KERACUNAN KEMBALI MENGANCAM DI PASIR GUDANG
(Fikrah Bangi: 265),
Bumi kita warisi
Dari tanah, sungai, laut dan tumbuhan
Cahaya, udara dan sekitaran
Adalah anugerah sumber kehidupan
Seharusnya semua prihatin menjaganya
Menjamin selesa kehidupan.
Namun ada yang tamak
Kiraan hanya kepentingan
Tangan mereka melakukan kerosakan
Atas nama pembangunan songsang
Sekitaran melahirkan kemarahan
Sungai Kim Kim membuak kemarahan, lantaran
Hingga Mac 2019 sebanyak 274 kilang
mencemar Sungai Kim Kim mengancam
43 sekolah diarah tutup
Pemindahan penduduk kawasan kritikal
Berbagai agensi khidmat menyelamat
17,568 terkesan, 1.171 menerima rawatan
Dan 397 diwardkan
Sungai Kim Kim dibersihkan
Tapi tidak jelas tindakan
Terhadap pelaku jelas kesalahan.
Namun selepas tiga bulan
Kecuaian seperti sebelumnya berlaku
Pasir Gudang menjelaskan kealpaan
Jun 2019 mengancam
Dengan 16 sekolah terdedah kepada keracunan
20,108 anak-anak perlu diselamatkan
Antara mereka pening, mual dan pengsan
Meskipun belum berlaku kematian.
Racun kilang dan pencemaran sebelum ini
Tidak dapat dihapuskan
Kes di Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang
Adalah amaran kepada pihak berkenaan
Bertindak secara tuntas dan berkesan
Perlu dilakukan. Jika tidak
Ancaman keracunan akan berulang.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.
20 Syawal 1440H.
24 Jun 2019M.
No comments:
Post a Comment