BBB, 08
Muharram 1438H. = 9 Oktober 2016
(Ahad):
Sebagaimana disifatkan pada diri
Rasulullah s.a.w. contoh yang baik
(Al-Ahzab: 21) dan apa yang dikaitkan dengan Baginda seperti percakapan,
perbuatan, ahwal Baginda, adab, akhlak dan hakikat mengenai Baginda adalah
menjadi sunnah ikutan. Demikianlah dari diri Baginda ditimba elemen-elemen
ketasawufan.
Sebuah Hadith yang rapat dengan keilmuan
tasawuf ialah sebagaimana diriwayatkan daripada `Umar Ibn al-Khattab yang
menyebut bahawa malaikat Jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w., tentang
Islam. Iman dan Ihsan. Jibril menjawab
kesemua soalan, termasuklah tentang ihsan yang dijawab Jibril, bahawa Ihsan
katanya:
``Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau
melihatNya, maka sekiranya engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia
melihat engkau.``
Konsep ihsan ini dihuraikan oleh kalangan
rohani sebagai inti ketasawufan dan dapat dihuraikan secara panjang lebar dan
mendalam mengenai ketasawufan, bahkan dilihat ihsan adalah juga bermakna
tasawuf. Ihsan melibatkan pembinaan dan perkembangan jiwa ketasawufan dalam
diri bagi menyediakan persediaan selayaknya bagi perjalanan kualiti diri dalam
menuju Ilahi.
Al-Sarraj mengukuhkan tentang elemen ketasawufan yang diucapkan oleh
Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Aku lebih tahu dari kamu tentang Allah
dan aku lebih takut daripada kamu kepada Allah.``
Persoalan takut kepada Allah menggambarkan
kejiwaan sufi dalam hubungan dengan Allah dan ianya menjadi satu aspek ahwal di
dalam susunan yang diatur oleh Al-Sarraj.
Dari segi perbuatan Baginda, bahawa baginda – sebagaimana diperturunkan oleh
Al-Sarraj Baginda adalah seorang yang amat tawadhu`, Baginda memakai baju bulu,
menunggang tunggangan himar, memerah susu biri-biri, menampal kasutnya yang
koyak, menjahit bajunya yang carit. Gambaran-gambaran sedemikian mencerminkan
sifat tawadhu dan berdikarinya Baginda`.
Abu Sa`id al-Khudri r.a, mensifatkan Rasulullah s.a.w. sebagaimana
yang diriwayatkan daripadanya bahawa Rasulullah s.a.w. menunggang unta,
mengikat tali kasutnya, menjahit bajunyta, memerah susu biri-biri, baik dengan
khadam dan menolong mengisar biji-bijian. Baginda menolong membawa pulang
barang-barang belian dari pasar kepada keluarganya, Baginda bersalam dengan
orang kaya dan yang faqir, Baginda lebih awal memberi salam, dan pergi ke
tempat mereka yang menjemputnya dan tidak memandang rendah, walaupun dihidang
dengan sebiji tamar. Baginda lemah lembut dari segi tabiat, mulia akhlak, elok
pergaulan, manis muka dan tersenyum tanpa bergelak ketawa, berduka tanpa
memasam muka, tawadhu` dengan tidak menghina, memberi bantuan tanpa pembaziran.
Lembut hati dan mudah tersentuh rasa, rahmat kepada setiap muslim, sederhana
dari segi makan.
Al-Sarraj mensenaraikan tentang akhlak
baginda yang dibangkitkan bagi menyempurnakan akhlak umat itu, iaitu Baginda
seorang yang pemalu, amat pemurah, bertawakkal, redha, berdzikir, bersyukur,
lemah lembut, sabar, pemaaf,, bersifat lapang dada, kasihan belas, rahmat,,
beri perhatian,, menasihat, tenang dan hening,, tawadhu`, pemaaf, khudhu`, kuat
dan berani,, lemah lembut, ikhlas, benar, zuhud, qana`ah, khushu`, dan takutkan
Allah dan membesarkanNya, haibah, berdo`a dan juga ada kala menangis,, khauf
dan raja`, pemimpin dan pelindung, bertahajud, beribadat, berjihad dan
bermujahadah.
Demikian sifat-sifat Rasulullah yang
disusun oleh Al-Sarraj.
Baginda terkenal sebagai seorang yang kuat
beribadat yang dilakukan sejak di Gua Hira`. Diriwayatkan Baginda bersolat
sehingga bengkak kaki Baginda. Maka dikatakan kepada Baginda, Wahai Rasulullah.
Tidakkah diampunkan engkau daripada dosa engkau yang telah lalu ? Maka bersabda
Banginda, ``Apakah tidak sepatutnya aku menjadi hamba yang bersyukur ?
Baginda juga adalah bersifat dermawan.
Diriwayatkan daripada `A`ishah r.`anha. bahawasanya dia berkata:
``Kami menyembelih seekor biri-biri, kami
bersedekah dengannya, sehingga tidak tinggal hanya satu kateh daripadanya, maka
bersabda Rasulullah s.a.w. ``Yang tinggal hanya satu kateh daripadanya.``
Peribadi Rasulullah adalah begitu
mulia. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan,
``Aku berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w.
selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mengasariku.
Dia tidak menegur apa yang aku lakukan atau bertanya, mengapa engkau lakukan
sedemikian dan tidak dengan sesuatu yang aku tidak lakukan, mengapa engkau
tidak lakukan ?
Kalaulah tidak Baginda seorang yang lembut
dan pemaaf, tentulah Baginda tidak memaaf dan melepas bebas penduduk Makkah,
ketika pembukaan Makkah, terutama pemimpin-pemimpin yang menyakitinya, tetapi
semuanya dimaafkan oleh Baginda.
Rasulullah menggalakkan setiap orang Islam
menjaga diri dan menjauhi perkara-perkara yang menyekat diri dari mendekati
Ilahi. Menasihati supaya berwaspada dari melakukan dosa yang boleh menyekat
dari mendapat cahaya hidayah. Baginda mengingatkan sebagaimana Hadith diriiwayatkan
oleh Wasibah, bahawa dosa itu perkara
yang meragukan dada, sedang kebaikan itu ialah sesuatu yang menenagkan jiwa.
Dan Hadith riwayat Al-Nu`man bin Bashir
daripada Nabi s.a.w. bersabda, ``Yang halal itu nyata, dan yang haram itu
nyata.
Dan Hadith riwayat `Abdullah bin `Abbas
r.a. dia berkata, Rasulullah a.s.w.
memegang tanganku dan berkata kepadaku, wahai anak (ghulam), `Jagalah hak Allah
nescaya Dia menjaga engkau.`
Demikian begitu banyak disenaraikan tentang
Rasulullah , paling dominan ialah yang berhubung dengan akhlak Rasulullah.
Sesungguhnya masih banyak lagi persoalan-persoalan yang berhubung dengan
Rasulullah s.a.w yang dapat dijadikan bahan-bahan tasawuf. Aspek-aspek ini
digunakan bersama dengan ayat-ayat
Al-Qur`an berhubung dengan persoalan-persoalan tertentu.
Jadi sebagaimana bidang-bidang keilmuan
yang lain menggunakan Al-Qur`an dan Al-Hadith, maka demikian juga tasawuf
adalah bersumber dan bertolak dari Al-Qur`an dan Al-Hadith.
Sekian.
No comments:
Post a Comment