BBB, 11 Muharram 1438H. = 12 Oktober 2016 (Rabu):
Ahlu al-Suffah adalah kalangan muhajirin
pada peringkat awal yang berpindah ke Madinah sempena Hijrah al-Rasul s.a.w. ke
Madinah. Sebagai muhajirin terawal pada peringkat awal, mereka tidak mempunyai
tempat tinggal dan tinggal di anjung Masjid Madinah yang dibangunkan oleh
Rasulullah s.a.w. selepas pembinaan Masjid Quba`. Mereka ini berjumlah lebih
kurang 300 orang. Bayangkan dengan jumlah seramai itu berlindung di anjung
Masjid Madinah yang tidak sebesar mana binaannya. Binaan dari batang tamar dan
atap dari daun-daunnya dan berlantaikan batu krikil. Namun mereka inilah kelompok
pertama dari kalangan muhajirin berjiwa cekal dan sanggup menempuhi kesempitan
dan kesusahan demi menegakkan agama Islam. Mereka jugalah nuklias muhajirin
yang disatukan oleh Rasulullah dengan kaum Ansar yang terdiri dari kaum Aus dan
khazraj yang mengukuhkan umat Islam di Madinah. Mereka diisyaratkan oleh ayat
Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu, yang
mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang muhajirin dan
ansar dan orang-orang yang (menurut jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman
dan taat). Allah redha akan mereka dan mereka
pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.`` (Al-Taubah: 100).
Sebagaimana telah disebut antara pendapat
tentang asal usul istilah tasawuf ada dikaitkan dengan `Ahlu al-Suffah` yang
mencerminkan kehidupan mereka di dalam kesempitan, tetapi cekal di dalam
menghadapi dugaan. Menurut Al-Sarraj, ``Kalangan Ahlu al-Suffah yang berlindung
di anjung Masjid Madinah atau Masjid Nabawi ini dimuliakan oleh Rasulullah
s.a.w. Baginda duduk meraikan mereka, makan bersama mereka dan menmggalakkan
orang ramai memuliakan mereka dan mengenal kelebihan mereka.
Terdapat beberapa ayat Al-Qur`an yang
menyebut dan memuji tentang mereka. Antaranya firman Allah yang bermaksud:
``Mereka adalah dari kalangan fuqara` yang
mengungsi ke Madinah demi menegakkan jalan Allah.`` (Al-Baqarah: 273).
Dan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan janganlah engkau usir orang-orang
yang beribadat dan berdo`a kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka
menghendaki keredhaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu
pun mengenai hitungan amal, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun
mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya
menjadilah engkau dari golongan orang-orang yang zalim.`` (Al-An`am: 52).
dan firman Allah lagi bermaksud:
``Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping
rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan
petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, dan janganlah engkau
memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan
hidup di dunia, dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya
lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam Al-Qur`an,
serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya adalah melampaui
kebenaran.`` (Al-Kahfi: 28).
Antara Ahlu al-Suffah yang peristiwanya terakam
di dalam Al-Qur`an ialah Ibn Maktum seorang Ahlu al-Suffah yang buta,
Rasulullah tidak menyenanginya datang,
apabila Rasulullah menerima tamu, lalu
turun ayat bermaksud:
``Ia memasamkan muka dan berpaling, kerana
ia didatangi orang buta.`` (`Abas: 1 -2). Adalah dikatakan selepas turun ayat
itu berhubung dengan peristiwa di atas, Rasulullah s.a.w. apabila berjumpa
dengan Umm Maktum, Baginda berkata bermaksud, ``Wahai orang yang menempelak Allah Ta`ala kepadaku
kerananya.``
Adalah dikatakan Rasulullah amat memuliakan
ahlu al-Suffah, Baginda tidak berdiri dalam majlis apabila Baginda di
kelilingi duduk ahlu al-suffah hinggalah
mereka bangun dan adalah Rasulullah s.a.w. apabila berjabat tangan dengan
mereka, Rasulullah tidak menarik tangannya sebelum ditarik oleh Ahlu al-Suffah.
Keadaan Ahlu al-Suffah digambarkan oleh Abu
Hurairah yang juga salah seorang yang pernah menjadi Ahlu al-Suffah dan
mengetuai mereka diriwayatkan, Abu Hirairah r.a, berkata:
``Aku melihat tujuh puluh orang daripada
Ahlu al-Suffah, mereka bersolat, antara
baju mereka hanya sampai ke paras dua lutut, apabila rukuk dipegang hujung
baju, takut terbuka aurat.``
Berkata Abu Musa al-Ash`ari, ``Adalah bau
mereka seperti bau pakaian selimut yang dibuat daripada bulu biri-biri.``
Rasulullah membela Ahlu al-Suffah dan memperbaiki pandangan yang
tidak elok terhadap mereka. Misalnya Abdullah bin Talhah berkata, ``Kami
bersahabat dengan satu jamaah Ahlu al-Suffah pada satu hari, maka kata kami,
Wahai Rasulullah, ``Terbakar perut kami dengan buah tamar (hanya makan buah
tamar sahaja), sedangkan perut kami tidak layak dengan bangkai . Kata-kata ini
terdengar kepada Rasulullah, maka Baginda menaiki mimbar dan berkata; ``Ada
kaum yang memperlekeh dan berkata, terbakar perut kami dengan tamar. Tidakkah
kamu tahu, bahawa tamar inilah menjadi makanan penduduk Madinah,berawasilah
dengan kata-kata. Demi yang diri Muhammad di tanganNya, bahawa ada kala sebulan
atau dua bulan tidak berasap dapur rumah Muhammad memasak ruti dan tidak ada
bagi mereka makanan kecuali tamar dan air !``
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w.
berdiri di tengah jamaah Ahlu al-Suffah, mereka duduk berdepan Rasulullah
s.a.w. secara rapat-rapat untuk melindungi tubuh-tubuh mereka yang bertelanjang
dan tiada pakaian. Bila Rasulullah membaca ayat-ayat Al-Qur`an, mereka
menangis.
Inilah gambaran kalangan Ahli al-Suffah yang merupakan sebahagian dari
masyarakat umat Islam pada peringkat awal di Madinah, tetapi dari kalangan mereka
inilah ditingkatkan kedudukan kepada golongan muhajirin yang menegakkan Islam.
Antara mereka menjadi pahlawan di dalam
peperangan bagi mempertahankan Islam. Antara mereka menjadi perawi-perawi Hadith,
dijadikan duta ke luar Madinah, menjadi guru yang menyebarkan Islam dan tak
kurang yang menjadi peniaga yang berjaya yang turut sama meningkatkan ekonomi
ummah dan berbagai lagi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment