November 8, 2018

POLITIK SEBAGAI SENI MENDAPAT KUASA


POLITIK SEBAGAI SENI MENDAPAT KUASA
(Fikrah Bangi: 51)
BBB,  30 Safar 1440H. = 8 November 2018M. (Khamis):
Kekuasaan, kekayaan dan kemasyhuran adalah menjadi buruan manusia. Pelbagai cara digunakan bagi mencapainya – cara yang dianggap baik dan ada yang sebaliknya. Berfokus kepada kekuasaan, maka  melalui politik adalah sebagai satu cara mencapainya disebalik dari cara merampas kuasa atau berbagai-bagai cara kekerasan.
Berpolitik adalah merupakan seni mendapat kuasa. Untuk mencapai kuasa diguna cara yang dapat diterima, antaranya menggunakan kaedah demokrasi seperti melalui pilihanraya. Kaedah ini diterimapakai  oleh negara kita sejak 1950an lagi. Menubuhkan parti politik adalah mekanisme bagi mendapat kekuasaan melalui sokongan rakyat, iaitu melalui pilihanraya. Berbagai-bagai parti politik telah lahir sejak kemerdekaan seperti UMNO, MCA, MIC, PAS, DAP,  Parti Rakyat, Sosialis. Warisan  dan sebagainya. Telah 14 kali pilihanraya  yang memberi kuasa kepada pihak yang menang yang biasanya melalui gabungan parti-parti seperti Perikatan, BN dan kini selepas pilihanraya terbaru, kali ke 14 ialah Pakatan Harapan (PH).
Oleh kerana melalui parti politik dilihat adalah cara bagi mendapat kuasa, maka walaupun di dalam berpolitik itu ada aturan-aturan di dalam parti dan aturan umum yang dikenali  sebagai Undang-undang Negara, tetapi demi untuk mendapat kuasa berlaku ``persengkitaan``. Persengkitaan ini berlaku dan dapat dibahagikan sebagai luaran dan dalaman.
a)      Sengkita luaran
Sengkita secara luaran, dimaksudkan berlaku antara yang berkuasa yang dikenali sebagai pemerintah yang mendapat kuasa dan parti-parti lawan yang dikenali sebagai pembangkang. Pihak pemerintah berusaha secara berterusan bagi mengekalkan kuasa dengan melakukan berbagai kegiatan yang bermanfaat bagi terus mendapat sokongan rakyat. Pihak pemerintah berada pada pihak lebih baik, kerana dengan kekuasaan yang ada padanya, ia memegang  kuasa politik, pemerintahan, ekonomi dan berbagai peluang yang dapat digunakan bagi megekalkan kekuasaan. Sebagai contoh kerajaan BN (sebelum 1960an dikenali Perikatan). Kerajaan BN mengekalkan kuasa dari sejak kemerdekaan hingga 2018). Walau bagaimana bila pihak pemerintah gagal mendapat sokongan rakyat kerana polisi pemerintah yang tidak disukai rakyat, maka pemerintah tidak diberi lagi mandat oleh rakyat sebagaimana berlaku pada BN. Melalui pilihanya ke 14, PH diberi kuasa memerintah mulai dari 9.5.2018. Walau bagaimana terdapat parti yang memenangi secara terhad seperti PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu dan BN yang mengekalkan kuasa di Pahang  dan Perlis, manakala Sabah di bawah Warisan dan Sarawak kekal dengan kekuasaan negeri yang mengadakan pilihanraya berasingan sebelumnya.  Usaha mendapat kuasa berlaku berterusan antara yang memerintah dan pembangkang. Masing-masing berusaha memenangi hati rakyat dengan berbagai cara agar rakyat memberi sokongan. Puncaknya melalui pilihanraya.
b)      Sengkita Dalaman
Bermaksud sengkita atau dapat digunakan istilah `Perlumbaan` mendapat pengaruh berlaku di dalam komponan parti yang memerintah dan dalaman sesebuah parti itu sendiri. Perlumbaan di dalam parti komponan dapat dilihat misalnya di dalam PH terdapat parti PKR (50 kerusi), DAP (42),Bumiputra Bersatu (14) dan Amanah (11). Antara parti di dalam PH berlaku perlumbaan mendapat kuasa. Misalnya BP Bersatu merasa tidak tenteram dengan jumlah kerusi yang sedikit boleh tergugat dari segi kekuasaan. Lantaran itu ia cuba mempengaruhi ahli parlimen UMNO masuk BP Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan.  BP Bersatu juga berusaha menambahkan cawangan dan keahlian. Keadaan yang sama berlaku pada Amanah yang paling kurang dari segi jumlah kerusi. Parti berkenaan cuba menambahkan  jumlah keahlian kepada 500,000 menjelang pilihanraya ke 15 dan menambahkan cawangan yang setakat ini 159 cawangan. Pertambahan ahli dan cawangan dan kemenangan dan mendapat jumlah kerusi yang lebih sebagai parti pemerintah memberi kuasa rundingan dan penguasaan dalam parti dan pemerintahan. Setakat ini parti yang terkuat dalam PH ialah PKR dan PKR sedang memperkuatkan kedudukan dengan mengadakan pemilihan parti bagi mengangkatkan pimpinan bersama Anwar Ibarahim antara sama ada Azmin Ali yang kini mendapat jumlah undi  (60,075) dan Rafizi (56,083). Parti ini makin mendapat sokongan yang bererti makin mempertingkatkan kekuasaan.
Contoh yang baik persengkitaan dalaman dapat dilihat dari persengkitaan dalam Pas antara sesama pemimpin yang  berakhir dengan keluarnya sebahagian dari pemimpin dan menubuhkan parti Amanah (16 September 2015) dan bersatu dengan PH dan sama berpeluang memerintah.
Politik adalah seni mendapat kekuasaan, namun di dalamnya  berlaku persengkitaan luaran dan dalaman akibat dari perebutan kekuasaan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment