RAMADHAN MULAI BERGERAK MENINGGALKAN KITA
(Fikrah Bangi; 248).
BBB, 30 Ramadhan 1440H. = 04 Jun 2019M.
(Selasa).
Sejak malam Isnin 29 Ramadhan 1440H. bersamaan
3 Jun 2019M. Ramadhan mulai bertolak perlahan meninggalkan kita. Solat tarawih
pada malam ini adalah tarawih terakhir. Selepas ini gema solawat tarawih
mengiringi dua-dua rakaat solawat tarawih tidak lagi akan kedengaran. Selama
tiga puluh hari genap pada tahun ini kita dapat menunaikan puasa Ramadhan dan
bersolat tarawih.
Pagi Selasa 4 Jun 2019 selepas solat subuh
kumpulan terakhir tadarrus dengan lima orang ahli tetapnya masih meneruskan
tadarrus membaca juz` ke 30 – Juz` `Amma bagi mengakhirkan tadarrus, meskipun
Majlis Khatam Qur`an secara formalnya telah dilakukan pada Rabu 29 Mei, sebelumnya,
tapi pengajian diteruskan hingga hari terakhir Ramadhan dan juz` terakhir bagi
khatam.
Bersyukur kepada Allah kumpulan dapat
mengakhirkan kjhatam. Tapi tatkala membaca do`a tergenang airmata mengingatkan
apakah dengan usia yang lanjut ini akan berpeluang menemui Ramadhan akan datang
(1441H.) dan dapat meneruskan tadarrus secara berkumpulan dan formal pada bulan
barakah seperti pagi ini ?
Bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan
rahmat6Nya hingga dapat insya Allah menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan
sepenuhnya pada hari ini (30 hari). Sedangkan pada hari ini Imam utama bagi
Surau Al-Umm dan juga Imam Masjid Al-Hasanah Imam Haji Supaat bin Haji Abdul
Rahman meninggal dunia pada jam 8.30
pagi akhir Ramadhan ini. Urusan jenazahnya sedang dilakukan di Hospital Serdang
dan akan dibawa ke Masjid AL-Umm untuk disembahyangkan mengiringi solat zohor.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan meletakkannya di kalangan
orang salih.
Ramadhan sesungguhnya sedang bergerak perlahan
bagi melabuhkan tirainya pada petang nanti.
Pada petang nanti jama`ah masih berpeluang
beriftar bersama di Masjid Al-Umm sebagaimana diadakan pada setiap petang sejak
dari hari petama puasa Ramadhan. Iftar setiap hari pada petang Ramadhan ini
adalah ditaja oleh orang ramai yang kebiasaannya dihadiri mereka yang datang
beriftar antara 300 – 400 orang. Sesungguhnya orang ramai memang berlomba-lomba
membuat kebajikan pada bulan barakah ini, termasusuk berwakaf bagi
menyelesaikan hutang masjid yang masih tertonggak.
Sesungguhnya adalah kepiluan mengalami sa`at
perpisahan antara iftar terakir dan menjelangnya satu Syawal 1440H – malam tibanya
Idul Fitri.
Allahu Akbar, Allahu Qakbar, Allahu Akbar. Wa lillahil Hamd.
Sekain.
No comments:
Post a Comment