CELARU UMNO MENUNGGU WIRA-WIRAWATI PENYATU
(Fikrah Bangi:
89);
BBB, 09 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 17 Disember
2018M. (Isnin):
Kini Umno benar-benar bercelaru. Kecelaruan
bukan saja kerana kalah pilihanraya (9 Mei 2018), kerana kalau kalah sahaja, dengan jentera parti yang besar,
keahlian yang begitu ramai dan pemimpin
yang begitu mantap, insya Allah dapat disusun kembali penyatuan bagi menebus
kembali kekalahan. Kecelaruan yang berlaku kini, kerana sebahagian pemimpin kini dikaitkan dengan kes mahkamah. Walaupun
belum disabitkan kesalahan, isu yang berkait dengan mahkamah menghakiskan
keyakinan rakyat terhadap kepimpinan. Zahid Hamidi, walaupun dipilih dalam
Mesyuarat Agung Umno menggantikan Najib yang terpaksa berundur. Tapi Zahid yang dikaitkan dengan kes mahkamah
juga menghadapi penghakisan keyakinan. Ini termanifestasi seperti berterusannya
keluar ahli-ahli parlimen, contoh Umno dari Sabah secara blok. Bahkan Zahid
berani dicabar oleh Hamzah Zainuddin Ahli Parlimen Larut supaya meletakkan
jawatan dalam tempoh sepuluh hari, jika tidak dia bersama kumpulannya akan
keluar dari Umno, bahkan Khairy Jamaluddin Bekas Ketua Pemuda Umno berani mendesak Zahid berundur.
Namun desakan di atas dipersoal dan berjawab
dengan penentangan, apa hak Zainuddin memberi katadua dan Khairy minta
berundur, sedang Zahid dipilih dalam perhimpunan. Bahkan jawapan yang lebih
keras datang dari Umno Perak sendiri yang menyatakan sokongan tidak berbelah
bahagi terhadap Zahid kerana ia dipilih dalam Mesyuarat Agung Umno. Ini
diperkukuhkan lagi dengan sokongan dari Johor Bahru, Ketuanya, Shahrir Abdul Samad
mengatakan, mereka akan meneruskan perjuangan bersama Presiden Umno (UM,
17.12.2018: 1).
Fenomena keluar parti (Umno) dilihat tidak
wajar, pemimpin Dap mau mereka yang keluar parti menyerahkan mandat kepada rakyat memilih kembali wakil mereka.
Bahkan ada yang mencadangkan agar digubal di dalam Parlimen akta yang mencegah
wakil-wakil rakyat melompat parti. (Sinar, 16.12.2018: 1).
Sementara itu fenomena melompat parti, keluar
dari Umno dan berhasrat masuk PH, menimbulkan rasa tidak senang di kalangan
pemimpin PKR yang merupakan komponan utama di dalam kerajaan PH. Nik Nazmi Nik
Ahmad, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan berkata,
``Menerima secara terbuka, mereka yang
melompat parti merupakan penghinaan terhadap proses pilihanraya dan akan
menghancurkan kewibawaan demokrasi kita.``
Manakala Nurul Izzah Anwar Naib Presiden PKR
menyatakan tidak senang dengan situasi yang berlaku.`` (Sinar, 17.12.2018: 1).
Pernyataan dari pemimpin-pemimpin PKR akan
menyedarkan mereka yang melompat dari
Umno dan meredakan hasrat yang bakal melompat. Jika mereka ditolak mereka akan
terkapai-kapai di tengah jalan. Kepada komponan dalam PH yang cenderung
menerima para pelompat kerana mau menambahkan kerusi bagi mengimbangi komponan
yang lain akan berfikir kembali dan mempersoal diri apakah mereka sanggup mengubah
dasar dan falsafah perjuangan dan sanggup terima pelarian yang akan mengubah
imej dan identiti parti ?
Sementara itu ujian terus melanda Zahid
apabila dilaporkan, bahawa dia sogok untuk jadi Presiden dan dilaporkan kepada
SPRM dan disahkan SPRM menerima laporan. (BH, 17.12.2018: 1).
Demiklianlah dugaan bertalu-talu diterima oleh
Zahid secara khusus dan Umno secara menyeluruh. Zahid perlu ingat ujian
yang dilaluinya pernah dilalui oleh
Dato` Sri Anwar Ibrahim, sahabat seperjuangannya dulu, sebab itu dia perlu lebih tabah menghadapinya.
Ikhtiar dan bertawakkallah kepada Allah.
Kecelaruan yang dihadapi Umno kini dari satu
segi adalah menanti wira dan wirawati yang sanggup bangkit dengan
pendekatan-pendekatan yang dapat menyelamatkan Umno. Dia mungkin dari pemimpin
kini atau dari kalangan bakal muncul nanti.
Sekian.
No comments:
Post a Comment