November 1, 2018

CAWANGAN PARTI POLITIK DI UNIVERSITI AWAM ?


CAWANGAN PARTI POLITIK DI UNIVERSITI AWAM ?
(Fikrah Bangi: 44)
BBB, 23 Safar 1440H. = 01 November 2018M. (Khamis):
Menteri Pelajaran Malaysia YB Muszlee Malik meyebut (BH, 31.10.2018) bahawa selepas penarikan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU:1971) dan kelulusan parlimen bahawa umur layak mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun, maka dengan itu kampus-kampus universiti awam terbuka untuk diterokai oleh parti-parti politik untuk membuka cawangan-cawangan di dalam kampus-kampus univeriti. Demikian tafsir Menteri itu.
Kita bersetuju dengan penarikan balik AUKU  yang memberi kebebasan pelajar bergiat di kampus dan tidak menentang tentang umur kelayakan mengundi, tetapi tidak bererti kebebasan bagi parti-parti politik untuk masuk ke universiti-universiti membuka cawangan parti-parti politik, kerana implikasi buruknya lebih banyak dari kebaikan. Universiti mempunyai autonomi tersendiri yang harus dihormati. Dan harus mempertimbangkan sehalus-halusnya tentang baik buruknya jika dibiarkan parti-parti politik masuk ke universiti-universiti menubuhkan cawangan parti masing-masing.
Pencerobohan parti-parti politik ke kampus-kampus akan mengganggu suasana pembelajaran pelajar-pelajar di dalam, menghadapi tugas utama mereka, iaitu menimba ilmu pengetahuan di dalam masa terhad semasa mereka berada di kampus. Jika mereka diganggu dengan masa yang berharga, akan menurunkan prestasi mereka di dalam menimba ilmu pengetahuan. Bayangkan jika parti politik ditubuh di dalam kampus dan tiba masa pengundian untuk memilih kepimpinan sebagaimana yang berlaku kepada PKR sekarang, maka suasana memilih kepimpinan  akan berlaku di kampus dan lebih-lebih lagi bergolak apabila tiba musim pilihanraya, maka kempen parti politik pilihanraya turut melempah, bahkan lebih hebat berlaku di kampus-kampus. Suasana berpolitik juga akan berlaku sepanjang tahun sebagaimana berlaku di luar kampus. Jadi universiti bukan lagi wadah keilmuan, tetapi bercampur aduk dengan politik.
Bayangkan juga dengan kebenaran  masuk  parti-parti politik di kampus akan berlaku penekanan pihak yang berkuasa – kerajaan terhadap parti-parti lawan. Dominasi kerajaan membawa implikasi tidak sihat, bahkan lebih membawa konflik pertentangan antara parti dan pelajar-pelajar. Dalam kata lain membenarkan parti-parti politik membuka cawangan di kampus-kampus lebih banyak membawa  kerosakan kepada kehidupan kampus yang seharusnya memberi tumpuan kepada  pengajian.  Bayangkan adalah begitu buruk, jika kampus menjadi medan politik yang tokoh-tokoh politik keluar masuk ke kampus  bagi meluaskan pengaruh politik bagi parti-parti masing-masing dan adalah lebih buruk juga, jika pihak kerajaan lebih memberi peluang kepada parti-parti politik kerajaan dan pimpinan masuk ke kampus, sedang parti-parti lawan tidak diberi peluang atau diiskriminasi dari segi peluang. Perlu diingat bahawa, tidak semua orang , termasuk pelajar-pelajar berminat terhadap politik, bahkan tidak memberi faedah sangat bagi mereka melihat orang-orang politik yang tamak pada kuasa, ketamakan ini jangan merosakkan pelajar-pelajar. Politik boleh dikaji oleh pelajar-pelajar di dalam kursus  politik di luar kampus.
Latihan berorganisasi dan berpolitik cukup dengan  kegiatan berorganisasi di dalam persatuan-persatuan dan organisasi-organisasi di kampus. Ianya cukup  sebagai bekalan bagi pelajar-pelajar yang meminati politik untuknya bergiat di dalam politik.  Selepas menamatkan pengajian mereka boleh menceburkan diri di dalam kegiatan-kegiatan politik di luar kampus. Berhubung dengan kelayakan mengundi dengan umur 18 tahun, sebenarnya tidak menjadi halangan bagi mereka mengundi di kampung halaman mereka atau di luar kampus semasa mereka sebagai pelajar kampus.
Jika apa yang dibayangkan oleh YB Menteri Pelajaran itu akan diterjemahkan menjadi kenyataan  maka pihak universiti-universiti patut berbincang terlebih dahulu dan memikirkan implikasi baik-buruknya, Kita berpendapat keburukan lebih banyak dari kebaikan dan parti-parti politik jangan dibiarkan mengotori kampus dengan konflik kepartian memanjang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment