BUDAYA MURNI RAMADHAN PERLU DIPERTAHAN DAN
DIKEMBANGKAN
(Fikrah Bangi: 248),
BBB: 02 Syawal 1440H. = 06 Jun 2019M.
(Khamis).
Kesan daripada ibadat Ramadhan membentuk
budaya murni yang bersifat ummah dan juga bersifat tempatan yang perlu
dipertahankan.
Antara yang bersifat ummah, bahawa
masyarakat ummah dididik bersifat pemurah.
Dalam bulan Ramadhan sememangnya masyarakat
ummah digalakkan membuat amalan kebajikan seperti menderma, bersadaqah dan
cakna terhadap faqir miskin, anak yatim dan mereka yang susah. Zakat fitrah sendiri
yang bertujuan pembersihan diri itu adalah juga bertujuan untuk disampaikan
bantuan kepada asnaf.
Adalah menjadi budaya murni pihak institusi
kewangan, firma dan berbagai-bagai badan kewangan juga sama menerima dan
mengamalkan budaya menderma dan mengeluarkan zakat pada bulan Ramadhan bagi membantu berbagai pihak yang perlu dan
sesuai diberi bantuan. Misalnya masjid-masjid menerima bantuan daripadanya,
rumah-rumah anak yatim menerima bantuan, begitu juga dengan ma`had-ma`had
tahfiz dan sekolah-sekolah agama persendirian dan swasta menerima bantuan. Kini
terdapat pihak-pihak tertentu yang membuat kebajikan, misalnya mendirikan `Rumah
Penyayang` bagi membantu mereka yang tua yang tidak ada waris untuk menjaga dan
tidak mampu lagi mencari rezeki, maka untuk kebaikan bagi mereka diiberi
perlindungan menghuni rumah orang tua. Di sini mereka menjalani kehidupan lebih
teratur. Misalnya belajar agama, beribadat dan menjalankan kegiatan fizikal
untuk kesihatan. Mereka hidup teratur dalam menjalani kehidupan seharian semasa
hayat masih berterusan. Tempat yang diwujudkan secara percuma dan bersifat
kebajikan ini adalah menjadi tempat yang sesuai untuk diberi bantuan waqaf,
zakat dan sebarang derma.
Di samping bantuan dari institusi dan
bersifat besar-besaran, orang ramai secara individu juga bersifat pemurah
memberi bantuan sadaqah dan derma kepada badan-badan di atas dan kepada
keluarga, orang faqir dan miskin serta anak-anak yatim sama ada berupa
kewangan, derma peruntukan pakaian dan makanan. Antaranya disalurkan melalui
badan amal sukarela untuk disampaikan kepada yang memerlukan – termasuk juga
melalui masjid-masjid untuk disalurkan kepada mereka yang berkenaan.
Satu yang baik dan murni, bahawa di dalam
bulan Ramadhan masyarakat digalakkan untuk membuat perusahaan dan perniagaan.
Pada bulan Ramadhan kita dapati ada yang membuat perusahaan makanan untuk
diedarkan untuk jualan seperti kuih-kuih raya secara agak banyak Ia menjadi
satu cara perniagaan yang maju dan menguntungkan. Di samping ada pihak secara
bersendirian menjalankan perniagaan dengan menjual barang-barang makanan untuk
beriftar dan sebagainya. Sememangnya pada bulan Ramadhan banyak lahir
pasar-pasar Ramadhan yang dikunjungi oleh pembeli-pembeli pada setiap petang.
Ianya adalah satu kemeriahan. Berbagai kuih, juadah dan makanan yang dapat
dipilih.
Satu identiti setempat dan menjadi popular
di kalangan umat Islam setempat, bahawa pada bulan Ramadhan ada tempat-tempat
seperti masjid-masjid dan organisasi tertentu menyediakan makanan percuma untuk
didapati atau untuk sama datang untuk menikmatinya beriftar, ialah dengan
mengadakan masakan `Bubur Lambuk` seperti diadakan di Masjid Kampung Baru,
Kuala Lumpur pada setiap hari dengan memasak berpuluh-puluh kawah dan diberi
secara percuma kepada yang datang mengambilnya. Cara ini juga dibuat di
masjid-masjid di tempat yang lain. Kini turut disediakan oleh institusi
tertentu dan diedarkan kepada orang ramai, misalnya melalui tol, melalui
jabatan dan sebagainya. Ianya melambangkan muhibbah dan mesra kemasyarakatan.
Sesungguhnya tradisi `Bubur Lambuk` ini adalah budaya murni yang perlu
dikekalkan dan diwujudkan pada tempat-temnpat sesuai bagi membantu masyarakat
mendapat makanan. Ianya sesuai diadakan pada tempat-tempat yang dilanda mala
petaka seperti banjir, perhimpunan agama dan kebajikan, pelajar-pelajar di
pengajian tinggi, ma`had dan kawasan-kawasan yang masyarakatnya susah. Ianya
sesuai dianjurkan oleh masjid, badan-badan kebajikan dan ngo-ngo dan
sukarelawan. `Bubur Lambuk` melambangkan prihatin dan kasih sayang. Ianya
menjadi identiti tempatan yang perlu dipertahan dan diperluaskan.
Budaya bersedeqah, memberi derma dan
bantuan yang asalnya bagi ihya` Ramadhan patut diteruskan amalan kebajikan
sedemikian kepada masa yang luar dari Ramadhan. Sesungguhnya memberi kelegaan
dan kemesraan kepada masyarakat adalah sejenis kebahagiaan yang dapat
dibahagi-bahagikan kepada masyarakat.
Bagi yang memulakan perniagaan pada bulan
Ramadhan, harus juga memikirkan bagaimana semangat berniaga Ramadhan dapat
diteruskan sebagai satu cara mendapat rezeki dan pekerjaan. Ramadhan banyak
memberi kesan kebaikan bagi masyarakat umat yang darinya patut diperluaskan
bagi kesejahteraan dan kemajuan umat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment