TENAGA MUDA PELAPIS PIMPINAN AKAN DATANG
PERLU BERWIBAWA
(Fikrah Bangi: 93),
BBB, 13 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 21 Disember 2018M. (Juma`at):
Sememangnya pemuda dan pemudi adalah generasi
baru yang sedang berkembang secara
logiknya adalah bakal pengganti generasi tua yang akan pergi. Tapi adakah semua
generasi muda dapat memenuhi harapan menggantikan generasi tua? Pemuda pemudi yang diharapkan adalah pemuda
pemudi yang berkualiti. Dimaksudkan
berkualiti adalah yang sempurna dari segi fizikal, berilmu pengetahuan,
berakhlak tinggi, amanah, berbakat kepimpinan,
bijaksana, dedikasi, kreatif dan inovatif.
Di dalam masyarakat kita tentulah banyak
kalangan muda mudi, terutama yang baru
menamatkan pengajian tinggi dan baru mau menceburkan diri dalam lapangan
pekerjaan, tetapi adakah semua mereka berkelayakan dari segi kepimpinan. Mereka
perlu kepada pendedahan dan ujian.
Pemuda dan pemudi yang ketara dari segi
kepimpinan, ialah dari kalangan ahli politik. Oleh kerana dari kalangan politik
ini lebih nyata, maka kalangan mereka lebih diperkatakan di sini. Dalam
pilihanraya ke 14 (9 Mei 2018) yang lepas pengaruh menonjol yang membawa kepada
kemenangan PH ialah dari gerakan kalangan muda yang menguasai media baru dan
mereka dapat menyampaikan mesej perubahan kepada akar umbi masyarakat sehingga
berlaku pertukaran pemerintahan yang telah dikuasai BN selama 61 tahun kepada
kerajaan baru yang dikenali sebagai PH.
Pada peringkat awal kemenangan ramai kalangan
muda yang memenangi pilihanraya ditonjolkan, mendepaninya Syed Sadiq dan
beberapa yang lain. Namu kualiti sebahagian mereka sudah tersepuh dan nampaknya
tidak ke mana dan mereka tenggelam dari media, kecuali Syed Sadiq yang
mempunyai portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan, namun kelantangan,
ungkapan-ungkapan darinya yang dianggap menarik dan pendapat-pendapatnya yang
dianggap bernas, nampaknya makin luntur dan jika tidak digarap, maka ianya akan
tenggelam di dalam kebiasaan.
Tokoh-tokoh pemuda dan pemudi memang wujud,
baik dari pihak pemerintah seperti Syed Sadiq di atas Rafizi dan Nurul Izzah,
manakala dari pihak pembangkang ialah seperti Khairy Jamaluddin, Asyraf Wajdi
dan Khalil Abdul Hadi. Mereka semua adalah diharap dapat menampilkan kepimpinan
secara berwibawa dan dengan kelayakan dan kemampuan yang ada pada mereka
dihormati masyarakat dan dilihat mampu mengambil tempat generasi kini yang akan
pergi.
Apakah yang diharapkan dari mereka ? Mereka
pada dasarnya mempunyai kedudukan yang dapat dijadikan asas bagi mereka
bergerak dan membuktikan kemampuan diri. Mereka perlu dilihat seorang yang
berpelajaran dan berpengetahuan yang luas. Mampu memperkatakan segala persoalan
semasa yang terjadi. Dilihat seorang yang suka membaca dan sering membawa
petikan-petikan yang bernas hasil dari pembacaannya. Dilihat seorang yang
kreatif dan inovatif di dalam kepimpinan. Ucapan dan pandangannya sering
dipetik dan ditonjol di dalam media.
Khairy Jamaluddin tokoh pemuda berwibawa yang
mendapat didikan dari universiti terkemuka di England, selalu mengeluarkan pendapat
yang bernas dan pernah memimpin kementerian Belia dan Sukan sebagaimana Syed
Sadiq sekarang. Dia mencabar Datuk Seri Dr. Zahid untuk berundur dari Presiden Umno dan ruang terbuka baginya
untuk membantu Datuk Muhammad Hasan bersama Asyraf Wajdi yang berkemahiran di
dalam bidang Islam. Kita berharap akan ada inisiatif ikhlas darinya membantu
Tok Mat dan rakan-rakan memacu `Umno
Bangkit`.
Nurul Izzah seorang pemudi yang berdedikasi
memimpin PKR dan kepercayaan diberi kepadanya menjawat sebagai Naib Presiden
PKR dengan undi tertinggi. Tetapi hingga kini kita masih belum dapat memahami
mengapa beliau berundur dari kerusi Naib Presiden dan pimpinan PKR di Pulau
Pinang. Tidakkah ini lari dari perjuangan ? Kita berharap ada sentuhan bermakna
yang akan dilakukan oleh Rafizi selepas bertarung merebut jawatan Timbalan
Presiden yang mencerminkan kelayakan beliau sebagai seorang pemimpin yang
berwibawa. Manakala saudara Khalil Abdul Hadi pemimpin pemuda Pas, Penulis cuba
mencari latar, ucapan dan kegiatan beliau di dalam keluaran-keluaran Harakah, tetapi
tokoh ini kurang diberi publisiti dan begitu terlindung.
Kita berharap tokoh-tokoh muda di atas akan
memaju diri dan membuktikan kewibawaan pimpinan masing-masing, bukan secara
perseorangan, bahkan masing-masing perlu ada pasukan pemikir dan dewan harian
masing-masing yang sentiasa memberi input, pendapat dan nasihat di dalam
membina imej dan identiti masing-masing sebagai pemimpin. Walau bagaimana
wibawa perseorangan perlu menonjol, jika tidak teruji kelemahan-kelemahan dalam
penerusan perjuangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment