December 11, 2018

MALAM JASAMU DIKENANG; KEPADA NAZIR_NAZIR


MALAM JASAMU DIKENANG: KEPADA NAZIR-NAZIR
(Fikrah Bangi: 83),
BBB, 02 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 10 Disember 2018M. (Isnin):
Selepas solat maghrib pada petang ini Penulis  selaku Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm berkesempatan hadir ke Majlis Malam Jasamu Dikenang di tuju kepada nazir-nazir masjid Daerah Hulu Langat 2016-2018 yang menamatkan tempoh perkhidmatan mereka – sebahagian mereka disambung perkhidmatan, anjuran Sekretariat Pengerusi Nazir-Nazir Hulu Langat yang diketuai oleh Dato` Abdullah bin Mohd Zain Nazir Masjid Al-Hasanah bertempat di Hotel Neira berdekatan dengan Hitachi, Bandar Baru Bangi.
Tamu-tamu kehormat yang hadir ialah Al-Fadhil Ustaz Hashim Muhammad, Ketua Bahagian Pengimarahan Masjid-Masjid JAIS , Orang Besar Daerah Hulu Langat Orang Kaya Dato` Ungku Abdul Jalil, Sahibul al-Fadhilah Haji Mahayuddin Pegawai Tadbir PAID Hulu Langat, Pegawai-pegawai dari PAID dan Nazir-Nazir Masjid Hulu Langat.
Majlis yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd. Faisal itu menjemput Dato` Abdullah Mohd Zain selepas do`a pembukaan yang dibaca oleh Imam Syed Othman Thani dari Masjid Al-Hasanah.
Dalam ucapannya, Dato` Abdullah Mohd. Zain mengucapkan terima kasih kepada nazir-nazir dari 36 daripada 52 masjid yang hadir, antaranya sejauh Hulu Pangson dan Lubuk Kelubi di Hulu Langat. Menurut Dato` Abdullah majlis Malam Jasamu Dikenang ialah bertujuan mengiratkan silatul rahim di kalangan nazir-nazir di seluruh Hulu Langat, disamping mengucapkan `Terima Kasih` di atas khidmat mereka secara ikhlas selama tempoh tiga tahun yang lepas (2016-2018).
Menurut Dato` Abdullah antara kegiatanyang telah dilakukan ialah turun melakukan kegiatan-kegiatan pengimarahan masjid ke tiga buah masjid yang dianggap daif dan melakukan berbagai-bagai kegiatan di masjid-masjid berkenaan. Salah sebuah masjid berkenaan ialah Masjid  Al-Rahmaniah di Sungai Lui. Antara kegiatan ialah meningkatan pengajian keilmuan di masjid-masjid, menghantar guru-guru ke surau-surau bagi membimbing mereka yang mengikuti pengajian Al-Qur`an, menyampaikan bantuan kepada faqir miskin dan anak-anak yatim. Pada hujung bulan Disember ini akan diadakan pertandingan bowling di kalangan masjid-masjid Hulu Langat.
Menurut Dato` Abdullah lagi antara pencapaian masjid-masjid Daerah Hul Langat ialah, mendapat tempat ketiga perbarisan Maulid al-Rasul peringkat negeri. Khatib Terbaik negeri Selangor yang dicapai oleh Pengerusi Majlis kita, iaitu Ustaz Mohd Faisal, manakala Surau Terbaik ialah Surau Al-Kauthar , Bandar Baru Bangi
Dato` Abdullah juga menyebut, antara masjid yang terbaru di Negeri Selangor ialah Masjid Bukit Mahkota dan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Masjid Al-Umm antara tempat pilihan untukl diadakan sambutan Malam Jasamu Dikenang, tetapi pilihan terakhir  ialah Hotel ini, kerana masih tiada kemudahan di Masjid Al-Umm.
Pada akhirnya Dato` Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua nazir  yang telah memberi sumbangan terhadap rumah-rumah Allah. Menurutnya tiada perkara yang lebih mulia dari berkhidmat memakmurkan rumah Allah. Insya Allah akan diberi ganjaran oleh  Allah pada hari akhirat kelak. Beliau juga menguucapkan terima kasih terhadap nazir-nazir yang diber kepercayaan menyambung tugas sepenggal lagi. Ini menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap pimpinan cemerlang  yang dilakukan. Manakala ada sebahagian meneruskan khidmat dengan bertukar jawatan,. Misalnya dari Nazir kepada Bendahari dan sebaliknya dari Setiausaha kepada Nazir dan Nazir menjadi AJK dan sebagainya. Yang penting ialah keikhlasan khidmat, bukan kedudukan dan pangkat. Allah melinat dan menilai khidmat yang tuan-tuan curahkan.
Bersambung ...
Sekian.

No comments:

Post a Comment