November 17, 2018

ICERD TIDAK PERLU DI MALAYSIA


ICERD TIDAK PERLU DI MALAYSIA
(Fikrah Bangi:  60),
BBB, 9 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 17 November 2018M. (Sabtu):
Isu ICERD, iaitu peruntukan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – Menghapuskan segala diskriminasi  kaum, menarik perhatian banyak pihak termasuk, kalangan ahli politik, pengamal undang-undang, ahli akademik dan orang ramai. Peruntukan adalah salah satu dari ratusan akta PBB yang sebahagian besar telah ditandatangani oleh berbagai negara termasuk oleh Malaysia, kecuali sebahagian kecil daripadanya termasuk ICERD yang belum ditandatangani oleh Malaysia. Perkara ini dibawa ke dalam persidangan atarabangsa di sini baru-baru ini.
Pihak tertentu, termasuk DAP menyokong diritifikasi ICERD ini dengan hujah-hujah tertulis  dikeluarkan.  Perbincangan menarik dianjurkan oleh TV Hijrah (Juma`at malam 16.11.2018) yang membicarakan isu ini dan diperkatakan oleh dua tokoh, iaitu Latifah Koya Pengamal Undang-undang  dan  Prof. Madya Dr.  Sham Rahayu Pensyarah Fakulti Undang-Undang UIAM.
Latifah Koya berpendapat, tidak ada masalah bagi Malaysia untuk menandatanganinya. Isunya ialah `Menghapuskan segala diskriminasi kaum` tidak lebih dari itu dan tidak menjejaskan sebarang peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia. Beliau tidak menghuraikan implikasi yang diakibatkan oleh ICERD terhadap peruntukan, terutama 153 Perlembagaan Malaysia.
Manakala Sham Rahayu melihatnya menggugat peruntukan 153 dari kedudukan Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu, Kedudukan Orang Melayu dan Bumiputra di Sarawak dan Sabah. Ianya akan menggugat MARA, tanah  reserve Bumiputra, biasiswa, potongan harga rumah dan quota-quota yang lain. Menurut Latifah ICERD tidak menggugat apa yang disebutkan oleh Sham Rahaya. Tetapi  semua perlindungan berkenaan dapat dihapuskan bila perbezaan dapat dihapuskan katakan selepas 30 tahun akan datang. Tetapi menurut Sham Rahayu, tiada jaminan dengan kelulusan ICERD, bahawa penghapusan yang lain di dalam perlembagaan yang dianggap diskriminasi, dihapus  satu persatu. Kita perlu reservasi sebelum perkara ini berlaklu. Perkara-perkara penting sebegini tidak boleh dijadikan bahan ujian.
Latifah Koya tetap dengan pendirian bersetuju dengan ICERD patut diterima dan ditandatangani oleh Malaysia, manakala Sham Rahayu berpendapat apa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia sudah cukup bagi menjaga  hak-hak terutama bukan bumiputra. Kita hendaklah membina bentuk dan identiti negara Malaysia secara integriti menurut acuan kita sendiri,
Manakala beberapa yang lain seperti Nazri Aziz Bekas Menteri Kabinet yang lalu tidak bersetuju dengan ICERD, bahkan tidak perlu di Malaysia. Perlembagaan telah memberi peruntukan bagi kaum lain, termasuk kebebasan beragama (Star, 16.11.2018: 13).. Manakala Azlina Aziz yang juga  Bekas Menteri Kabinet bagi Kerajaan Barisan Nasional, maukan isu berkenaan ICERD dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.(UM, 16.11.2018: 13).
Pendirian yang lebih tegas dan keras ialah datangnya dari Pas. Sejak isu ini dibincangkan Pas tidak saja membantah, tetapi telah menganjurkan demonstras, termasuk di luar parlimen bersama dengan NGO-NGO membantah ditandatangani ICERD, bahkan menganggap perkara itu (ICERD) tidak perlu. (Sinar, 16.11.2018: 4).
Presiden Pas itu memberi amaran, jika ICERD diterima, maka Pas akan menganjurkan bersama dengan NGO-NGO demonstrasi secara besar-besaran menuntut supaya ICERD jangan ditandatangani.
Kita berharap isu sensitif yang menyentuh kaum, agama, bahasa dan perlembagaan  ini ditangani sebaik mungkin oleh pemerintah. Kita menyokong ICERD tidak diterima dan tidak perlu di Malaysia. Malaysia hendaklah membina tamadun, peradaban dan kemajuan menurut acuannya sendiri.
Sekian.

No comments:

Post a Comment