MENGAPA PAS BERSENDIRI ?
(Fikrah Bangi: 251),
BBB:
05 Syawal 1440H. = 09 Jun 2019M. (Ahad).
Dalam pilihanraya ke 14 pada 9 Mei 2018 Pas
bertanding secara bersendirian. Dalam pilihanraya ini Pas memenangi kerusi
parlimen sebanyak lapan belas (18) kerusi berbanding dengan parti-parti yang
lain – selepas berlaku perloncatan, iaitu PKR (50), DAP (42), UMNO (38),
Bersatu (16), PBB (13), Bebas (12), Amanah (11), Warisan (9). PRS (3), PDP (2),
manakala 7 parti yang lain masing-masing
mendapat satu kerusi – termasuklah satu MCA dan Satu MIC. PAS mempertahankan
Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dan hampir-hampir menguasai Kedah.
Potensi Pas bagi menarik undi Melayu telah
disedari, maka sebelum pilihanraya Pas telah diajak bersama dalam Pakatan
Harapan, tetapi ditolak. Penolakan ada hubungannya dengan konflik politik. Perlu diingat pada
pilihanraya melalui Pakatan Rakyat sejak
1999, PAS adalah bersama PKR dan DAP sebagai pembangkang. Dalam
Pakatan Rakyat ini PAS tidak begitu serasi terutama dengan DAP dan sering
bertikai dengan DAP , terutama dalam
perkara-perkara yang berhubung dengan Islam. Walau bagaimana mereka kekal
hingga pilihanraya ke 13. Kedua parti itu terus berkonflit. Sementara itu di
dalam PAS sendiri terdapat dua belahan utama. Satu belahan yang dapat
disifatkan sebagai `Pimpinan `Ulama` yang tentunya menjadi identiti bagi
kepimpinan PAS. Mereka ini pada dasarnya berlatangbelakang pendidikan agama.
Misalnya berkelulusan Al-Azhar, Madinah, Sekolah `Arab dan pendidikan agama.
Mereka dianggap `Conservatif`. Manakala satu belahan lagi ialah belahan yang
terdiri dari kalangan berkelulusan moden,
antaranya dari luar negara - Barat. Sebahagian daripada mereka ini adalah hasil
dari gerakan Angkatan Belia Islam (ABIM) yang pernah di bawah pimpinan Anwar
Ibrahim. Apabila Anwar Ibrahim membuat keputusan masuk UMNO yang membawa beliau
meningkat kepada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, maka
sebahagian besar daripada pimpinan ABIM ini memilih masuk berjuang di dalam
PAS. Kalangan mereka itu dapat disifatkan sebagai golongan `Intelektual` dan lebih terbuka sifatnya. Walau bagaimana
kedua belahan ini patuh di dalam perjuangan politik Islam, apa lagi antara
pemimpin tertinggi adalah dari kumpulan ini seperti Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil adalah pernah
menjadi Presiden ABIM dan Presiden PAS. Beliau adalah Bekas Pensyarah di
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum berrhenti melibatkan diri dalam
politik sepenuhnya. Semasa pimpinan PAS di bawah Ustaz Fadzil Noor beliau
mengambil pendekatan berkompromi dengan parti-parti yang tidak sealiran dengan
PAS terutama DAP dan PKR. Beliau mengepalai cadangan menubuhkan Barisan Alternatif yang membawa kepada
penubuhan Pakatan Rakyat. Hasil kerjasama ini PAS yang selama ini bertapak di
Kelantan, Terengganu dan Kedah, mulai bertapak di negeri-negeri lain dari tiga
negeri itu dan menguasai negeri-negeri seperti Selangor , Pulau Pinang, bahkan
Perak. Puncak dari kejayaan Pakatan Rakyat adalah pada pilihanraya ke 13 dalam
mana dua negeri berkenaan dikekalkan di samping di negeri-negeri Kelantan,
Terengganu dan Kedah. Kerusi-kerusi bertambah di negeri-negeri lain.
Arah kepimpinan sesebuah parti sering
melambangkan watak dan kepimpinan Ketua atau Presiden. Pendidikan juga
mempengaruhi cara berfikir dan pendekatan yang diambil dan diikut oleh
pengikut-pengikut. Dalam masa pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS bukan
saja tidak `ngam` dengan DAP dan sering berkonflik, tetapi timbul juga jurang
antara dua belahan yang ada di dalam Pas itu. Sebelum berlaku pilihanraya ke 14
berlaku perpecahan di dalam Pas yang melahirkan Parti Amanah Negara pada 16
September 2015 dan menjadi sebuah parti yang tersendiri yang juga dikatakan
mengambil Islam sebagai matlamat perjuangannya. Jika dilihat pada
pemimpin-pemimpin Amanah mereka buklanlah dari kalangan pendidikan agama per-se
seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayob, Kamaruddin Ja`far, Dr. Zulkifli, Dr. Hatta
Ramli dan ramai lagi.
Dari keterangan di atas dapat difahami,
menjelang pilihanraya ke 14, mengapa PAS tidak mau bersama Pakatan Harapan.
Antaranya selain tidak serasi dengan DAP, ialah kerana terdapat di dalam Pakatan
Harapan yang baru itu Amanah yang merupakan `Pemberontak` dan `Penentang` PAS
yang asalnya dari PAS. Tentulah untuk bersama mereka rasa janggal bagi PAS dan
sesuatu yang tidak bermaruah bagi PAS.
Atas dasar dan sebab-sebab ini, maka PAS
mengambil sikap bertanding dalam pilihanraya ke 14 secara bersendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment