December 22, 2018

PROSES PEMULIHAN DAN PENGUKUHAN


PROSES PEMULIHAN DAN PENGUKUHAN
(Fikrah Bangi: 94):
BBB,  14 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 22 Disember 2018M. (Sabtu):
Pengambilalihan  jawatan selaku Pemangku Presiden Umno oleh Datuk  Seri Mohamad Hasan dan tugas Timbalan Presiden oleh Datuk Seri Sabri Ismail diterima baik oleh semua pihak, khususnya di dalam Umno.  Perubahan yang berlaku adalah merupakan proses pemulihan dan pengukuhan parti. Kini gelombang keluar parti dapat diredakan, apalagi dari satu pihak – PH mensyaratkan perlu selepas keluar parti  menjadi sebagai ahli bebas dan melalui penilaian.
Tok Mat dan Tok Sabri mengatur langkah bagi pengukuhan parti dengan perancangan melawat dan menemui ahli parlimen Umno yang kini dikatakan tinggal sebanyak 37 kerusi, setelah 13 dari asal 50 meninggalkan parti. Tok Mat dikatakan akan memberi lebih  kuasa bagi negeri-negeri mengukuhkan parti pada tempat masing-masing. Sesungguhnya mereka yang keluar parti tidak bermakna rakyat akar umbi turut keluar, sebaliknya mereka tetap utuh.
Akar umbi harus disedarkan, kesalahan yang berlaku bukan kesalahan parti, tetapi kesalahan pemimpin-pemimpin berkaitan. Sebab itu bagi memulihkan parti mereka yang dilibatkan dengan kesalahan seharusnya berundur dan memberi ruang kepada pelapis mengambilalih peranan bagi memulihkan kesilapan yang berlaku. Proses ini sedang berlaku.
Bagi kedua-dua pemimpin atasan yang mengambilalih perlulah bekerja secara pasukan dengan mengembelingkan tenaga-tenaga yang masih setia. Dan bagi pemimpin yang lain seharusnya  secara ikhlas tampil bagi membina kembali prestasi Umno yang disifatkan sebelum ini hampir lumpuh. Mereka yang dikira setia seperti Khairy Jamaluddin, haruslah berhenti dari mengkritik dalaman parti secara terbuka, sebaliknya memberi tenaga bagi memulihkan Umno. Tokoh-tokoh seperti Bong Mokhtar, Asyraf Wajdi, Shahrir Abdul Samad, Dr. Noraini dan yang lain-lain seharusnya menampilkan diri memberi kerjasama di dalam memulih dan memperkasakan Umno kembali.
Umno yang dalam usia 60an dapat diibaratkan sebagai diri manusia yang selama ini dalam sihat dan selesa telah ditimpa penyakit yang kronik. Ada pihak yang selama ini menumpang keselesaan dari pemerintahan yang dikepalai Umno, merasa panik dan tidak tahan diuji sehingga sanggup berpaling tadah bagi mencari keselesaan di tempat lain. Bagi keluarga yang setia seharusnya sama berusaha memulihkan  induk yang menjadi wadah kemewahan yang dikecapi selama ini. Keselesaan dan kemewahan yang dikecapi selama ini adalah ujian. Ujian kemewahan inilah yang dihadapi keluarga dalam Umno yang menyebabkan kepimpinan silap langkah dan yang tidak setia sanggup menderhaka. Kini ujian kemewahan bertukar kepada ujian kesusahan. Sekali lagi mereka yang tidak setia menghadapi ujian. Apa yang diharapkan bahawa kesusahan menjadi faktor yang menyatupadu  dan merapatkan kembali keluarga Umno. Pada kebiasaan orang yang sama susah yang terus setia bagi menghadapi ujian, manakala mereka yang senang biasanya menunjukkan keengganan dan mencari tempat lain bagi mendapatkan kesenangan. Dalam masa kesusahan ini pimpinan seperti Tok Mat dan Tok Ismail akan lebih kenal antara mereka yang terus setia, mereka yang mengancam dan keluar menjadi seteru.
Tempoh untuk PRU ke 15 tidaklah lama, maka tumpuan hendaklah diberi. Antaranya:
·         Pembersihan dari mereka yang bertukar menjadi seteru dan memasalahkan parti.
·         Memantapkan kepimpinan pada setiap lapisan
·         Memulih dan mengekalkan kesetian akar umbi terhadap parti
·         Mengenalpasti kelemahan lawan
·         Menyusun strategi masa depan yang meyakinkan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment