December 9, 2018

PERHIMPUNAN - PERNYATAAN AMARAN !


PERHIMPUNAN -  PERNYATAAN  AMARAN !
(Fikrah Bangi: 81):
BBB, 01 Rabi`ul-Akhir 1440H. = 09 Disember 2018M. (Ahad):
Perhimpunan di Kuala Lumpur  Sabtu 8 Disember 2018 kelmarin yang berjumlah lebih dari 300 ribu peserta sebagai membantah terhadap ICERD dapatlah dikatakan sebagai `Pernyataan Amaran` terhadap mana-mana pihak, termasuk kerajaan yang memerintah agar tidak menyentuh persoalan-persoalan suci seperti apa yang disaran di dalam ICERD yang menggugat Perlembagaan Negara, agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika cuba disentuh, maka implikasi permulaan  termanifestasi di dalam perhimpunan, Ia adalah amaran ! Dan jika  isyarat dari amaran ini tidak diambil perhatian serius, maka tindakan rakyat akan meningkat.
Tindakan rakyat menukar pemerintah dari BN kepada PH, semata-mata mau memperbaiki kepincangan  yang berlaku lebih dari setengah abad, tetapi bukan  menukar prinsip-prinsip asasi yang tercatat di dalam perlembagaan dan budaya rakyat yang telah berakar umbi dan menjadi jati diri mereka. Rakyat sebenarnya tidak silap menukar pemerintahan, tetapi kerajaan silap tafsiran sehingga pergi lebih jauh. Rakyat terkejut apabila institusi MARA yang banyak berjasa terhadap memajukan orang Melayu dari segi pelajaran dan ekonomi maudirubah dan dipecahkan. Rakyat juga terkejut apabila pada peringkat permulaan ada pihak-pihak tertentu dari kalangan pemerintahan mencadangkan agar dihapuskan JAKIM yang menjadi induk bagi perkembangan Islam di Malaysia. Dan mutakhir timbul cadangan agar dihapuskan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha kecil Malaysia.  Mandat tidak bererti atas nama `Baharu` segalanya mau ditukar. Sekiranya berlaku penyelewengan maka haruslah diperbaiki seperti yang berlaku pada Felda dan Tabung Haji.
Walau bagaimana dapat dikatakan PH bertindak bijaksana, apabila melihat reaksi kemarahan rakyat dan bersegera membuat kenyataan, bahawa mustahil untuk dilaksanakan ICERD di Malaysia. Kenyataan yang dikeluarkan dapat sedikit sebanyak meredakan kemarahan rakyat. Namun rakyat juga bertindak bijaksana, tidak hanya menerima pernyataan secara bulat bulat, kerana ianya mungkin akan berubah. Maka anjuran perhimpunan secara besar-besaran di Kuala Lumur semalam adalah pernyataan amaran tegas agar perkara-perkara yang menyentuh sensiviti rakyat tidak cuba dirubah dan dipermainkan. Dengan gelombang pernyataan protes rakyat kelihatan mereka yang berada di dalam komponan PH selama ini cuba memperlekeh, mempersoal sejarah dan kedudukan tertentu masyarakat diharap dapat belajar dari amaran berkenaan dan berfikir beberapa kali sebelum membuat kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat. Kita tertarik dengan pernyataan Dr. Mahathir, yang mengaku PH tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Beliau juga tidak akan menghadiri Sambutan Hak Asasi Kemanusiaan oleh SUHAKAM.
Kita bergembira melihat kematangan perkembangan demokrasi di Malaysia.
Rakyat melihat kebobrakan yang berlaku dalam pemerintahan BN dan hanyut dalam kelalaian. Maka dengan kuasa yang ada pada tangan rakyat mereka menukar pemerintahan. Pemerintahan baru pula menyangka mereka diberi kebebasan untuk melakukan sebarang perubahan dan melakukan perkara yang menyakit hati rakyat. Tempoh peluang untu merubah kerajaan melalui peti undi masih panjang dan jalan pintas untuk mengingatkan kerajaan ialah dengan mengadakan protes rakyat secara terbuka. Kerajaan nampaknya sedar dengan apa yang didesak rakyat dan sedia menurut apa yang dituntut. Sehingga perhimpunan diistilahkan sebagai `Perhimpunan Kesyukuran`, tapi sebenarnya ia adalah `Perhimpunan Amaran !
Sekian.

No comments:

Post a Comment