December 26, 2018

SIGNIFICANT MUHASABAH : AKHIR TAHUN


SIGNIFICANT MUHASABAH: AKHIR TAHUN
(Fikrah Bangi: 98),
BBB, 18 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 26 Disember 2018M. (Rabu):
Lima hari lagi berakhir tahun 2018. Bersyukur kepada Allah, kerana masih meneruskan rahmatNya  kepada diri hingga berpeluang meneruskan hayat, insya Allah kepada akhir  tahun 2018, suatu jangka hayat di luar dugaan hingga mendaki ke puncak 2018. Bertambah syukur kepada Allah, masih diberi kesihatan yang pada umumnya dapat dikatakan masih baik, walaupun tidak sepenuhnya, sehingga tidak mengganggu tugas-tugas harian. Kurniaan Allah kesihatan dan tenaga untuk bertugas, adalah kesyukuran,  walau tiada kiraan dari segi pulangan material. Tugas yang sengaja diletakkan oleh diri, bermaksud tiada paksaan dari pihak yang lain adalah memberi kecergasan pada diri untuk terus bekerja dan setiap hari adalah dipenuhi dengan tugas-tugas ini. Ini menjadikan diri tidak berhenti dari bergiat yang menggerakkan minda dan diterjemahkan ke dalam tindakan, perlakuan dan pembawaan. Adalah dijangka ini adalah membuat diri aktif, tidak lupa – dalam erti kata nyanyuk, walaupun ada mereka yang seusia dan masih hidup sudah menjadi pelupa dan nyanyuk. Pendek kata bergiat setiap hari dengan mental, rohani dan fizikal, insya Allah mengelak diri dari tidak bermaya dan pelupa. Kegiatan pada usia lanjut, jangan dinilai dari segi pendapat metarial, tetapi adalah pada kepuasan. Dalam hal ini lebih kepada sesuatu yang memberi kebajikan diri dan kepada masyarakat. Amalan kebajikan yang dapat dilakukan sesungguhnya kepuasan dan kesyukuran, ianya  adalah penawar yang paling mujarab dalam mentarapi diri dari segi mental, rohani dan fizikal. Inti dalaman yang paling penting ialah ikhlas, tanpanya kerja-kerja tidak akan dapat dilakukan secara sempurna.
Pesara dan orang tua, sebagaimana orang muda di dalam melalui masa berlalu dan mendatang perlu juga bermuhasabah. Bagaimanakah dengan program dan perancangan secara individu dan kerja secara bermasyarakat dan berpasukan sejauhmana dapat ditunai dan disempurnakankan. Bermaksud dalam kehidupan dalam usia tua, selain dari kerja dan tugas individu perlu libatkan diri dengan kelompok dan masyarakat, agar tidak terasing dan mengelak dari  bersendirian. Kerja-kerja sendirian ialah sesuatu yang tidak melibatkan orang lain, sebagai contoh kerja yang melibatkan hobi seperti menulis, manakala yang melibatkan orang ramai, ialah perkara-perkara kebajikan yang melibatkan masyarakat. Dengan adanya kerja individu dan masyarakat menjadikan diri sebok dan berada di dalam jadual harian yang diatur dan perlu dipatuhi. Ini menjadi kegiatan dan rutin harian.
Kerja-kerja individu dan kemasyarakatan ini tidak terlepas dari keperluan muhasabah. Melihat kepada tugas-tugas yang lalu, apakah mencapai kejayaan dan kepuasan dan jika tidak sepenuhnya, ianya melibatkan muhasabah mendatang. Tahun baru adalah sebagai sempadan bagi perkiraan baru. Yang demikian memerlukan perancangan dan program yang perlu diatur baik kerja individu dan kemasyarakatan. Yang penting program mendatang yang diatur ini memberi semangat dan harapan baru. Walaupun dengan usia yang lanjut muhasabah bagi masa depan dan program-program yang diatur dan harapan-harapan pada kejayaan ini adalah seperti desakan,mohonan, harapan terhadap Yang Maha Kuasa dapat memberi semangat, tenaga dan harapan bagi terus ingin bekerja. Perlu dingat segala harapan dan kejayaan-kejayaan yang diharapkan bukan dalam bentuk material, tetapi kepuasan-kepuasan hasil dari keikhlasan dan kerelaan.
Lantaran itu dalam kehidupan perlu mempunyai perancangan yang diatur secara teliti dan diri menekuni bagi menghasilkan perancangan baik bagi individu dan masyarakat. Puncaknya ikhlas, kepuasan dan kesyukuran.
Sekian.

No comments:

Post a Comment