BBB,
19 Muharram 1438H. = 20 Oktober
2016M. (Khamis):
Membaca dan memahami tentang sejarah
sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
membantu kita mendalami tentang shakhsiyyah dan perwatakan mereka
yang mengukuhkan dakwah dan perjuangan Rasuluillah s.a.w. dan menjadi contoh teladan bagi kita sebagai
ikutan. Salah seorang dari mereka yang disebut oleh Al-Sarraj di dalam
Al-Luma`nya ialah `Abdullah bin Mas`ud
atau secara ringkasnya adalah dikenali
dengan Ibn Mas`ud.
Dari segi latar Ibn Ma`ud adalah dari
keluarga yang miskin di Makkah, bertubuh kecil dan kurus. Sejak remaja beliau
menjadi gembala kambing kepada pemiliknya
iaitu `Uqbah bin Mu`ith. Rasulullah dan Sayyiduna Abu Bakar pernah
menemuinya di kawasan gembalaan dan mendapati dia seorang yang cerdas dan
menjangka dia kelak akan menjadi seorang
yang `Berkeilmuan Tinggi`. Ibn Mas`ud
adalah dari kalangan sepuluh terawal memeluk agama Islam dan terus mempunyai
hubungan yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. dan banyak menghafal ayat-ayat Al-Qur`an
dari Rasulullah. Keistimewaan Ibn Mas`ud dengan rapatnya beliau dengan
Rasulullah secara langsung dan tidak langsung beliau menerima dan mendapt ilmu-ilmu
daripada Rasulullah s.a.w. Dengan itu
beliau dapat menyampaikan keilmuan yang ada padanya kepada yang lain.
Satu keistimewaan lagi bahawa Ibn Mas`ud
mempunyai suara yang merdu dan begitu indah dan fasahah di dalam membaca
Al-Qur`an. Kemampuan membaca Al-Qur`an dengan baik dan kefahamannya tentang
keilmuan Islam dari kandungan ayat-ayat Al-Qur`an mengistimewakannya di kalangan masyarakat.
Pada permulaan Islam tradisi mengungkap puisi memang terkenal di kalangan masyarakat
menjelang Islam. Mereka bermegah dengan penyair-penyair seperti Al-Walid bin
al-Mughirah, Labid, Hassan bin Thabit dan sebagainya. Tetapi mereka ini bila
berdepan dengan Al-Qur`an, mereka mengaku tentang keistimewaan Al-Qur`an dan
setengahnya tegak sama membela Islam dengan
puisi-puisi mereka seperti yang
dilakukan oleh Hassan bin Thabit yang terkenal sebagai Penyair Rasulullah. Jadi
keistimewaan yang ada pada Ibn Mas`ud membaca Al-Qur`an dan memahami kandungan
dan hukum hakam mengistimewakan beliau di dalam mendepani pakar-pakar bahasa
dan puisi zaman Jahiliyyah dan mengatasi mereka dari segi keilmuan
Keistimewaan Ibn Mas`ud dapat dilihat dari
hubungan beliau dengan Rasulullah, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berpesan
bermaksud:
``Berpegang teguhlah kamu kepada ilmu yang diberikan oleh Ibn Umm `abdin (bermaksud Ibn `Umar).
Bermaksud keilmuan Al-Qur`an dari segi
tartil, fasahah dan tajwid dan keilmuan-keilmuan yang dapat dikeluarkan
daripada kandungan ayat-ayat Al-Qur`an dan diterima langsung dari Rasulullah
s.a.w.
Sesungguhnya Rasulullah suka mendengar
bacaan al-Qur`an yang dibacakan kepada Baginda, khususnya dari Ibn Mas`ud:
Baginda pernah meminta Ibn Mas`ud membaca
ayat-ayat Al-Qur`an, tapi Ibn Mas`ud agak kaget bagaimana Al-Qur`an yang
diturunkan kepada Baginda, tiba-tiba Baginda meminbtanya membacanya..
Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa Baginda ingin mendengarnya dibaca oleh
orang lain. Antaranya Ibn Mas`ud membaca ayat-ayat bermaksud:
``Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila
kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka
sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), Dan kami juga datangkan
engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini.
Pada hari itu orang-orang yang kafir dan
menderhaka kepada Rasulullah, suka jika sekiranya mereka disamaratakan dengan
bumi. Dan (pada ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah katapun
dari pengetahuan Allah.`` (Al-Nisa`: 41-42)
Pembacaan ayat ini menyentuh hati
Rasulullah s.a.w. menyebabkan Baginda menangis.
Terdapat lagi peristiwa-peristiwa yang lain yang diminta Rasulullah dari
orang lain membacanya.
Pada tempat dan masa yang lain di hadapan
khalayak yang lain turut dibaca oleh Ibn Ma`ud yang membuka hati dan jiwa bagi
yang mendapat hidayah dari Allah untuk beriman.
Ibn Mas`ud adalah menjadi contoh teladan
bagi para huffaz dan qurra` pada zamannya dan keistimewaannya membaca Al-Qur`an
dan mendalami kandungannya adalah terus menjadi contoh teladan kepada huffaz
dan qurra` hingga kini.
Sungguhpun Ibn Mas`ud rapat dengan
Rasulullah s.a.w., tetapi secara relatifnya beliau tidak banyak meriwayatkan
Hadith-Hadith, kerana beliau begitu teliti dan takut tersilap dari segi meriwayatkan. Bila beliau memperturunkan
riwayat dikatakan beliau tidak tenteram kerana takut berlaku kesilapan. Di dalam
Hadith Al-Arba`in oleh Al-Imam al-Nawawi hanya terdapat dua Hadith diriwayatkan
oleh beliau satu daripadanya Hadith Keempat tentang kejadian manusia hingga ke
akhir hayat jika pada akhir hayatnya berakhir dengan kejahatan, masuk neraka,
tetapi jika diakhir dengan kebaikan masuk syurga. Sedang sebuah Haduth lagi
ialah Hadith ke 14 bahawa Ibn Mas`ud berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.
bermaksud,
``Tidak halal darah seorang muslim,
melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara, iaitu janda yang berzina,
dan jiwa dengan jiwa dan yang meninggalkan agamanya yang memisahkan dari jamaah
(kaum muslimin). Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ibn Mas`ud turut sama berjuang dan bersama
di dalam peperangan-peperangan yang disertai Rasulullah s.a.w, termasuklah
peperangan Badar. Dalam kehidupan harian Ibn Mas`ud terkenal sebagai seorang
yang salih dan bertaqwa. Kerana beliau diberi kepercayaan dan bebas berhubungan
dengan Rasulullah s.a.w. sehingga beliau digelar sebagai `Peti Rahsia
Rasulullah`.
Pada zaman pemerintahan Khalifah `Umar bin
al-Khattab beliau telah dilantik oleh Khalifah sebagai Pemerintah di Kota Kupah
dan menjalankan tugasnya dengan baik.
Tetapi pada zaman Khalifah `Uthman bin `Affan beliau tidak menyetujui sikap
Khalifah `Uthman menyebabkan hubungannya dengan `Uthman tidak begitu baik,
tetapi dari segi pentadbirabn beliau menjalankan tugas dengan baik dan tidak
mensabotaj polisi-polisi yang dijalankan oleh `Uthman bagi menunjukkan bahawa beliau tidak bercanggah
dengan pemerintahan `Uthm
Ibn Mas`ud terkenal sebagai ilmuan pada
zaman awal Islam dan qari Al-Qur`an yang
menjadi teladan bagi qari-qari hingga
sekarang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment