November 30, 2018

MASJID MESRA GOLONGAN MUDA


MASJID MESRA GOLONGAN MUDA
(Fikrah Bangi: 72):
BBB, 22 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 30 November 201`8M. (Juma`at):
Di dalam Enakmen Masjid Dan Surau JAIS-MAIS (2017) berhubung dengan perlantikan Jawatankuasa Masjid diperuntukkan calon perlantikan ialah untuk Belia. Ertinya masjid hendaklah memberi perhatian  kepada belia bagi  melibatkan diri dengan masjid. Mereka adalah generasi yang akan mewarisi pimpinan, termasuk juga pimpinan masjid.
Masjid Al-Umm memang memberi perhatian terhadap golongan muda, sebagaimana tersebut masjid wajar mengadakan kursus bimbingan mengasuh anak-anak sama ada bagi mereka yang terlibat bekerja mengasuh bayi dan anak-anak, tetapi juga bagi ibu-ibu  yang menjadi suri rumah tangga dan menjaga sendiri anak-anak. Pihak masjid juga menggalakkan ibu-bapa mengadakan upacara aqiqah bagi anak-anak masing-masing di masjid.
Satu yang unik bagi Masjid Al-Umm, bahawa di dalam masjid ini terdapat ruang mainan kanak-kanak seperti pondok bertangga,  papan gelunsur, buaian  dan beberapa jenis permainan yang lain. Ini bagi menggalakkan ibu-bapa muda datang ke masjid, sementara anak-anak mereka bermain di ruang permainan. Bagi anak yang telah besar dan mumayyiz adalah digalakkan mereka turut sama dilatih untuk sama bersolat jamaah yang bagi lelaki di belakang saf lelaki dan perempuan di belakang saf perempuan. Mereka dilatih menjaga disiplin dan tidak membuat bising.
Di masjid ada guru-guru Qur`an yang melatih dan mengajar anak-anak mengenal huruf dan membaca Al-Qur`an. Di samping ada kelas khas bagi kumpulan anak-anak mebaca Al-Qur`an, ada keluarga menempah guru dan mereka sekeluarga datang secara satu keluarga membaca Al-Qur`an.
Sebagaimana pernah disebutkan bahawa Masjid Al-Umm berdekatan dengan dua buah sekolah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Pihak Masjid Al-Umm mempunyai kerjasama yang rapat dengan sekolah-sekolah berkenaan melalui mesyuarat antara pihak masjid dengan PIBG-PIBG dan guru-guru. Ruang terbuka di masjid sering diguna oleh pihak sekolah-sekolah berkenaan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti sekolah seperti motivasi pelajar, persediaan menghadapi peperiksaan. Ruang-ruang seminar dan kuliah juga ditempah oleh sekolah bagi  kelas-kelas persediaan bagi menghadapi peperiksaan. Pihak masjid dan sekolah mengadakan pembacaan Yasin dan solat hajat menjelang pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan baik pada peringkat rendah, maupun pada peringkat menengah. Sebahagian dari jama`ah bagi solat zohor dan `asar  dipenuhi oleh pelajar-pelajar sekolah. Sesungguhnya banyak lagi kerjasama antara masjid dan sekolah yang dapat diadakan bagi faedah pelajar-pelajar, sekolah dan masjid.
Kepentingan golongan muda di masjid adalah disedari dari peringkat awal penggunaan Masjid Al-Umm dan ahli jawatankuasa yang dilantik pada masa itu antaranya dari golongan muda.. Mereka mempunyai jawatankuasa sendiri. Mereka terlibat sama di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid  dan banyak mengadakan kegiatan-kegiatan seperti sama menggerakkan kerja-kerja gotong royong masjid,  mengadakan kegiatan sukan, kegiatan kebajikan dan menjemput penceramah-penceramah dari luar yang ditaja oleh golongan belia.
Dalam pemilihan jawatankuasa Pentadbiran dan Pengimarahan Masjid bagi sesi 2019-2021 turut dipilih belia dari lelaki dan perempuan.  Bila jawatankuasa baru  yang akan memulakan tugas pada awal 2019 nanti, maka diharap baik dari belia lelaki dan perempuan mempunyai biro masing-masing yang akan dapat  menyusun program masing-masing dan diharap biro brlia lelaki dan perempuan akan dapat memberi sumbangan yang efektif di dalam memajukan Masjid Al- Umm -  Insya Allah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment