi suri rumahtangga sepenuh masa (tiada
masalah bagi mereka dari segi mendidik anak-anak).
Satu bahagian yang agak besar ialah mereka
yang telah bersara dari berbagai-bagai sektor pekerjaan dan tidak mempunyai
pekerjaan tetap atau langsung tidak lagi bekerja. Selama ini kalangan inilah
majoriti yang mengunjungi masjid, lantaran itu menjadi imej dan identiti masjid
dikunjungi oleh mereka yang lanjut usia,
kecuali ketika menunaikan solat Juma`at, kelihatan masjid dipenuhi oleh jama`ah
yang berbagai-bagai peringkat usia, Mereka datang semata-mata bagi menunaikan
solat Juma`at. Persepsi masjid sebagai
tempat yang dikunjungi oleh kalangan orang
lanjut usia – beribadat sementara menunggu mati seharusnya diubah.
Masjid seharusnya releven bagi semua pihak, seharusnya melihat
kepada keperluan-keperluan bagi semua lapisan masyarakat dan seharusnya dapat diisi oleh pihak masjid. Ianya
seharusnya menjadi tanggungjawab bagi jawatankuasa masjid yang diberi amanah
memaju dan mengimarahkan masjid. Apakah perkara-perkara yang dapat diisi dan
disesuaikan dengan keperluan mereka. Apakah keperluan mereka ?
a) Peringkat
Asuhan Anak-Anak
Anak-anak ini, ialah pada peringkat bayi yang
dihantar oleh ibubapa mereka ke rumah-rumah asuhan. Adanya berita betapa
anak-anak peringkat bayi didfera, diseksa, bahkan dirogol, tentulah merisaukan
mereka, bimbangkan keselamatan anak-anak yang setengahnya mati kerana penderaan
dan kecuaian.
Apakah hubungan mereka dengan masjid ? Masjid
bukanlah tempat menjaga atau mengasuh bayi, tetapi tempat-tempat asuhan,
tadika, pasti dan pengasuh persendirian di rumah, wajar bagi pihak masjid
menganjurkan kursus pengasuhan dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan seperti pegawai-pegawai dari
Kementerian Hal Ehwal Wanita, Kesihatan, pakar-pakar di dalam pendidikan pada peringkat
pra-sekolah dan sebagainya menyampaikan
kursus penjagaan bayi kepada pihak pengasuh, tadika, pasti, bahkan kepada pihak
ibu bapa bersama.
Bidang penjagaan anak-anal pada peringkat awal
adalah penting. Adalah tindakan yang
baik apabila pihak Kementerian Wanita mengadakan tempat-tempat asuhan anak-anak di jabatan-jabatan di mana ibu-ibu bekerja
disitu. Ini dapat menjamin keselamatan
anak-anak dan mententeramkan jiwa ibu bapa. Tetapi kemudahan yang seperti ini
seharusnya dinikmati oleh pekerja-pekerja wanita di bahagian swasta dan
berbagai sektor lain. Kesempurnaan didikan anak-anak dapat menyempurnakan
pertumbuhan mereka dengan baik yang merupakan aset negara.
Di dalam hal ini masjid dapat menganjurkan
kursus pentarbiahan dan penjagaan kepada
institusi pengasuhan dan pengasuh-pengasuh, bahkan kepada ibu bapa.
Dengan sedemikian dapat mendekatkan puhak-pihak berkenaan dengan masjid.
Bersambiung ...
Sekian.
No comments:
Post a Comment