October 30, 2016

ADAB SEBAGAI SATU PENDEKATAN TASAWUF OLEH AL-SARRAJ


BBB, 28 Muharram 1438H. = 29 Oktober 2016 (Sabtu):
Telah dibincangkan bahawa Abu Nasr al-Sarraj memulakan pembicaraan asal usul tasawuf dan ta`rif-ta`rif yang berhubung dengfannya. A-Sarraj juga menampilkan  pendekatan yang bersifat maqam dan hal, model-model kesufian yang bermula dengan Rasulullah s.a.w. dan diikuti dengan sahabat-sahabat, termasuk `Ahlu al-Suffah`.
Di samping pendekatan-pendekatan di atas Al-Sarraj juga menampilkan  topik yang berhubung dengan `Adab`  yang dikira sebahagian daripada nilai-nilai tasawuf.  Maksud adab ialah nilai terhadap perlakuan, tindakan, pembawaan dan pandangan yang dianggap `baik` dan `manis`  bagi adat, budaya dan agama.
Ada beberapa istilah yang berhampiran, tetapi berlainan makna,iaitu adat, adab dan akhlak yang berkait, bahkan membentuk budaya, tamadun dan peradaban. Semua istilah ini adalah nilai yang berhubung dengan manusia yang mencerminkan tahap peningkatan manusia dari segi terutama nilai yang subjektif dan yang bersifat objektif.
Tasawuf juga adalah yang bersifat `Nilai` yang umumnya lebih bersifat kualiti yang subjektif sifatnya, yang antaranya bersifat objektif. Fokus utamanya bagi meningkatkan kualiti diri yang rohani sifatnya dan kualitatif nilainya. Antara tasawuf dan nilai-nilai yang bersifat adat, adab dan akhlak  ada  yang tidak sesuai dan mungkin banyak yang sesuai yang  sebenarnya selari dan dapat dipertingkat kepada nilai-nilai tasawuf, walaupun tidak semua.
Perkataan Adat, Adab dan Akhlak.
Adat adalah merujuk kepada aturan dan nilai yang diterima pakai oleh masyarakat tertentu.  Adat adalah perlakuan, aturan dan nilai yang digunakan di dalam masyarakat secara berulang dan ianya merupakan nilai yang diterimapakai oleh masyarakat dan disahkan  oleh masyarakat berkenaan, tetapi tidak semestinya diterima oleh masyarakat yang lain. Misalnya adat gotong royong, pada asal sesuatu pekerjaan itu tidak mampu dilaksanakan oleh orang perseorangan, jika pun boleh memakan masa, maka timbullah  kerja yang dinamakan gotong royong, seperti menuai padi yang perlu melaksnakan dalam masa yang segera, kerana padi sudah masak. Gotong royong membaiki jalan rosak bagi kepentingan awam, begitulah seterusnya seperti khenduri kawin,  membina rumah dan sebagainya. Jadi pada mata masyarakat dipandang baik dan boleh dijadikan sebagai adat yang dilakukan berulang-ulang dan menjadi biasa  ( istilah `adat` bererti berulang-ulang). Konsep bergotong royong dapat dinaikkan ke tahap agama (Islam), kerana ianya mendukung ciri muafakat dalam melakukan kebaikan, bahkan selari dengan tuntutan agama yang menggalakkan bertolong-tolongan sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara kebaikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan.`` (Al-Ma`idah: 2).
Adapun adat-adat yang buruk banyak, seperti melarang berkahwin dengan sepupu, jika berlaku , dikehendak keluar dari daerah dan jika kembali dikehendaki mengadakan jamuan sembelih lembu atau kerbau untuk masyarkat setempat sebagai kaffarah. Amalan seperti ini bercanggah dengan agama yang tidak melarang dan tidak pula menggalakkan.
Adab, adalah bertaraf lebih tinggi dari adat. Adab adalah nilai yang murni yang diterima dan dipuji oleh masyarakat dan biasanya tiada bercanggah dengan nilai masyarakat dan agama. Misalnya adab menghormati ibu bapa dan jangan durhaka terhadap keduanya. Menghormati ibu bapa memang digalakkan di dalam semua masyarakat, bahkan dituntut di dalam agama. Misalnya firman Allah yang bermaksud:
``Allah menyuruh bahawa jangan kamu menyembah melainkan kepadaNya  dan dengan dua ibu bapa hendaklah berbuat baik.` (Al-Isra`: 23).
Nabi Muhammad juga menekankan tentang adab``. Baginda juga bersabda yang bermaksud:
``Allah mengadabkan daku, maka elkoklah adabku` - Maksudal-Hadith.
Adab adalah berkait dengan berbagai aspek dan bidang.  Misalnya  selain dari adab dengan ibu bapa, ialah adab dengan jiran, kawan,  masyarakat, adab dengan  ketua, majikan , dengan guru,  kawan dan sebagainya. Bila menyebut adab seseorang itu hendaklah berkelakuan yang baik dengan pihak yang ia berhubungan. Sebagaimana ada adab yang baik, maka demikian juga ada  adab-adab yang tidak  baik. secara  ringkas dapat dikatakan adab yang buruk adalah bertentangan dengan yang baik
Pada tahap yang lebih tinggi adalah dikenali dengan akhlak. Iaitu nilai-nilai yang ditentukan oleh pihak tertinggi yang perlu dipatuhi bagi perlakuan akhlak dan adalah tidak bertentangan dengan tabi`i  manusia.  Rasulullah s.a.w. adalah contoh tauladan yang baik. Firman Allah antaranya bermaksud:
``Sesungguhnya bagi  kamu pada diri Rasulullah itu adalah contoh teladan yang baik.`` (Al-Ahzab: 21).
Dan firman Allah yang bermaksud:
``Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.`` (Al-Qalam: 4).
Abu Nasr al-Sarraj adalah menjadikan adab aspek yang penting di dalam tasawuf. Maka adab adalah pecahan dari akhlak, iaitu aspek yang lebih halus dari akhlak. Tanpa adab dilihat tidak manis, walaupun antaranya tidak melibatkan dosa. Adab ketasawufan ini melibatkan berbagai-bagai perkara, misalnya adab-adab yang yang berhubung dengan ibadat yang berbagai pecahab ibadat yang dibicarakan, adab dalam pergaulan, adab bersahabat, adab makan, adab berguru, adab dalam perjalanan – bermusafir, adab pekerja dan majikan dan berbagai-bagai lagi.
Sebagaimana maklum bahawa akhlak adalah merupakan aspek tasawuf yang utama, bahkan ada  yang mengatakan bahawa bertasawuf itu tidak lain dari berakhlak, sesungguhnya meskipun Al-Sarraj tidak memberi topik khusus bagi akhlak bagi kitabnya Al-Luma`, namun dengan pemberian dan pembicaraan terhadap adab, sesungguhnya  ianya melibatkan persoalan akhlak. Jadi  kesedaran tentang aspek keakhlakan sebagai bahagian yang penting di dalam tasawuf diberi perhatian oleh Al-Sarraj yang membuka jalan kepada pengolahan yang lebih detail  terhadap aspek keakhlakan  dilakukan oleh Al-Ghazali kelak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment