December 1, 2018

KUMPULAN PELAJAR UNIVERSITI MENGIKUTI KEGIATAN MASJID AL-UMM


 KUMPULAN PELAJAR UNIVERSITI MENGIKUTI KEGIATAN MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi:  73).
BBB, 23 Rabi`ul-Awwal 1440H. =  01 Disember 2018M. (Sabtu):
Al-Hamdulillah, dalam usaha Masjid Al-Umm mendekati golongan muda, maka  Masjid Al-Umm tidak saja disertai dan diisi aktiviti dari kalangan muda oleh anak-anak muda dari masjid, tetapi nampaknya masjid menjadi tarikan bagi pelajar-pelajar  universiti datang  secara rasmi – setelah berunding dengan pihak pentadbiran, bagi mengikuti akriviti-aktiviti di masjid.
Kumpulan terbaru yang datang ialah dari Fakulti Pembangunan Insan dari Universiti Putera Malaysia (UPM). Rundingan telah dibuat sejak  dua bulan yang lepas oleh pihak Pensyarah Pembimbing pelajar-pelajar, iaitu Dr. Rabi`ah bt. Hamzah. Penyertaan pelajar adalah sebagai melengkapkan  kursus kemasyarakatan yang dikehendaki pelajar-pelajar menyertainya. Antara persetujuan yang diambil, bahawa pihak masjid menyediakan tempat dan penceramah tambahan untuk diikuti pelajar, selain dari mengikutri  aktiviti biasa di masjid, makan minum pelajar diuruskan oleh pihak pensyarah yang membimbing pelajar.
Jadi sejak jam 5.30, petang hari Juma`at semalam (kelmarin), pelajar-pelajar dari UPM ini tiba dengan kereta persendirian yang memenuhi ruang pakir pada bahagian dalam kawasan masjid., iaitu seramai 40 pelajar perempuan  dan sepuluh orang sahaja pelajar lelaki. Mereka disambut oleh Ketua Pemuda Masjid saudara Ah. Feizal bin Arshad, Imam Rahmat dan Imam Ghazi. Bagi pelajar perempuan di tempatkan di aras satu, aras bagimuslimat bersolat, manakala pelajar lelaki pada aras utama, bersama jama`ah lelaki. Mereka akan berada di masjid dari petang hingga ke pagi esok.
Aktiviti pertama diikuti oleh pelajar-pelajar berkenaan, ialah solat maghrib bersama dan selepas itu, mereka sama mengikuti pengajian Al-Qur`an bertajwid yang dibimbing oleh Imam Ghazi, imam Masjid Al-Umm. Ahli jama`ah dimaklumkan tentang kehadiran pelajar-pelajar  UPM berkenaan dan tujuan kehadiran mereka.  Seterusnya selepas mengikuti pengajian Al-Qur`an ialah solat Isya` berjama`ah.
Selepas solat `Isya` pelajae-pelajar berkenaan, termasuk yang perempuan turun dari aras atas (Satu) ke ruang legar hadapan ruang utama masjid. Mereka bersila di atas tikar yang dibentangkan. Kali ini mereka mengikuti kuliah khas untuk mereka yang disampaikan oleh Profesor Emiratus Dr. Azimi Hamzah, tenaga pengajar dari Fakulti Pendidikan di UPM yang tinggal berdekatan Masjid Al-Umm dan merupakan ahli jama`ah Masjid Al-Umm.
Sebelum penyampaian kuliah Penulis selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menyampaikan ucapan alu-aluan dan selamat datang kepada pelajar-pelajar berkenaan. Penulis menerangkan tentang kegiatan-kegiatan pengajian di Masjid Al-Umm dan menerangkan tentang ruang-ruang  di Masjid Al-Umm yang direka bentuk berorientasikan ibadat dan kegiatan-kegiatan  keilmuan dan kemasyarakatan. Selain dari ruang utama dan tingkat atas untuk muslimat, masjid mempunyai 2 bilik seminar, dua bilik kuliah, satu bilik perpustakaan dan satu bilik IT, manakala bahagian bawah tanah ialah  aras bagi ruang konvensyen bagi jumlah kehadiran yang lebih ramai antara 600 hingga seribu peserta. Prof Azimi bercakap tentang  bidang pendidikan dan kerohanian kepada pelajar.
Selepas makan malam yang agak lewat, mereka mengikuti kuliah ringkas yang disampaikan oleh Imam Rahmat. Topik yang dibicarakan ialah `Adab Tidur`.
Pada jam 3.30 pagi mereka bangun berqiyam al-lail yang dibimbing oleh Imam Ghazie dan pada paginya Imam Ghazie jugalah menjadi imam subuh. Manakala kuliah Subuh disampaikan oleh Ah. Feizal, Ketua Belia  Masjid bertajuk  `Keistimewaan Masjid`. Beliau menceritan masjid yang menjadi fokus utama  dibina Rasulullah s.a.w.  – Masajid Quba` dan Masjid Madinah. Beliau juga mengaitkan cerita tentang Masjid Aya Sophia di Turki yang ditukarkan  oleh Sultan Muhammad Al-Fatih bangunan yang asal gereja itu kepada Masjid.
Mulai jam 10.00 pagi pelajar-pelajar berkenaan bersama-sama hadirin yang lain akan mengkuti Seminar Bulanan Masjid. Kali ini kertas kerja dibentang oleh Ir. Haji Ishak Arshad, Pengerusi Teknikal Pembinaan Masjid Al-Umm dan diulas oleh Ar. Raja Fuaddin arkitek bagi Masjid Al-Umm. Selepas itu pelajar-pelajar mengakhiri dari program mengikuti kegiatan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment