November 2, 2018

ISU ICERD: MENGAPA TUNJUK PERASAAN ?


ISU ICERD: MENGAPA TUNJUK PERASAAN ?
(Fikrah Bangi: 45):
BBB,  24 Safar 1440H. = 02 November 2018M. (Juma`at):
Kelmarin  (1 November 2018) semua akhbar melaporkan tentang protes dan tunjuk perasaan 10 NGO yang diketuai  Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas  membantah ICERD (Persidangan Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum di Kuala Lumpur). Tunjuk perasaan itu membawa kepada penyerahan memorandum bantahan  kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial (Dr. Mad. Farid bin Rafik) di Bangunan Parlimen.
Mengapa mereka membantah ?
Kerana implikasinya kepada dasar dan perundangan negara jika resolusi persidangan itu diterima oleh kerajaan, apa lagi jika ianya menjadi panduan yang akan dijadikan dasar pemerintahan kerajaan. (BH, 1 November 2018: 3). Kebimbangan ini dilihat releven dengan ungkapan Syed Sadiq Menteri Belia dan Sukan yang menjadi harapan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pernah mengungkapkan sebelum daripada itu, bahawa `Hak Ketuanan ` Melayu dan Bumiputera` dipersoalkan dan akan mengalami penghakisan. Kebimbangan ini diperkukuhkan lagi dengan pengakuan Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia, bahawa beliau  terpaksa menyesuaikan fikirannya dengan aliran Sosialisme dan Liberalisme dalam PH. (UM, 23 Oktober 2018: 4). Ungkapan dan pengakuan seperti di atas memberi implikasi terhadap dasar dan polisi negara jika, resolusi ICERD diterima. Penerimaan akan menggugat dasar dan polisi negara seperti:
·         Hak istimewa Melayu dan Bumiputra
·         Kedudukan Raja-Raja Melayu
·         Kedudukan agama Islam
·         Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Rasmi
Perkara-perkara di atas memang dilihat dari satu segi sebagai diskriminasi terhadap yang lain. Sebenarnya perkara-perkara di atas, walaupun tanpa resolusi menggugatnya telah dan sedang mengalami penghakisan, apa lagi  jika ada resolusi yang mau menghapuskan sebarang diskriminasi.
Dilihat kepada Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputra, maka didapati umpamanya pengurangan tanah reserve Melayu yang tidak diganti. Biasiswa bagi Bumiputra tidak terlaksana dengan sepenuhnya dan penghakisan-penghakisan yang lain.
Berhubung dengan Kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja-Raja Berperlembagaan kita mengetahui ada hak-hak keistimewaan yang ditarik, kerana dilihat sebagai menghalang.
Manakala kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, adalah dibimbangkan membawa kepada tuntutan agar semua agama adalah  sama di dalam perlembagaan. Tuntutan mungkin membawa kepada dijadikan JAKIM sebagai Jabatan Agama bagi semua kaum. Manakala berhubung dengan perkara 152, iaitu  kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi, sebenarnya bahasa itu sedang menghadapi tekanan penggunaan dan psikologi yang teruk. Pendewaan dan penggunaan bahasa Inggeris  mengambil tempatnya di dalam suasana sepatutnya bahasa itu diberi tempat, hak  dan keutamaan . Badan-badan seperti Kementerian Pendidikan tidak menunjukkan kesungguhan memperkasakan bahasa itu. Dewan Bahasa dan Pustaka yang satu masa dahulu sebagai institusi yang mempertahankan dan mengukuhkan bahasa kebangsaan kelihatan tidak bermaya di dalam menjalankan tugas memperkasakan bahasa Kebangsaan. Jikalaulah  tidak bahasaini dipertahankan penggunaannya di Parlimen, di dalam pentadbiran rasmi kerajaan dan keperluan lulus di dalam peperiksaan yang ditetapkan, maka bahasa kebangsaan dan rasmi akan pupus.
Melihat kepada situasi yang dialami oleh empat perkara yang dibincangkan mengalami penghakisan, maka apa lagi jika  resolusi ICERD diterima dan dilaksanakan, maka ianya pertanda satu bala bencana dan mala petaka  yang akan dialami oleh negara, bangsa, agama dan bahasa. Kita tidak boleh berpegang dengan janji Tun Mahathir Perdana Menteri Malaysia bahawaL
``Tandatangani ICERD selepas dipersetujui semua kaum.` (BH, 1 November 2016: 3).
Persetujuan mungkin akan diambil berdasarkan majoriti. Perlaksanaan mungkin dilakukan tanpa mempedulikan majoriti.
Dalam hal ini kita memahami mengapa 10 NGO mengambil tindakan membantah dan menghantar memorandum ke parlimen.
Bagi yang prihatin tidak rela bala dan malapetaka akan berlaku, lantaran itu sepatutnya ianya dibantah dan dicegah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment