November 27, 2018

MASALAH SOSIAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA PENDUDUK BANGI


MASALAH SOSIAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA PENDUDUK BANGI
(Fikrah Bangi, 69):
BBB,  19 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 27 November 2018M. (Selasa):
Bandar Baru Bangi telah berkembang dari sebuah `Bandar Akademik` diwujudkan sebagai pemangkin bagi kemajuan  UKM, kini menjadi sebuah bandar komersil yang didatangi dan dihuni oleh berbagai lapisan masyarakat. Sebahagian besar masih lagi dihuni oleh kalangan akademik dan yang ada  hubungan dengan  berpuluh buah universiti di keleilingnya ditambah dengan pusat-pusat penyelidikan dan latihan, tapi kini ianya kelihatan sebagai pusat komersil. Ianya didatangi oleh berbagai –bagai  lapisan masyarakat. Antara mereka bekerja kilang yang merupakan satu sektor dari kawasan Bandar Baru Bangi. Sebahagian terlibat dengan perniagaan dari pasar-pasar malam , warung-warung dan pusat-pusat perniagaan yang lebih besar. Mutakhir Bandar Baru Bangi dikenali juga sebagai Bandar Fesyen – Pakaian muslimat dan tempat makan-makan.
Pada peringkat permulaan mulai 1980-2000 keadaan sosial di Bandar Baru Bangi agak terkawal dalam mana ianya lebih dikenali sebagai `Bandar Ilmu`. Kini berbagai-bagai masalah sosial mulai berlaku. Terutama dari kalangan  yang semata-mata datang mencari kerja, terutama di kilang-kilang . Bagi kalangan setengah mereka pihak berkuasa menyediakan rumah flat dan apartment disewa secara murah  sementara mendapat kediaman tetap. Rumah berkenaan dikenali `Rumah Rakyat`. Dua Blok daripadanya yang dikenali sebagai `Seri Cempaka` dikhususkan kepada mereka yang benar-benar daif. Sebahagian dari rumah flat disewa oleh penghuni-penghuni bukan rakyat Malaysia. Mereka menimbulkan masalah sosial bagi penduduk tempatan. Terdapat sebahagian datang membuka rumah asuhan `Menjaga Anak-anak` termasuk anak-anak pekerja-pekerja kilang. Sebahagian dari pekerja-pekerja di rumah asuhan  adalah tidak terasuh.
Dengan perkembangan Bandar Baru Bangi , maka ianya tidak sunyi dari berlaku masalah sosial. Anak-anak pekerja dihantar ke rumah asuhan tidak terlatih dan setengah dihantar ke rumah suami isteri yang menghuni di apatment sewa murah. Masalah timbul dari rumah-rumah asuhjan kanak-kanak yang tidak bertauliah seperti berita anak `Dibungkus`, diberi minuman yang membuat mereka tidur  lama agar tidak bermasalah untuk dijaga.
Berita paling menggemparkann bukan setakat di Bangi, tetapi negara, apabila baru-baru ini, seorang  anak yang masih peringkat bayi berumur 11 bulan didera dan dirogol oleh suami pengasuh yang ditinggalkan bayi kepada suaminya menjaganya, sementeri sang isteriu pergi bekerja di kilang. Bayi bernama Muazara Ulfa bin Muhammad Zainal yang dikenali dengan nama ringkas sebagai Zara itu meninggal selepas dua hari dimasukkan ke Hospital Serdang (9 November 2018). Suami bagi pengasuh yang dikenali sebagai Hazuri Majid (38) dicharged di Mahkamah Kajang  kerana kesalahan mendera dan merogol bayi berkenaan pada 7 November antara jam  10.30 pagi  hingga 1.30 petang di apartment sewanya pada 7 November 2018, di bawah seksyen 302  penal code yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati. (Star, 24 November 2018: 1). Berita yang menggemparkan negara ini turut membawa imej buruk bagi Bandar Baru Bangi.
Isu mendera anak-anak ini sering terjadi. Sudah tiba masanya kebajikan anak-anak yang terpaksa dihantar ke rumah asuhan ini diberi perhatian, tidak saja bagi ibu-ibu yang bekerja di pejabat sebagaimana sedang diberi perhatian oleh Kementerian Hal Ehwal Wanita di bawahTimbalan Perdana Menteri Wan Azizah, tetapi kebajikan bagi semua bayi yang ibu-ibu mereka  terpaksa bekerja. Peruntukan dan pendekatan terbaik hendaklah dicari bagi mengatasi masalah ibu-ibu dan juga mengatasi masalah sosial yang berbangkit darinya.
Di Bandar Baru Bangi nampaknya tidak cukup dengan peranan surau-surau  yang berjumlah 40 buah itu. Apartment Seri Cempaka adalah berhampiran dengan Surau Raudhah  dan Kompleks Pendidikan Islam yang mengadakan pengajian terbuka kepada orang ramai setiap hari minggu. Masalahnya penghuni tidak jinak dengan surau dan masjid berdekatan yang boleh dihadiri untuk beribadat dan mengikuti berbagai-bagai pengajian.
Masalah sosial ini dan yang lain-lain perlu di atasi, pihak Wakil Rakyat, Persatuan Penduduk, masjid dan surau-surau yang mempunyai biro Menyuruh membuat perkara ma`ruf dan mencegah perkara mungkar mesti mengambil tindakan bersama bagi mengatasi maksiat dan gejala sosial di Bandar Baru Bangi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment