November 5, 2018

BELANJAWAN MESRA RAKYAT


BELANJAWAN MESRA RAKYAT
(Fikrah Bangi: 48)
BBB, 27 Safar 1440H. = 05 November 2018M. (Isnin):
Sesebuah kerajaan yang memerintah semestinya mempunyai falsafah, dasar , matlamat, visi dan misi pemerintahannya. PH sebagai kerajaan yang memerintah, meskipun tidak memperlihatkan secara jelas falsafah, dasar, matlamat, visi dan misi pemerintahannya tapi dapat difahami matlamat komponan yang ada di dalam PH, iaitu menegakkan keadilan sebagaimana yang terbayang di dalam PKR, menjaga amanah rakyat sebagaimana yang terbayang di dalam Amanah dan berusaha menyatupadukan rakyat, khususnya dari kalangan Bumiputra bersatu. Yang jelas baik PH atau kerajaan sebelum darinya, tidak mendukung aristokrasi, diktator, sosialis atau komunis. Semuanya adalah mendukung demokrasi. Termasuk di bawah demokrasi ialah keadilan rakyat dan amanah terhadap mandat yang diberi rakyat.Demikianlah melihat kepada belanjawan pertama PH dapat dirumuskan adalah belanjawan mesra rakyat.
Dilihat secara makro bahawa peruntukan  belanjawan sebanyak RM314.5 bilion itu secara keseluruhannya adalah bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Secara mikro sebagaimana dimaklumi, bahawa untuk hidup perlu kepada tiga perkara asas, iaitu makanan, pakaian dan perlindungan. Antara keluhan rakyat yang berterusan bahawa kebanyakan rakyat tidak mampu memiliki rumah kerana harganya mahal di luar dari kemampuan bertbanding dengan pendapatan mereka. Rintihan rakyat diberi keutamaan oleh kerajaan dengan komitmennya yang mau mendirikan sejuta rumah bagi rakyat. Dalam belanjawan  pertamanya (2 November 2018) kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang tiap satu rumah adalah seharga RM150,000 bagi mereka yang berpendapatan RM2,300 sebulan. Di samping itu pihak kerajaan menyediakan sebanyak RM1.5 bilion bagi menyiapkan rumah mampu milik.
Antara keperluan asas  yang dapat memberi keselisaan hidup ialah kehidupan yang sihat. Prihatin terhadap rakyat kerajaan menyediakan keperluan menjaga kesihatan, iaitu sebanyak RM100 juta bagi perlinungan kesihatan bagi golongan B40 yang berumur 50 tahun ke atas yang melibatkan  800,000 orang. Malaysia akan mempunyai ramai rakyat berumur lanjut dalam tahun 2020, maka kebajikan mereka diberi perhatian dengan memperkenalkan dana insuran, takaful dan berbagai dana kebajikan.
Jaminan utama bagi kehidupan ialah pelajaran. Adalah menjadi dasar bagi mana-mana kerajaan yang memerintah seharusnya memberi tumpuan kepada menyediakan peluang bagi rakyat mendapat pelajaran secukup dan sebaik mungkin. Tidak ada halangan bagi pelajar berkelayakan  di Malaysia menyambung pengajian ke peringkat tertinggi yang mampu dicapai. Semakin ramai rakyat yang berpelajaran di dalam berbagai bidang semakin meningkatkan negara dari segi kemajuan. Menyedari tentang kepentingan pelajaran ini kerajaan memperuntukkan jumlah tertinggi bagi pendidikan iaitu sebanyak RM60.2 bilion. Iaitu menghampiri satu perlima dari belanjawan negara. Hasilnya negara tergolong dari negera yang mempunyai mutu pelajaran yang tinggi dengan  sejumlah universiti negara ini berada di dalam ranking 100 universiti terbaik di dunia dan negara ini menjadi salah satu destinasi bagi pelajar-pelajar dari luar negara menyambung pengajian.
Berikut dari mutu rakyat yang meningkat dari segi pelajaran, mereka seharusnya mendapat pulangan dari pendidikan yang didapati dengan pendapatan yang mencukupi. Dalam hal ini kerajaan menetapkan gaji minimum di negara ini ialah sebanyak RM1,100 bulanan. Ini melibatkan semua sektor pekerjaan yang berkembang hasil dari kemajuan pendidikan di negara ini.
Salah satu kepentingan moden ialah kemajuan dari segi perhubungan dan komunikasi. Kerajaan menyediakan kemudahan jalanraya termasuk di Sabah dan Sarawak  dengan projek Pan-Borneo (Projek Kerajaan BN dahulu) sepanjang 2,325 km. Lebuhraya merentasi Sarawak dan Sabah yang melibatkan kos sebanyak RM29 bilion. Lebuhraya ini dijangka siap pada tahun 2022.
Bagi kepentingan pengangkutan kerajaan memberi subsidi sebanyak 100  liter sebulan bagi kenderaan di bawah 1,500 cc bagi golongan B40. Di samping kenaikan tol  bagi 2019 adalah dibekukan. Manakala pas bulanan RM100 bagi khidmat rel dan bas rapid KL. Manakala perkhidmatan jalur lebar  dipertingkatkan bagi kemudahan rakyat sebagai media komunikasi moden.
Sebagaimana biasa di dalam masyarakat ada golongan yang susah, bagi mereka kerajaan menyediakan bagi isi rumah yang mendapat antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dengan elaun tambahan sebanyak RM750/= sebulan, manakala bayaran khas bagi penjawat awam gred 54 ke bawah sebanyak RM500/= sebulan.
Demikianlah antara pecahan belanjawan pertama PH yang mencerminkan Belanjawan Mesra Rakyat.
Sekian.

No comments:

Post a Comment