November 12, 2018

PERINGATAN KEPADA KERAJAAN KELANTAN DAN TERENGGANU


PERINGATAN KEPADA KELANTAN  DAN TERENGGANU
(Fikrah Bangi: 56),
BBB, 04 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 12 November 2018M. (Isnin):
Dakwaan pemimpin PH bahawa mereka akan menawan Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya ke 15  bukan pertama kali, tapi telah berulang kali. Semalam  perkara yang sama diulang, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa, ``PRU 15,  Kelantan milik PH,`` bahkan ditegaskan, bahawa,``PM yakin Kelantan milik PH PRU 15.``
Bahkan Mat Sabu, rakan dalam PH, turut menyatakan bahawa, pihak PH, bukan saja mau menguasai Pas, tetapi mereka juga mau menarik sokongan dari ahli Umno di negeri itu.`` (Sinar, 11 November 2018: 2).
Walau apapun mau ditafsirkan seperti sebagai angkuh dan sebagainya, itulah mencerminkan azam mereka. Ungkapan-ungkapan seperti di atas adalah serangan psikologi terhadap rakyat dan pemerintah negeri Kelantan.Mereka tidak bercakap kosong dan pemimpin-pemimpin dari PH sering berkunjung ke Kelantan sama ada secara tugas rasmi atau parti. Ini semua mencerminkan azam mereka dan pihak pemerintah dan parti sepatutnya tidak menganggap mudah.
Di dalam hal ini kita tidak sangat bimbang terhadap  pengaruh orang lama seperti Tok Pa yang berpuluh tahun mau menegak Umno di Kelantan, tiba-tiba berpaling tadah menyertai PH, Kita percaya jika dengan Umno selama ini dia gagal menggerakkan parti itu bersama Tengku Ghazaleigh menguasai Kelantan, kita percaya imej berpaling tadah dan melompat kepada PH, tidak menambah pengaruhnya, bahkan lebih dilihat sebagai tidak setia dan sanggup merubah perjuangan. Keadaan yang sama kita menganggap terhadap saudara Husam Musa yang keluar dari Pas dan mencari peluang  dalam PH bagi menghidupkan karier politiknya.
Apa yang dibimbang ialah, kiranya bangkit kelompok muda yang menguasai media baru dan berjaya membawa perubahan pada landscape politik di negeri-negeri di Pantai Barat berlaku di Kelantan. Kumpulan membela Kelantan  hendaklah diwujudkan bukan saja di Kelantan, tetapi di mana pemuda Kelantan berada di luar Kelantan.
Kita percaya jika Kelantan mampu mewujudkan iklim politik dan pemerintahan yang mantap. Golongan ini akan terus dengan sentimen mempertahankan Kelantan. Semangat terus mempertahankan Kelantan akan terus subur dan setiap kali berlaku pilihanraya  sama ada pada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil, mereka akan berduyung duyung kembali bagi mempertahankan Kelantan. Dalam keadaan sekarang dalam mana kerajaan Pusat lemah dari segi ekononi dan banyak hutang serta banyak janji-janji yang tidak dapat ditunaikan, maka Kerajaan Negeri Kelantan patut menunjukkan kemampuan dan solidariti rakyatnya bersama pemerintah. Kita percaya ramai tokoh-tokoh di dalam berbagai bidang membantu Kelantan  baik dari segi idea dan kepakaran.
Berbanding dengan Terengganu,  melihat dari segi sejarahnya, penukaran pemerintah di Terengganu lebih mudah berlaku bila arus baru mendatang. Sentimen dan soladariti di kalangan rakyatnya kurang mantap berbanding dengan Kelantan. Pada masa lepas Terengganu lebih mudah berubah disebabkan oleh pimpinan atau perubahan selera rakyatnya. Kerajaan Pas terawal wujud di Terengganu dibentuk (1959), tetapi n kerana beberapa orang belot, menyebabkan kerajaan terawal itu tumbang. Selepas itu bertukar ganti pemerintahan antara Pas dan BN. Pendeknya  politik di Terengganu tidak semantap di Kelantan.
Walau bagaimana dengan adanya pemimpin baru di bawah pimpinan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar adalah diharapkan beliau telah merumuskan pendekatan yang menjadi formula pemerintahannya yang dapat menambat hati rakyat dan terus memberi sokongan terhadap  pemerintahan bersama pasukan yang diamanahkan kepada mereka.
Selain dari memperkukuhkan negeri, kita berpendapat Kelantan,  Terengganu dan Pahang yang berdekatan dari  segi geography dapat mengadakan `Pakatan` yang memperkukhkan ketiga-tiga negeri dalam kesatuan pembangkang – boleh ditambah dengan negeri-negeri  yang lain seperti Perlis dan Sarawak yang memperkukuhkan negeri-negeri berkenaan dari segi solidariti, ekonomi dan berbagai-bagai kegiatan dan tuntutan sehingga tidak dibuli oleh kerajaan Pusat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment