December 8, 2018

PERHIMPUNAN MENENTANG ICERD MENUNTUT PENGUKUHAN


PERHIMPUNAN MENENTANG ICERD MENUNTUT PENGUKUHAN
(Fikrah Bangi: 80):
BBB,  30 Rabi`ul-Awwal 1440H. = 08 Disember  2018M. (Sabtu):
Hari ini perhimpunan besar-besaran diadakan di Kuala Lumpur yang secara diplomasinya sebagai `Perhimpunan Kesayukuran` kerana (menang ?) menentang ICERD. Ini didasarkan kepada pihak kerajaan yang menyatakan ICERD  tidak mungkin dan mustahil dilaksanakan di Malaysia. Pihak Polis Diraja Malaysia memberi kebenaran diadakan perhimpunan  di Padang Merdeka dengan mematuhi syarat-syarat. Pihak Pas dan Umno yang nampaknya makin rapat dan bekerjasama menganjurkan perhimpunan yang disifatkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas  sebagai `Perhimpunan Penyatuan Umat-Melayu`. Dapatlah dikatakan perhimpunan bukan semata-mata bersifat kesyukuran, tetapi terselit disebaliknya, bahawa jika pihak kerajaan tidak memberi perhatian, bahawa gelombang kebangkitan akan berlaku lebih besar dari apa yang diadakan pada hari ini. Kerajaan sebenarnya sedar, jika tak diberi perhatian, maka kemungkinan akan menghadapi implikasi politik yang lebih serius. Dengan kebenaran yang diberi, maka sekurang-kurang meredsakan desakan dan tekanan dari pihak-pihak yang menganjurkan perhimpunan. Walau bagaimana pihak yang menganjurkan perhimpunan dan penentangan, tidak boleh bergembira dan berpuashati, kerana di sana ada pihak-pihak yang tidak bersimpati dengan penganjur perhimpunan.
Pihak SUHAKAM Malaysia (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ghazali Ismail yang pernah menjadi Duta Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu, mau mengadakan Sambutan Ulangtahun bagi SUHAKAM pada hari yang sama dengan perhimpunan hari ini., tetapi dinasihatkan mengubah tarikh pada hari esok. Pihak  SUHAKAM menerima, walaupun tidak gembira dengan perubahan, manakala Majlis Peguam Malaysia bersikap acuh tidak acuh dengan perhimpunan yang dianjurkan.
Apa yang hendak dijelaskan bahawa apa yang dikatakan perhimpunan sebagai kesyukuran tidak tepat, bahkan tidak menjamin masa depan yang diperjuangkan. Suara-suara penentangan bukan saja dari kalangan politik yang bercanggah, tetapi adalah dari badan rasmi seperti SUHAKAM, Majlis Peguam Malaysia dan mungkin banyak lagi yang belum lagi memperlihatkan wajah.
Walau bagaimana dengan adanya penentangan pihak penganjur perhimpunan tidak menepati realiti. Mereka yang  tidak setuju dan menentang adalah pihak yang akan berdiri menentang sikap yang diambil oleh Pas, Umno dan Ngo-NGO yang lain. Dari satu segi apa yang disifatkan sebagai kemenangan adalah relatif dan tidak mutlak. Percanggahan dan penentangan akan terus berlaku dan apa yang membimbangkan ianya akan mewujudkan dua pola penentangan yang akan menggugat keharmonian dan perpaduan.
Untuk kepentingan masa depan, isu ICERD dan Suhakam dan perkara-perkara yang lain seumpamanya hendaklah dihuraikan secara bijaksana oleh  pakar undang-undang, perlembagaan negara dan kalangan akademik. Mereka yang benar-benar pakar hendaklah menganggotai badan pengantara yang memberi tafsiran dan pengolahan terhadap Perlembagaan Negara, ICERD dan apa yang dibangkitkan oleh SUHAKAM.
Kita berpendapat kita tidak perlu sepenuhnmya patuh pada kehendak ICERD, SUHAKAM dan sebagainya, kita mempunyai perlembagaan dan budaya yang berakar umbi di negara  ini. Pada akhirnya kita hendaklah menudukung Perlembagaan Negara danmengamalkan budaya penduduk di Negara ini secara harmoni.
Sekian.

No comments:

Post a Comment