December 14, 2018

ISU TABUNG HAJI, KEYAKINAN PERLU DIJAGA


ISU TABUNG HAJI, KEYAKINAN PERLU DIJAGA
(Fikrah Bangi:  86),
BBB, 05 Jamadil-Awwal 1440H. = 14 Disember 2018M. (Juma`at):
Isu Tabung Haji (TH) amat menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia apabila berita permasalahan TH  diperkatakan melalui media. Puncak berita bermula dari awal Disember 2018 apabila akhbar-akhbar melaporkan tentang, ``TH Lapor Polis, Azeez, Ismee.`` Laporan itu menyebut lebih dari RM22 juta disalurkan untuk kegiatan politik. (BH, 1.121.2018: 1). Laporan itu melibatkan juga  7 orang pengurusan kanan. Kebimbangan timbul di kalangan masyarakat umat Islam, lantaran ianya merupakan institusi penyimpanan kewangan terbesar umat Islam. Ianya melibatkan 9 juta pendeposit. TH yang ditubuhkan sejak 1963 itu mengurus dana  yang kini berjulah RM73 bilion yang keuntungan tahunan mencecah RM3 bilion (2017). Fungsi utama TH ialah mengurus simpanan penyimpan-penyimpan , khususnya dari kalangan rakyat miskin bagi melayakkan mereka menunaikan haji.
Kebimbangan meningkat apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato` Seri Mujahid Yusof menyatakan bahawa TH salah beri Hibah (dividen) dengan melanggar syarat bahawa pemberian hibah perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu aset TH  perlu melebihi liabiliti, manakala agensi perlu  menjana keuntungan terlebih dahulu. Dikatakan amalan yang bercanggah dengan syarat ini berlaku sejak 2014  sehingga menyebabkan TH kerugian RM4.1 bilion ( Sinar, 11 Dis. 2018: 1).
Manakala Berita Harian melaporkan, bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa TH akan diletakkan di bawah Kawal Selia Bank Negara sebagai sebahagian dari plan pemulihan bagi memastikan tadbirurus yang baik. (BH., 11 Dis. 2018: 1).
Bagaimana tuduhan Menteri Di jabatan Perdana Menteri itu dipersoal, antaranya oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Dr. Asyraf Wajdi, bahawa pemberian hibah seperti itu tidak pernah dipersoal. Bahkan kata Ketua Pemuda Umno itu,  pengumuman pemberian selama ini setelah disahkan oleh Jabatan AUDIT Negara.``  (UM, 11.12.2018: 2).
Sebaliknya  Menteri Di jabatan Perdana Menteri itu dituduh sengaja membawa isu hibah berkenaan adalah bermotif politik. (UM, 12.12.2018: 2).
Azeez Bekas Pengerusi TH, menjawab terhadap tuduhan Mujahid, bahawa pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 itu tidak melanggar akta TH. (Sainar,12.12.2018: 1).
Pengarah Urusan TH memberi jaminan bahawa TH tetap selamat.  Bahkan dimaklumkan bahawa TH akan memindahkan aset RM19.9 bilion dari penanaman modal di tempat yang tidak memberi keuntungan kepada tempat yang menguntungkan pada akhir 2018 nanti. (BH, 12.12.2018: 1).
Walau bagaimana, oleh kerana isu TH ini diperkatakan, kebimbangan tetap timbul di kalangan masyarakat, sehingga ada yang menyifatkan sebarang perompakan terhadap TH, hendaklah dibawa ke muka pengadilan. Umumnya mahu agar TH adalah bebas dari pengaruh politik. Sebarang perlantikan hendaklah melihat dari segi kelayakan, bukan kerana kedudukan politik.
Manakala ada yang berpendapat bagi mempastikan perjalanan TH bersih perlu ditubuh Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dan mempastikan perjalanan TH bersih dan bergerak di atas landasan yang betul.
Jaminan  TH bersih perlu, sebelum TH hilang keyakinan pendeposit yang menyebabkan mereka menarik simpanan mereka.
Walau bagaimana dalam keadaan sekarang keyakinan pendeposit masih kekal, namun keprihatinan terhadap TH perlu diberi, agar TH tidak bermasalah dan  tetap terpelihara.
Sekian.

No comments:

Post a Comment