October 17, 2016

SALMAN AL-FARISI PENCARI KEBENARAN DAN PAKAR STRATEGIS PERTAHANAN


BBB. 15 Muharram  1438H. = 16 Oktober 2016 (Ahad):
Dalam masa Rasulullah s.a.w. sedang menghadapi berbagai sekatan semasa  berdakwah di Makkah, seorang anak muda tampan yang terkenal dengan nama Salman di Parsi masih mengikuti agama tradisi kaumnya – Agama Majusi di sebuah pekan di Isfahan, Parsi, Bapanya seorang penghulu di pekan yang di diami. Antara tugas yang dilakukan oleh Salman ialah menyalakan obor yang disembah di tempat ibadatnya. Di dalam menghadapi rutin tugasnya, ia pernah meninjau ke luar pekannya dan bersua dengan tempat ibadat kaum Nasrani yang berasal dari Syria. Tertarik dengan amalan dan ibadat mereka yang dilihat lebih teratur berbanding dengan penyembahan api  Salman pernah menyelinap memerhatikan upacara yang dilakukan mereka. Dia tertarik dan melalui  penditanya dia menyatakan keinginannya  untuk memeluk agama Kristian dan dia diterima baik. Walau bagaimana dia masih tidak tenteram dengan agama Nasrani yang dianuti. Pada satu masa dia bertembung dengan rombongan kafilah `Arab yang datang ke Syria, dia mendapat maklumat tentang kebangkitan Rasul s.a.w. Jiwanya mendesak untuk mencari kebenaran dan  mau membuat bandingan antara agama Majusi dan Kristian, tergerak untuk bergerak ke tanah `Arab bagi mengetahui lebih lanjut tentang kedatangan agama baharu - Islam itu. Beliau bergerak ke negeri `Arab dan mencari panduan ke tempat yang mau dituju – tempat agama baru Islam. Ia mendapat perolongan orang Yahudi, tetapi malangnya Yahudi berkenaan telah menjualnya kepada Yahudi dari Madinah, iaitu Yahudi dari  Banu Quraiz*ah dan dibawa ke Madinah menjadi hamba bagi keluarga  Yahudi berkenaan.
Kebetulan masa Salman dibawa ke Madinah, berlakunya peristiwa Hijratul Rasul s.a.w. Berita tersebut sampai kepada Salman dan dia bercakap-cakap dengan tuannya yang beragama Yahudi itu tentang perutusan Rasulullah s.a.w. Percakapannya tidak digemari tuannya, bahkan Salman dipukul.
Semasa Hijrah pada peringkat awal dan yang berhijrah, termasuk Rasulullah s.a.w. tiba di Quba` secara senyap-senyap beliau menemui Nabi s.a.w.dan mendapat penerangan dari Rasulullah sendiri tentang Islam. Melihat kepada Rasulullah yang mempunyai kehaibatan dari segi wajah, tampan dan berkesan dari segi dakwah dan kepimpinan, lebih-lebih lagi agama Islam dilihat secara praktik dari segi pegangan keimanan, amalan dan perhubungan, Salman  memeluk agama Islam dan membebaskan diri dari belenggu kehambaan di bawah kaum Yahudi Bani Quraiz*ah. Dalam kata lain Salman bergabung diri dalam menyambut kehadiran Nabi dalam rangka hijrah Baginda ke Madinah. Salman bersama kalangan Ansar dan Muhajirin sama menegakkan negara Islam dan mengisinya dengan pembangunan dan pengimarahan.
Salman yang kemudiannya dikenali dengan  Salman al-Farisi – kerana berasal dari Parsi, menemui di Madinah apa yang dicari-cari selama ini. Dengan berepegang kepada Islam dapat memenuhi tuntutan mentalnya yang selama ini dicari dari agama Majusi, Nasrani, bahkan Yahudi tidak diketemui,. Kepuasan akli tentang Ketuhanan dan rohani dengan pengibadatan ditemuinya di dalam Islam. Dia berada pada tempat sumber Islam itu sendiri dan dia dapat mengikuti perkembangannya dan dia sama  dapat mengikuti secara `life` dan berada di  bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. dapat berjamaah bersama dan mengikuti berbagai perkembangan yang berlaku. Dia dapat mengikuti bersama kehangatan peperangan Badar dan Uhud dan merasa syukur di atas kemenangan dan bersabar dan berusaha membela Islam.
Salman Al-Farisi dapat merasa dan terlibat dengan jihad bagi mempertahankan Islam, bahkan apabila pihak kafir Quraisy bersekongkol dengan Yahudi di Madinah (Bani Quraiz*ah) untuk menyerang Madinah dalam mana pihak Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan dsengan 24,000 tentera merancang mau menyerang Madinah dan Yahudi Quraiz*ah menyerang dari belakang di dalam Madinah, maka Rasulullah s.a.w. bermesyuarat dengan sahabat-sahabat bagaimana mempertahankan Madinah. Berbagai cadangan dibuat, Salman al-Farisi membuat cadangan yang sebelum ini belum pernah dilakukan peperangan antara Quraisy dan orang Islam, iaitu cadangan menggali parit pada bahagian tanah rata, yang bahagian lain di kelilingi bukit. Cadangan Salman al-Farisi diterima. Dengan itu semua  penduduk Madinah termasuklah Rasulullah dan para sahabat, khususnya Salman al-Farisi sama bekerja bergotong- royong menggali parit bagi menyekat kemaraan tentera Quraisy ke dalam bandar Madinah.
Peristiwa penyerangan ini berlaku pada tahun ke 5 H. Bila tentera-tentera Quraisy datang menyerang, mereka terkejut melihat parit (Khandak) digali keliling kota Madinah yang menghalang mereka dan kuda-kuda mereka untuk merentasi dan melompat masuk ke kawasan kota Madinah. Ini menyebabkan tentera Quraisy terpaksa menunggu dan memasang khemah berhadapan dengan kawasan khandak. Dalam pada itu pihak pengintip dari kalangan Islam telah menjalankan tektik memecahbelah dan memfitnahkan mereka dan menjadikan mereka ragu. Akhirnya dengan pertolongan Allah turun ribut pasir yang kuat yang mencabut khemah-khemah mereka dan menterbalikkan peralatan mereka. Mereka juga menyangkakan pihak tentera Islam menyerang mereka menyebabkan mereka cabut lari dan meninggalkan medan perang. Perang Khandak ini juga dikenali dengan `Perang Ahzab` kerana puhak musuh – Quraisy bersekutu dengan pihak Yahudi di Madinah.
Firman Allah di dalam Surah al-Ahzab yang menggambarkan peperangan tersebut, bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah ni`mat Allah yang melimpahkannya kepada kamu, pada masa kamu didatangi oleh tentera-tentera (al-Ahzab), lalu kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan. `` (Al-Ahzab: 9).
Salman hidup di Madinah di dalam keadaan sederhana berqana`ah dan zuhud, meskipun dia diberi tugas sebagai penjaga bagi sebahagian kawasan di Madinah dan mempunyai elaun tetap, tetapi dia tidak mengambil bayaran tersebut, sebaliknya untuk membiayai kehidupan beliau dengan isterinya dia bekerja menganyam daun khurma bagi membuat bakul dan sebagainya dan bergantung pendapatan dari usahanya. Rumah kediamannya di pinggir Madinah amat kecil yang tinggi atapnya sekadar telus untuk berdiri. Namun dia dan isterinya merasa bahagia dengan kehidupan mereka. Salman al-Farisi menghabiskan usia tuanya dengan beribadat dan mendekati diri kepada Allah. Beliau berkesempatan dengan zaman tiga orang khalifah, dan meninggal pada zaman Khalifah `Uthman bin `Affan.
Ketokohan dan perwatakan Salman al-Farisi adalah perwatakan yang kukuh dari segi tasawuf. Seorang pencari kebenaran dan merupakan turunan Parsi terawal menerima Islam. Banyak jasanya di dalam menegakkan Islam. Beliaulah yang mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w. agar menggali parit keliling Madinah bagi mempertahankan Madinah dari seranmgan kuffar Makkah yang bersekongkol dengan Yahudi di Madinah yang menyebabkan rancangan kuffar untuk menawan Madinah gagal.
Perwatakan dan pembawaan Salman al-Farisi mencerminkan peribadi dan akhlak yang tinggi. Al-Sarraj memilihnya sebagai salah seorang contoh kesufian di dalam pendekatan  tasawufnya..

Sekian.

No comments:

Post a Comment