June 8, 2019

SAAT KERUNTUHAN DAN BALA BERTIMPA


SAAT KERUNTUHAN DAN BALA BERTIMPA
(Fikrah Bangi:  250),
BBB: 04 Syawal 1440H. = 08 Jun 2019M. (Sabtu).
Jika Tun Mahathir dilihat sebagai watak berpeluang `Menangkap Sa`at Sejarah` yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua, maka pada permukaan sebaliknya  ada episod sebaliknya, iaitu `Sa`at Kejatuhan Dan Bala Bertimpa-timpa`. Ini berlaku kepada kepimpinan BN. Kekalahan BN pada 9 Mei 2018 dan penerimaan Najib terhadap keputusan rakyat, nampaknya tidak terhenti setakat itu. Ia ibarat gempa bumi yang tidak terhenti dengan satu keruntuhan, tetapi berlaku adjustment dari keruntuhan kepada keruntuhan-keruntuhan yang lain.
Kekalahan menuntut Najib berundur dan meletakkan jawatan dari Presiden Umno yang membuka jalan kepada perlantikan Zahid Hamidi pada Persidangan Agung Umno menjawat jawatan Presiden pada 30 Jun 2018. Zahid dan Timbalan – Mohammed Hassan dan Jawatankuasa berusaha memulihkan Umno, tetapi  Zahid , sebagaimana Najib dikaitkan dengan isu rasuah, maka demikianlah juga berlaku kepada Zahid, akibatnya beliau dituntut oleh kalangan ahli supaya mengundurkan diri sebagaimana Najib. Antara mereka mengugut, jika Zahid tidak berundur, mereka akan keluar dari Umno  secara kumpulan dan mereka keluar.  Kedudukan Umno pada masa itu amatlah lemah. Kerusi-kerusi yang ditandingi dalam pilihanraya kecil di Selangor (3 kerusi) dan di Port Dickson semuanya kalah secara berturut-turut. Akibat dari perlompatan ahli jumlah kerusi Umno di Parlimen merosot dan tinggal hanya 37 kerusi sahaja dari jumlah kerusi asal yang dimenangi ialah sebanyak 79 kerusi. Keruntuhan Umno ini menyebabkan Tun Mahathir  menyifatkan  ``Umno sudah tiada.`` (BH, 23.10.2018: 1).
Akibat dari desakan sebahagian dari ahli Zahid terpaksa menurut kehendak ahli beliau menyerahkan jawatan Presiden untuk dipangku oleh Timbalan Presiden Dato` Mohamed Hasan pada  18 Disember 2018. Dalam kata lain Zahid hanya berkesempatan memimpin Umno selaku Presiden hanya dalam tempoh enam bulan sahaja.
Kekalahan Umno secara bertimpa-timpa bukan tidak bersebab. Ibarat gunung berapi sebelum dari berlakunya gempa yang meruntuhkan sudah tentu melahirkan berbagai-bagai tanda yang boleh dijauhi. Begitulah Umno dan BN sebenarnya sebelum berlaku tragedi kekalahan di dalam pilihanrata ke 14 pada 9 Mei 2018 itu sudah ada pertanda-pertanda yang boleh mengancam parti itu.
Isu yang berhubung dengan Al Tantoya sudah dibangkitkan sejak 1999. Isu ini tidak dapat dipadamkan dan berterusan.
GST adalah isu besar . Cukai 6% adalah tinggi dan dianggap membebankan rakyat. Isu ini dimainkan oleh pihak pembangkang melalui media baru, terutama oleh kalangan anak muda secara berterusan dan tidak ada usaha menarik atau mengurangkannya. Bersama isu GST yang dimainkan pembangkan ialah isu IMDB. Isu ini mula dicetuskan pada bulan Julai 2015 dan terus dipermain dan diperbesarkan terutama melalui media baru oleh pembangkang, bahkan isu ini  antara isu yang mengaitkan Najib dengan beberapa tuduhan di mahkamah.
Adalah dilihat bahawa pemecatan Muhyiddin Yassin dari Timbalan Perdana Menteri dan Shafie Apdal oleh Najib adalah isu yang penting yang menyebabkan kekalahan Umno dan BN. Akibat pemecatan Muhyiddin berusaha menunjukkan kemampuan diri dengan menubuhkan parti Bumiputra Bersatu dan mendapat sambutan pada peringkat permulaan di Johor sebelum berkembang luas. Sedangkan Shafie Apdal yang dipecat dari Umno, ketiaka menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar menubuhkan Parti Warisan di Sabah dan mendapat sokongan di Sabah dan akhirnya dari perlompatan ahli Umno ke Warisan mengatasi majoriti Umno yang dipimpin Musa Aman menyebabkan Warisan memerintah Sabah. Sesungguhnya pemecatan menyebabkan penentangan dari yang dipecat yang menggugat pihak yang memecat. Keadaan sedemikian  misalnya juga berlaku kepada Anwar yang dipecat dari Timbalan Perdana Menteri, menyebabkan penyokong-penyokong menubuhkan PKR (1999).
Demikianlah dilihat dalam tempoh setengah tahun selepas kekalahan Umno dan BN (Mei – Disember 2018) Umno dan BN dilihat benar-nemar di dalam sengsara. Bala menimpanya satu demi satu menyebabkan parti itu dalam masa tersebut benar-benar lumpuh.
Sekian.

No comments:

Post a Comment