December 15, 2018

KELUAR PARTI, ERTI DAN IMPLIKASI


KELUAR PARTI, ERTI DAN IMPLIKASI
(Fikrah Bangi: 87):
BBB, 07 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 15 Disember 2018M. (Sabtu):
Merujuk kepada Umno, parti ini memang di dalam keadaan bergelora. Selepas 5 ahli parlimen dari Sabah mengumumkan keluar dari  Umno, maka semalam Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama lima rakannya akan keluar parti Umno jika dalam tempoh 10 hari Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi enggan meletakkan jawatan (Presiden Umno), sambil mengumumkan bahawa sejumlah 36 ahli parlimen Barisan Nasional sudah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Muhamad. (BH, 15.12.2018: 1). Apa erti semuanya ini ?
Pertama bererti kepimpinan utama Umno, khususnya Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, dipersoalkan kepimpinannya  di dalam mengendalikan Umno. Sesuatu tindakan segera perlu dilakukan, antaranya sebagaimana dicadangkan Khairy Jamaluddin segera mengadakan Persidangan Agung Khas membincangkan situasi semasa Umno dan bertindak mengatasi segera kemelut yang berlaku.
Kedua dipersoalkan kesetiaan ahli Umno, mereka bukan sebenar mencintai Umno dan rela mempertahankannya bermatian-matian. Mereka selama ini adalah penumpang-penumpang yang sedia lari bila berdepan dengan cabaran. Mereka sepatutnya setia dari dalam dan sama berusaha memperbaiki Umno dari dalam. Mereka bakal menjadi bukti sejarah sebagai mereka yang turut memusnahkan Umno.
Ke mana arah mereka ? Tentunya mencari tempat selamat, terutama bagi diri mereka. Mereka tidak boleh mendakwa mewakili rakyat yang memilih mereka, jika pun tidak boleh didakwa mereka sebagai pengkhianat !
Bagaimana dengan tempat selamat yang menjadi arah  tuju pelarain-pelarian ini ?
Di sana juga ada perbalahan pendapat, bahkan ada perlumbaan membina pengaruh dan kekuatan. Bagi komponan parti pemerintah yang kurang jumlah kerusinya, tentulah berkeinginan menerima pelarian-pelarian bagi mengukuhkan kedudukan berbanding dengan parti-parti komponan yang kuat dan stabil. Dengan kekukuhan yang dapat dimanfaatkan dari pelarian berkenaan mengukuhkan parti dan pimpinan di dalam memiliki kuasa dan perimbangan di dalam percaturan politik dan kekuasaan  pemerintahan. Tetapi bagaimana dengan prinsip, maruah dan integriti ?
Memang ada parti-parti yang mempunyai falsafah perjuangan, integriti dan identiti tidak senang dengan situasi yang berlaku yang terpercik kepada PH.
Dap mengingatkan pemimpin PH, tidak perlu menerima `Sampah Umno` mengotori kemurnian dan pembaharuan PH.
Ram Karpal Singh ahli Parlimen Bukit Gelugor, mengingatkan, bahaya bagi PH menerima ahli Parlimen bekas Umno.
Demikian hinanya pandangan yang dilemparkan terhadap mereka yang keluar dan mengkhianati parti.
Sememangnya harga dan maruah PH lebih mahal dari kepentingan mengimbangi jumlah kerusi bagi satu komponan di dalam PH. Juga tidak sepatutnya, kerana mau mencapai dua pertiga majoriti dalam Parlimen maka sampah sarat di jalanan diangkat masuk ke pekarangan PH.
Perlu diingat ! Dengan kemasukan pendatang baru akan mengubah:
·         Falsafah dan perjuangan PH yang  mau ditegak selama ini.
·         Dipersoalkan dari segi `Pemerintah dan Zaman Baru`  yang didakwa selama ini.
·         Wajah PH akan berubah kembali mirip semacam BN selama ini.
·         Akan terbina budaya politik campuran yang mengubah keaslian PH.
·         Pejuang-pejuang Umno tulen perlu membersih Umno dan bangkit dengan pendekatan dan imej baru.
Sekian.

No comments:

Post a Comment